Skip to main content
Dijemput Hadir,
Wacana Pemikiran Tuan Guru Haji Sulong
09 January 2016
Tempat lokasi: Dewan Saminar, Dewan Bahasa dan Pustaka
Wilayah Timur, Kota Bharu Kelantan
Masa 08:30 hingga 01.00 Petang
 
 
Alam melayu mengandungi khazanah ilmu Islam yang cukup signifikan kepada umat Islam serantau. Tradisi keilmuan Islam ini telah digembleng dan disebarkan  oleh para Ulama yang ikhlas memperjuangkan dakwah Islamiah di nusantara. Di era kolonial kita telah menyaksikan seorang sosok iaitu Tuan Guru Haji Sulong Al-Fathani adalah seorang figura yang telah memainkan peranan penting sebagai seorang tokoh ilmuan masyarakat Islam dalam berhadapan tribulasi dan perluasan kuasa dunia luar Islam. 
 
Kedatangan penjajah barat ke Asia Tenggara tidak dapat mengubah pandangan alam itu, malah terus dimanfaatkan oleh para intelek dan pengkaji hari ini, terutama dalam menjawab cabaran dan tribulasi yang menimpa negeri-negeri melayu yang menjadi sasaran perluasan kuasa pihak kolonial. Antara mereka yang berperanan penting dalam proses Islamisasi dan pengislaman pandangan alam Melayu Nusantara ialah Ulama dari Patani. 
 
Tuan Guru Haji Sulong Al-Fathani adalah salah seorang Ulama Patani yang telah meninggalkan banyak tinta yang berharga, antaranya kitab Gugusan Cahaya Keselamatan. Kitab ini ditulis ketika beliau berada di penjara Legor. Gugusan Cahaya Keselamatan selesai ditulis pada 3 Zulkaedah 1368 hijrah bersamaan dengan 28 Ogos 1949. Cetakan pertama sebanyak 10,000 ribu naskah telah diusahakan oleh Haji Muhammad Amin anak Haji Sulung.
 
Tuan Guru Haji Sulong Al-Fathani pada latar sejarahnya telah diberi kepercayaan menjadi Ketua Majlis Agama Islam Pattani. Pelantikan ini telah memberi peluang kepada Haji Sulung untuk mengembleng dan mengusahakan pentadbiran undang-undang Islam di wilayah tersebut. Justeru itu dengan tanggungjawab tersebut juga dijadikan sebagai platfrom untuk Haji Sulung menyuarakan pandangan, saranan dan aspirasi umat Islam selatan Thai kepada pihak berkuasa. Impak daripada kekentalan Tuan Guru Haji Sulong Al-Fathani memperjuangkan nasib umat Islam di wilayah tersebut telah menyebabkan kerajaan Siam di zaman Khuan Apaiwong mengambil langkah membenarkan pengajaran dalam  bahasa melayu di sekolah-asekolah rendah kebangsaan dan memulihkan ekonomi di kawasan majoriti Umat Islam di selatan Thai. 

 

Pemikiran Tuan Guru Haji Sulong juga sebenarnya menjadi mercu tanda pengembangan idealisme Islam, dan dan jati diri dalam kerangka pembaharuan pemikiran yang perlu digali dan dihayati oleh generasi moden hari ini agar identiti dan akar warisan Islam kekal terpelihara dan dijunjung agar nilainya ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.Semoga Wacana Pemikiran Tuan Guru Haji Sulong Al-Fathani : Kilauan Permata Patani dapat direalisasikan penganjurannya dan memberi manfaat yang berguna kepada umat Islam di Kelantan Khususnya dan nusantara amnya. 
 
OBJEKTIF PROGRAM 
 
1. Meneladani perjuangan Ulama-ulama silam dalam menghadapi era moden 
 
2 .Memperkembangkan dan memajukan bahasa warisan sejarah Ulama dalam membentuk idealisme dan memelihara estetika tokoh. 
 
3. Mempertahankan keaslian khazanah dan mutiara Islam di Nusantara mendepani era globalisasi.
 
4. Mengembleng masyarakat melayu Islam yang berindentiti dan berpegang pada jati diri dan aqeedah yang benar. 
 
5. Mempertahankan survival masyarakat Islam dalam menjulang jati diri yang luhur di alam melayu.