Skip to main content

Nampaknya, pada pandangan sesetengah orang tempatan di Patani, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan masyarakat madani (CSO) tidak boleh, tidak wajar atau tidak seharusnya menerima bantuan kewangan daripada Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC atau so or bo to, ศอ.บต.). Tetapi pandangan sedemikian merupakan pandangan yang agak sempit.

Seyogia diingatkan bahawa tidak ada duit yang boleh dikategorikan sebagai 'duit SBPAC' di dunia ini. Hal ini kerana SBPAC tidak mempunyai sumber kewangan kecuali belanjawan yang diperuntukkan oleh pihak pemerintah (kerajaan). Belanjawan pemerintah juga bukanlah wang yang dihasilkan oleh pemerintah sendiri, melainkan hasil titik peluh rakyat melalui cukai. Dengan demikian, apa yang kita panggil "duit SBPAC" (atau dalam bahasa Melayu tempatan, duit so or bo to)  itu tidak lain dan tidak bukan ialah duit rakyat.

Tidak dapat dinafikan bahawa apabila badan berkenaan yang pada ketika ini diketuai oleh Thawee Sodsong memberikan bantuan, ada juga agenda-agenda tertentu. Adakah kita sama sekali tidak berhak untuk menerima bantuan itu?

Setiap sekob (satu Bath) wang yang disalurkan oleh pemerintah datang dengan agendanya tersendiri. Ada yang berniat jahat dan ada yang berniat baik. Dengan demikikan, sama ada kita harus menerima wang berkenaan atau tidak, kesemuanya bergantung kepada pendirian kita.

Jika kita melakukan sesuatu untuk kebaikan masyarakat tempatan, dan kita memerlukan wang untuk itu, dan SBPAC pula mahu memberikan bantuan kewangan, terima sahaja, bukan sebagai amanah daripada SBPAC, tetapi sebagai amanah daripada rakyat. Wang itu tidak perlu sama sekali digunakan untuk agenda-agenda tertentu oleh badan berkenaan atau pembesar-pembesar dalam pemerintah, tetapih hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya demi kebaikan rakyat. KIta tidak perlu berterima kasih kepada piha SBPAC atau pembesar-pembesar sama sekali, kerana menyalurkan sumber kewangan ialah salah satu tugas mereka. Mereka bukan 'memberikan' wang itu kepada kita, tetapi hanya 'menyalurkan'nya kepada kita. Kita perlu sedar bahawa wang itu datang daripada rakyat, hanya melalui tangan-tangan pembesar atau pertubuhan itu sahaja. 

Walau bagaimanapun, kita juga harus tetap dengan pendirian kita. Jika pendirian kita tidak tetap, wang itu boleh menyelewengkan kita. Inilah bahaya yang perlu elakkan. Oleh yang demikian, pertubuhan-pertubuhan NGO atau CSO di Patani juga perlu memiliki kekuatan dan kestabilan kewangan demi menjalankan tugas yang bermanfaat kepada rakyat temapatan. 

Izinkan penulis mengambil contoh daripada Indonesia, iaitu pengalaman pertubuhan bantuan undang-undang yang bernama Lembaga Bantuan Hukum (atau LBH. baca: El Be Ha). Lembaga ini merupakan satu organisasi yang amat besar dengan adanya kira-kira 250 orang peguam yang bertugas, dan bertujuan untuk memberikan bantuan hukum (pertolongan dari segi undang-undang, sama seperti Pusat Peguam Muslim Thailand atau MAC di Patani). Oleh sebab organisasinya besar dan tugasnya pula berat sekali, lalu pertubuhan ini juga memerlukan sumber kewangan. Sumbernya pelbagai-bagai, termasuk juga wang daripada pemerintah. Tetapi ini tidak bermakna LBH terletak di bawah konkongan pemerintah. Pendiriannya tetap. Jika pemerintah melakukan kesalahan, LBH akan tetap mengkritik dan mempertikaikan kesalahan tersebut, dan akan menolong orang yang menjadi mangsa atau korban daripadanya. Dengan demikian, menerima bantuan kewangan daripada pemerintah bagi LBH tidak bermaksud LBH sudah dibeli oleh pemerintah. Jika pemerintah mahu menuntut supaya wang itu dikembalikan kerana LBH sudah memusuhi pemerintah, LBH juga akan mengembalikan wang tersebut KERANA ADA SUMBER KEWANGAN YANG LAIN. 

Daripada pengalaman ini, jelaslah bahawa pertubuhan-pertubuhan NGO atau CSO di Patani juga perlu mempunyai kekuatan kewangan. Memandangkan kepentingan SBPAC dalam koteks patani yang amat besar, tidak dapat dinafikan bahawa sumber kewangan daripada agensi kerajaan tersebut merupakan satu sumber yang penting. Walau bagaimanapun, NGO dan CSO di Patani juga perlu berdikari dari segi kewangan. Dengan kata lain, NGO dan CSO di Patani perlu meningkatkan keorganisasiannya sendiri supaya mampu menanggung bantuan daripada sumber kewangan yang lain.

Sebenarnya ada banyak sekali pertubuhan yang ingin menghulurkan bantuan kewangan. Tetapi masalahnya ialah mereka tidak tahu ke manakah wang itu boleh disalurkan. Oleh itu, NGO dan CSO di Patani perlu mampu melakukan perkara-perkara berikut. 

1. Membuat cadangan atau proposal yang baik

Saluran kewangan yang paling mudah ialah melalui projek. Rancangan ini perlu ada strategi dan  rancangan yang jelas. Kita perlu meyakinkan pihak luar betapa pentingnya projek ini untuk megembangkan masyarakat di Patani, dan bagaimanakah wang itu diperlukan untuk melaksanakannya. Di samping itu, projek-projek itu perlu jelas tentang matlamat, cara pelaksanaan, tempoh dan penggunaan sumber. Proposal yang berkualiti tinggi dapat meyakinkan pihak luar untuk memberikan bantuan kewangan kepada kita. 

2. Menguruskan organisasi dengan baik

Pengurusan organisaisi merupakan aspek yang amat penting. Jika sesebuah organisasi mempunyai ramai ahli dan beberapa cawangan, cara bekerjanya harus konsisten (tidak berpecah-belah). Semua anggota dan cawangan harus menuju ke tujuan yang sama dengan adanya kerjasama yang erat dan terancang. Hubungan dalam organisasi juga amat penting. Perkara yang keerap kali berlaku dalam NGO dan CSO di Patani ialah sebahagian ahlinya tidak diberitahu tentang perkara-perkara tertentu berkenaan dengan rancangan organisaisinya sendiri. Masalah sedemikian perlu dielakkan. NGO dan CSO di Patani juga perlu teratur, sama seperti sebuah syarikat atau agensi kerajaan. 

3. Menguruskan kewangan dengan baik 

Apabila melakukan satu-satu projek, kita perlu sentiasa sedar bahawa sumber kewangan kita terhad. Dengan demikian, sumber kewangannya perlu diuruskan dengan baik. Semua perbelanjaan dan pembelian harus ada resit penyata bayaran. Jika ada perkara-perkara yang tidak jelas tentang penggunaan sumber kewangan, hal ini akan menjadikan pertubuhan kita sebagai organisasi yang tidak boleh dipercayai.

4. Membuat laporan yang jelas dan teratur

Laporan sesebuah projek sama penting dengan projeknya itu sendiri. Pertama kerana sebagai tanggungjawab terhadap pihak yang memberikan bantuan kewangan, dan kedua kerana laporan yang baik akan menjadi bukti bahawa pertubuhan kita merupakan sebuah pertubuhan yang boleh menampung bantuan kewangan.

Daripada penjelasan di atas, boleh disimpulkan bahawa wang daripada SBPAC boleh kita manfaatkan demi tujuan kita. Walau bagaimanapun, untuk menerima wang tersebut, kita sendiri perlu kuat dan berdikari. Sumber kewangan hendaklah pelbagai, bukan sahaja bergantung kepada pihak tertentu (SBPAC, misalnya) tetapi daripada sumber-sumber yang lain. Ini amat penting untuk kemandiran dan kesinambungan organisasi, supaya organisasi kita tidak menjadi 'alat' bagi kepentingan tertentu, tetapi supaya tetap kekal sebagai organiasi yang memanfaatkan masyarakat tempatan.