Skip to main content

APAKAH DIA MARA PATANI ?

 

 ISRA NEWS AGENCY pada 11 Mei 2015 dan BANGKOK POST pada 17 Mei 2015  telah melapurkan tentang penubuhan sebuah organisasi yang diberi nama MAJLIS AMANAH RAKYAT PATANI atau ringkasnya Mara Patani. Profesor Dr.Sri Somphop, seorang ahli akademik perdamaian di Selatan juga menyebut hal Mara dalam wawancara TV internet "Thaivoicemedia" pada 17 Mei 2015. Ia dikatakan sebagai usaha oleh pihak Malaysia, selaku fasilitator dalam dialog damai, menghimpunkan 6 pertubuhan perjuangan Patani bernaung di bawah satu organisasi payung atas nama tersebut.Terdapat beberapa maklumat yang kurang tepat dan mengelirukan di dalam kesemua lapuran itu.

Sebelum ini sudah ada khabar angin sekitar beberapa bulan yang lalu menyebut tentang kewujudan Mara Patani dengan beberapa andaian , tekaan  malah tohmahan berhubung dengan Mara Patani. Oleh yang demikian atas rasa tanggungjawab untuk memberikan  informasi sebenar berdasarkan sumber dalaman yang dekat dan boleh dipercayai ,saya mengambil kesempatan ini  untuk menghuraikan secara ringkas apa yang difahami mengenai  MARA PATANI.

Asal  MARA Patani( Majlis Amanah Rakyat Patani)  adalah initiatif dari kalangan ahli BRN(Barisan Revolusi Nasional)  yang pro-perundingan sebagai satu aksi atau tindakan proaktif kepada proses dialog damai . Ia ditubuhkan sejak 25/10/14  oleh gabungan anggota BRN lama dan baru termasuk juga dari kalangan pemuda , ulama dan angkatan bersenjata. Mereka dipercayai berusaha sebagai "Kumpulan Bertindak  BRN" yang cenderung kepada mencari penyelesaian politik secara rundingan dengan kerajaan Thai.

Tidak diketahui sejauh mana mereka mendapat dokongan daripada organisasi induk BRN ataupun dari kalangan pasukan bersenjata BRN, namun mereka bersikap optimistik bahawa sekiranya  tindakan mereka ini membuahkan hasil yang positif mereka pasti akan mendapat dokongan dan sokongan daripada keduanya, termasuk juga daripada rakyat umum. Tanggungjawab untuk mendapat restu dari kepimpinan BRN atas initiatif ini  adalah terletak di atas bahu mereka semua.

Pada pertengahan bulan Mac 2015 Kumpulan Bertindak BRN  ini telah membuka peluang kepada organisasi perjuangan Patani yang lain untuk menyertai  bersama di bawah satu organisasi payung  dan bermuafakat  menentukan halatuju dalam perjuangan termasuk juga dalam menetapkan tuntutan secara bersama dalam rundingan damai dengan pihak Thai.

Setelah berbincang dengan panjang lebar selama beberapa  hari akhirnya semua bersepakat dan bersetuju bahawa organisasi payung itu diubahsuai strukturnya dan di beri nama baru : MAJLIS SYURA PATANI - atau ringkasnya juga disebut MARA Patani  ( sebagai pengiktirafan kepada initiatif BRN). Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil PATANI CONSULTATIVE COUNCIL (PCC) .Organisasi-organisasi perjuangan yang terlibat ialah :

            1. Barisan Revolusi Nasional (Kumpulan Bertindak BRN)

            2. Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP)

            3. Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani (PULO-P4)

            4. Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu ( PULO-dspp)

            5. Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu ( PULO-mkp) , dan

            6. Gerakan Mujahidin Islam Patani (GMIP)

Penglibatan enam pertubuhan perjuangan Patani di dalam MARA Patani ini dengan sendirinya menjadikan MAJLIS SYURA PATANI ( MARA Patani)  satu organisasi pakatan bagi hampir kesemua kumpulan perjuangan Patani yang masih aktif pada hari ini, walaupun pada asalnya ia adalah initiatif dari BRN secara eksklusif. Berdasarkan sumber dalaman , penubuhan Majlis Syura Patani  yang baru ini adalah atas persepakatan dan persetujuan kesemua organisasi perjuangan terlibat tanpa pengaruh, dorongan atau tekanan daripada pihak Malaysia, selaku pemudahcara.

Untuk masa sekarang MARA Patani hanya  dianggotai oleh wakil-wakil enam pertubuhan perjuangan di atas. Pada masa akan datang MARA Patani akan menerima masuk wakil-wakil lain yang ada kepentingan( Stake-holders) di Patani duduk  bersama dalam organisasi payung ini supaya dapat  difikirkan  secara bersama berkenaan halatuju dan tuntutan politik sebenar yang rakyat Patani inginkan.

Walaupun proses penubuhan Mara Patani itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai usaha "Top-down", dari atas ke bawah, bukannya tercetus dari suara akar umbi di kalangan rakyat Patani, namun sebagai proses perjuangan  menuntut kebebasan dan kemerdekaan tidak menjadi satu kejanggalan bahawa usaha ini adalah hasil  initiatif dari kalangan pertubuhan perjuangan sendiri yang telah melancarkan gerakan selama lebih setengah abad.

Tujuan penubuhan Mara Patani bukan sekadar untuk melibatkan diri dalam rundingan damai dengan Thailand tetapi juga akan terus berusaha  untuk mendapat sokongan dan dokongan antarabangsa bagi perjuangan rakyat Patani dalam kerangka "Right to Self-Determination". Perlu ditegaskan  juga bahawa walaupun kesemua pertubuhan perjuangan Patani itu bersetuju untuk menyertai proses  dialog damai, tidak satu pun yang bersedia menggugurkan tuntutan kemerdekaan yang mereka perjuangkan sekian lama.

Sebagai sebuah organisasi payung yang baru ditubuhkan MARA PATANI tentunya tidak sunyi daripada kekurangan dan kelemahan di beberapa segi. Dengan keazaman dan kesungguhan semua pihak yang mendokongnya dan persetujuan yang dicapai secara sepakat adalah dijangkakan MARA PATANI dapat diperkukuhkan dan dimantapkan dari semasa kesemasa.

Mungkin MARA Patani bukanlah wadah terbaik untuk memperjuangkan cita-cita bangsa Melayu Patani , tetapi pada saat ini ia adalah satu-satunya suara muafakat yang boleh diketengahkan untuk mendapat dokongan daripada semua lapisan rakyat , samaada dengan ada atau tidaknya proses  damai.

Ada satu kebimbangan dari kalangan pemerhati bahawa  Mara Patani akan menemui kegagalan jika anggota BRN yang ada peranan di dalamnya, yakni Kumpulan Bertindak BRN, bukan dari kalangan mereka yang mendapat mandat organisasi. Terlalu awal untuk membuat penilaian secara objectif apakah Mara Patani akan mampu berperanan secara efektif dalam proses dialog , terus mara dan maju atau sebaliknya melainkan keadaan dan masa sahaja yang akan menentukan.

Dalam masa terdekat sekretariat MARA PATANI akan mengadakan satu konvensyen atau muktamar MAJLIS SYURA PATANI bagi mengesahkan penubuhannya, bersama  menentukan halatuju dalam perjuangan dan mengisytiharkan penubuhannya secara rasmi .

Akhir sekali, sumber dalaman pihak MARA PATANI berharap organisasi masyarakat (CSO),badan bukan kerajaan(NGO),para aktivis  dan rakyat Patani semua yang inginkan perubahan ,keadilan dan kebebasan akan beri sokongan padu  kepada Mara Patani sebagai SATU SUARA dan SATU SALURAN membela kehendak dan aspirasi rakyat Melayu Patani. Mereka juga menyeru pihak-pihak lain yang berkepentingan di Patani menyahut seruan Mara Patani apabila kelak dijemput untuk bersama-sama berganding bahu mengusung tanggungjawab berat ini.

Sama sama kita semua tunggu apakah respon dari semua pihak selepas MARA Patani dimasyhurkan secara rasmi tidak lama lagi.

 

Abu Hafez Al-Hakim, dari Luar Pagar Patani

23 Mei 2015 /  5 Shaaban 1436