Skip to main content

Kanak-kanak adalah pemimpin masa depan bangsa. Kanak-kanak juga adalah golongan yang berhak dan perlu diberi perlindungan kerana dalam kebanyakan keadaan, mereka mudah terdedah kepada pelbagai bahaya sama ada menjadi mangsa atau pun berada dalam situasi yang terancam membabitkan keselamatan diri terhadap entiti kanak-kanak terutama dalam sesebuah negara yang berkonflik seperti di Patani. Kanak-kanak  masih belum dewasa dan belum boleh membuat keputusan sendiri. Atas faktor itu mereka dilindungi oleh hukum dan memerlukan penjagaan dan pemantauan khas oleh semua pihak.

Menurut konvensyen mengenai hak kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) atau the United Nation Convention on the Rights of the Children (UNCRC)  20 November 1989, hukum perlindungan hak kanak-kanak mengandungi 3 Bahagian dan  54 perkara.  Bahagiama pertama dari perkara 1 hingga perkara 41. Bahagian kedua dari perkara 42 hingga perkara 45 dan bahagian ketiga dari perkara 46 hingga perkara 54.

 

Bahagian  pertama tentang takrif kanak-kanak: Perkara 1.

Bagi maksud Konvensyen ini, seseorang kanak-kanak ertinya tiap-tiap manusia bawah umur lapan belas tahun melainkan jika, dibawah undang-undang yang terpakai bagi kanak-kanak itu, dia mencapai umur dewasanya sebelum itu.

 

Tentang pendidikan kanak-kanak Perkara 28  

  1. Negara-Negara Pihak mengiktiraf hak kanak-kanak terhadap pendidikan, dan dengan tujuan untuk mencapai hak ini secara berperingkat-peringkat dan atas dasar peluang yang sama, mereka hendaklah, secara khususnya:

 

  1. Menjadikan pendidikan rendah diwajibkan dan diadakan secara percuma kepada semua;
  2. Menggalakkan perkembangan pendidikan menengah dalam pelbagai bentuk, termasuk pendidikan am dan vokasional, mengadakan pendidikan itu dan terbuka kepada tiap kanak-kanak, dan mengambil langkah yang sewajarnya seperti memperkenalkan pendidikan percuma dan menawarkan bantuan kewangan jika diperlukan;
  3. Menjadikan pendidikkan tinggi kepada semua atas dasar keupayaan melalui berbagai cara yang sewajarnya;
  4. Menjadikan maklumat pendidikan dan vokasional dan bimbingan diadakan dan terbuka kepada semua kanak-kanak;
  5. Mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan kehadiran secara tetap di sekolah dan mengurangkan kadar keciciran. 

 

Tentang kanak-kanak penduduk asal tanpa negara ditanah air sendiri. Perkara 30.

Dalam Negara di mana wujudnya minoriti etnik, agama, atau linguistik atau orang-orang yang asal-usulnya penduduk asal, seseorang kanak-kanak yang tergulung dalam minoriti sedemikian atau ialah penduduk asal tidaklah boleh dinafikan hak, dalam komuniti dengan anggota kumpulannya yang lain, untuk menikmati kebudayaannya sendiri, untuk menganut dan mengamalkan agamanya sendiri atau untuk menggunakan bahasanya sendiri.

 

Tentang Buruh kanak-kanak: Perkara 32.

  1. Negara-Negara Pihak mengiktiraf hak kanak-kanak untuk dilindungi daripada eksploitasi ekonomi dan daripada menjalankan apa-apa kerja yang berkemungkinan berbahaya atau mengganggu pendidikan kanak-kanak itu, atau adalah mendatangkan keburukan kepada kesihatan kanak-kanak atau perkembangan fizikal, mental, kerohanian, kemoralan atau sosial kanak-kanak itu.
  2. Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil langkah-langkah perundangan, pentadbiran, sosial dan pendidikan untuk memastikan pelaksanaan perkara ini. Dalam hal ini, dan setelah mengambil kira peruntukan yang berkaitan surat cara antarabangsa yang lain, Negara-Negara Pihak hendaktah secara khusus:

 

  1. Membuat peruntukan mengenai umur atau umur minimum bagi kebenaran untuk bekerja; 
  2. Membuat peruntukan mengenai pengawal seliaan, masa dan keadaan bekerja;
  3.  Membuat peruntukan mengenai penalti yang sewajarnya atau apa-apa hukum lain untuk memastikan penguatkuasaan yang berkesan perkara ini.

 

 Tentang kanak-kanak dalam keadaan konflik bersenjata. Perkara 38.

  1. Negara-Negara Pihak mengaku janji untuk menghormati dan memastikan rasa hormat bagi kaedah-kaedah undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang terpakai bagi mereka dalam konflik bersenjata yang berkaitan dengan kanak-kanak.
  2. Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil segala langkah boleh laksana untuk memastikan bahawa orang yang belum mencapai umur lima belas tahun tidak mengambil bahagian secara langsung dalam permusuhan.
  3. Negara-Negara Pihak hendaklah menahan diri daripada merekrut mana-mana orang yang belum mencapai umur lima belas tahun ke dalam angkatan tentera mereka. Dalam merekrut di kalangan orang yang telah mencapai umur lima belas tahun tetapi belum lagi mencapai umur lapan belas tahun. Negara Pihak hendaklah berusaha untuk memberikan keutamaan kepada mereka yang paling tua.
  4. Mengikut obligasi mereka bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk melindungi penduduk awam dalam konflik bersenjata, Negara-Negara Pihak hendaklah mengambil segala langkah boleh laksana untuk memastikan perlindungan dan jagaan kanak-kanak yang terjejas oleh sesuatu konflik bersenjata.

Menurut hukum antarabangsa telah menetapkan umur dewasa seseorang kanak-kanak lelaki dan perempuan itu ialah 18 tahun. Tetapi kanak-kanak  Melayu Islam Patani, ditetapkan menurut undang-undang perlindungan Islam (Hukum Syara’) ialah Aqil Baligh, yakni berbeza antra kanak-kanak lelaki dengan perempuan. Kanak-kanak lelaki  ialah 15 tahun dan  kanak-kanak perempuan ialah berdasarkan kedatangan darah haid yang pertama selewat-lewatnya 13 atau 14 tahun.

Kanak-kanak di bawah umur18 tahun tidak boleh diambil menjadi pekerja atau menjadi anggota tentera, baik oleh orang perseorangan, badan kerajaan atau badan bukan kerajaan.

Saranan untuk meletakkan had minimal umur kanak-kanak kepada 15 menurut hukum Islam dan 18 tahun menurut hukum antarabangsa itu, secara positifnya boleh menjayakan maksud kedua-dua hukum tersebut, yakni boleh menjaga diri sendiri atau bebas membuat keputusan sendiri.

Menurut hadis tentang hak seseorang manusia (dewasa dan kanak-kanak), Rasulullah SAW bersabda yang beremaksud: Tiap orang Mukmin telah diwajibkan oleh Allah mendapat tujuh hak daripada orang mukmin yang lain, iaitu:

1.     Memandangnya dengan penuh penghargaan,

2.     Menyimpan perasaan mesra dalam hati terhadapnya,

3.     Menghulurkan simpati dengan harta sendiri,

4.     Mengharamkan perbuatan mengumpat terhadapnya,

5.     Menziarahinya ketika sakit,

6.     Mengiringi jenazahnya (apabila meninggal dunia) dan

7.     Tidak menyebut tentangnya kecuali yang baik sahaja setelah ketiadaannya.

(Riwayat Ibnu Babawaih)

Kita kerap mendengar penubuhan jawatankuasa itu dan jawatankuasa ini, badan itu dan badan ini, yang kononnya bertujuan menangani hak kanak-kanak. 

Pada 1 Januari  2015, Yayasan  Kebudayaan dan Askar Kanak-Kanak Palang Merah  Antarabangsa (Child Soldiers International and the Cross Cultural Foundation) melaporkan   kajiannya sejak Desember 2013-April 2014 sumber yang diambil dari orang kampung yang ditemui dan juga dari sumber temu bual dengan 26 orang bekas anggota organisasi bersenjata rakyat bangsa tanpa negara (non-state armed group) yang menyerah diri kepada rejim tentera Siam Thailand. Memetik  kajian tersebut sebagai berkata  terdapat 13 orang kanak-kanak di babawah umur 18 tahun diambil oleh Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menjadi anggota tentera bersenjatanya. Menurut laporan itu lagi kanak-kanak tersebut telah diberi berbagai-bagai peranan, antaranya sebagai peninjau, mengumpul malumat dan juga menyertai operasi.  

Sejauh mana kesahehan laporan dari kajian itu terserah kepada pihak yang berkenaan menilai dan menguat kuasa undang-undang perlindungan hak kanak-kanak yang terpakai untuk menhindari pelanggarannya. Laporan tersebut penting bagi kita warga Melayu Patani mempelajari dan memahami hukum perlindungan hak kanak-kanak antarabangsa dan hukum perlindungan hak kanak-kanak yang dipakai di Patani.

Berdasarkan hukum perlindungan hak kank-kanak dalam keadaan konflik bersenjata perkara 38 diatas ayat 2 dan 3.  Dibolehkan mengambil anggota tentera lelaki berumur 15 tahun menurut hukum terpakai di Patani, tapi keutamaan hendaklah diberikan dahulu kepada mereka yang paling tua (18 tahun).

Kata pepatah Melayu, “berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya”  kerana hak kanak-kanak memerlukan perlindungan, penjagaan dan kasih sayang oleh semua pihak semoga dapat direalisasikan;

·        Untuk dilahirkan, mempunyai nama dan kewarganegaraan

·        Untuk mempunyai keluarga yang menjaga dan menyayangi.

·        Untuk tinggal di dalam komuniti dan persekitaran yang aman dan damai.

·        Untuk mendapat makanan yang berzat dan sihat.

·        Untuk mendapatkan pendidikan yang baik dan membentuk potensi diri.

·        Untuk berkawan dan beriadah.

·        Untuk dilindungi daripada penderaan, eksploitasi, kecuaian dan keganasan.

·        Untuk mendapat pembelaan dan bantuan kebajikan dari pihak yang berwajib.

 

Kesimpulannya:

1.     Kanak-kanak ialah mereka yang berumur di bawah 18 tahun, kecuali di bawah hukum   Syara (Islam) di mana kedewasaan seseorang kanak-kanak itu ialah 15 tahun bagi lelaki dan perempuan lebih awal menurut kedatangan haid yang pertama selewat-lewat 13 atau 14 tahun.

2.     Semua pihak tidak boleh memaksa kanak-kanak bergabung dengan pasukan bersenjata atau bekerja sebagai buruh dalam apa cara sekali pun.

3.     Semua pihak tidak  boleh mengambil atau membenarkan kanak-kanak menjadi anggota pasukan bersenjata, atau bekerja sebagai buruh walaupun mereka menawarkan diri secara sukarela.

4.     Kanak-kanak hanya boleh ditahan sebagai langkah terakhir oleh yang berwajib.

5.     Semua pihak tidak boleh membunuh kanak-kanak.

6.     Semua pihak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk melindungi kanak-kanak daripada kekerasan bersenjata.

7.     Semua pihak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kanak-kanak diberikan perlindungan, bantuan dan penjagaan keperluan mereka.

8.     Semua pihak hendaklah mengamal dan mematuhi peraturan-peraturan hukum hak kanak-kanak ini.

9.     Semua pihak hendaklah mengambil segala langkah boleh laksana untuk memastikan perlindungan dan jagaan kanak-kanak yang terjejas oleh sesuatu konflik bersenjata.

10.  Pelanggaran  hak kanak-kanak hendaklah diawasi mengikut piawaian antarabangsa.

Oleh itu semua pihak perlu memupuk kesedaran sivik tentang pentingnya tanggungjawab menjaga dan melindungi hak kanak-kanak termasuk pihak media dan  sektor swasta. Atas bahu badan-badan yang berurusan secara langsung dengan kanak-kanak dapat mengenal pasti dan bekerjasama dengan badan-badan yang bertanggungjawab hak kanak-kanak tempatan, serantau dan antarabangsa melaporkan kes-kes pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi, tujuan untuk di ambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu, badan kerjaan dan bukan kerajaan yang yang bertanggungjawab atas pelanggaran hukum perlindungan hak kanak-kanak. Semua pihak hendaklah fokus kepada aspek hukum perlindungan dan khasnya kepada kanak-kanak dalam keadaan konflik bersenjata di Patani.