THAI HALANG AKTIVITI KEDAMAIAN

THAI HALANG AKTIVITI KEDAMAIAN

 

21 September  2016 merupakan hari kedamaian antarabangsa  ( International day of PEACE  ) yang diraikan oleh pelopor dan pencinta  kedamaian di seluruh dunia. Di Patani juga tidak terkecuali.  Para aktivis kedamaian dan CSO/NGO telah  giat mempersiapkan diri untuk menyambut hari itu dengan pelbagai program berkempen  secara aman.

Malangnya khabaran dari Patani melapurkan bahawa kebanyakan aktiviti sedemikian telah dihalang dan disekat oleh pihak berkuasa tentera atas alasan yang sangat dangkal : dikhuatiri akan mencetuskan ketegangan dan menjejaskan keharmonian masyarakat dan negara.

Di perkarangan Masjid Krisik bersejarah para aktivis dari Jaringan Masyarakat Madani untuk Kedamaian, yang sebahgian besarnya terdiri dari kalangan pelajar , pemuda dan aktivis kedamaian, telah dihalang oleh pihak berkuasa tentera dari meneruskan program kempen  sambutan hari kedamaian antarabangsa  untuk tahun ini.

 Mereka hadir membawa sepanduk dan pembesar suara sekadar untuk menyatakan pendirian dan aspirasi rakyat yang sentiasa inginkan keamanan dan kedamaian di tengah-tengah kancah pergolakan yang masih tidak nampak jalan penyelesaian. Bagi mereka kedamaian hakiki haruslah bertunjangkan kehendak dan penglibatan rakyat dari segenap lapisan, bukanlah sekadar regu utama yang berdialog di meja.

Sabagai salah seorang yang duduk di meja dialog mewakili MARA Patani saya terkejut dan kecewa dengan apa yang berlaku. Pada pandangan saya ia tidak harus terjadi di dalam keaadaan di mana proses damai sedang berjalan. Suara rakyat harus didengari dan pandangan mereka diambil kira serta turut diangkat ke meja dialog.

 Nampaknya pihak kerajaan tentera masih lagi berdolak dalik  dan tidak komited dalam  proses damai. Di meja dialog mereka masih belum bersedia untuk berdialog secara rasmi . Di lapangan pula mereka masih tidak mahu buka peluang untuk mendengar suara rakyat. Sedangkan apa yang diperkatakan di atas meja itu kesemuanya berkaitan dengan nasib rakyat.

Biar saya rujuk kembali kepada arahan Perdana Menteri bilangan 230/2557 yang ditandatangani sendiri oleh General Prayut Chan-O-Cha bertarikh 26/11/2557 atau 2016, berhubung khusus dengan proses dialog damai ;  Perkara-perkara  2 (4), 6(3-4), 7(2), 9(1) dan 10(2). Kesemuanya menekankan supaya dibuka saluran komunikasi dan penyelarasan dengan pihak berkepentingan ( stake holders) termasuklah rakyat di lapangan supaya proses dialog damai boleh berjalan lancar, terutama di peringkat tempatan yang di bawah bidang kuasa Pusat Keselamatan Dalam Negeri( Internal Security Operation Command- ISOC)  Bahgian 4 dan Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan (Southern Border Provinces Administration Centre- SBPAC)  yakni  Kumpulan Kerja Penyelarasan  Antara Agensi Setempat (Area-based Inter-agency Coordination Working Group). Di peringkat polisi ia ditulis begitu baik dan meyakinkan namun diperingkat perlaksanaan ia tidak dipraktikan sama sekali.

Sudah sampai masanya pihak kerajaan  tentera berubah sikap keras mereka dengan membuka ruang untuk rakyat bersuara secara bebas tanpa sekatan , tekanan atau ugutan dalam menyatakan kenginan sebenar  mengenai kedamaian. Aktiviti di Krisek perlu dilihat sebagai satu dorongan untuk kedamaian bukan sebaliknya.

Secara peribadi saya memuji pihak aktivis Jaringan kerana akur mematuhi larangan itu secara sopan tanpa menimbulkan ketegangan atau bertindakbalas dengan kekerasan. Saya juga mendengar dan sambut baik akan pernyataan TIGA perkara yang dibangkitkan oleh mereka . Perkara ini akan diangkat kepada pihak pimpinan MARA Patani dan sudah pasti akan membawa suara rakyat  menjadi satu agenda penting di meja dialog.

Saya juga bersetuju bahawa : KEDAMAIAN YANG KEKAL DAN KEDAMAIAN YANG BERMARUAH ITU ADALAH KEDAMAIAN YANG TERKAIT DENGAN KEHENDAK RAKYAT.

 

Abu Hafez Al-Hakim - dari luar pagar Patani

22 September 2016 / 20 Zul Hijjah 1437 H