Skip to main content
 HAK PERTUANAN BANGSA MELAYU PATANI
TUNTUTAN AWAL 5 PERKARA ( Bahgian ke 2 )
** Dalam Bahgian pertama -  http://www.deepsouthwatch.org/ms/node/4706 telah dikupas Tuntutan Awal 5 Perkara secara terperinci, kecuali perkara ke-4, yang bersangkut paut dengan HAK PERTUANAN. Bahgian kedua ini akan membincangkan perkara tersebut itu - Penulis.
 
Tuntutan Awal perkara 4 - Kerajaan Thai mesti mengakui wujudnya  HAK PERTUANAN BANGSA MELAYU PATANI atas bumi Patani.
 
Seperti dinyatakan sebelum ini, perkara ke-4 ini adalah satu isu pokok (core issue) yang menjadi PAKSI kepada segala permasaalahan konflik Patani yang berlanjutan lebih dari 200 tahun. Perbincangan isu yang penting ini tidak akan lari dari perkara perkara yang melibatkan kebenaran dari segi sejarah, politik dan perundangan.
 
Untuk mengupas kosep HAK PERTUANAN BANGSA MELAYU PATANI perlu dilihat dari TIGA aspek penting konsep ini. Pertama PATANI sebagai BUMI, kedua BANGSA MELAYU sebagai ETNIK,  dan ketiga HAK PERTUANAN sebagai PEMILIK  BERKUASA. Berikut ini akan diperincikan satu persatu .
 
1. PATANI sebagai BUMI - Apabila memperkatakan tentang PATANI harus kembali kepada hakikat sejarah. Majoriti ahli dan pengkaji sejarah telah sepakat bahawa kawasan di bahgian Thai Selatan yang merangkumi tiga wilayah terselatan iaitu  Pattani, Yala dan Narathiwat dan sebahgian daripada Songkhla sekarang adalah dahulunya sebuah empayar besar yang dikenali sebagai LANGKASUKA. Ahli sejarah menganggarkan empayar ini wujud pada kurun pertama Masihi atau sebelum itu lagi. Mengikut catatan orang China pada tahun 515 seorang raja dari Langkasuka bernama Bhagadatta telah mengadakan perhubungan diplomatik dengan China dan menghantar utusan ke negara itu pada tahun 523, 531 dan 568. Catatan China juga menyebut pelbagai nama bagi Langkasuka: Lang-Ya-Shiao, Lang-Yi-Sia, Lang-see-chia dan lain-lain.
 
 Ini bererti bahawa Langkasuka diasaskan jauh lebih awal dari Empayar Sukhothai (1238 M) yang dianggap oleh orang Siam sebagai permulaan mereka berkerajaan. Ada pun Empayar Lavo yang diasaskan pada sekitar tahun 450 AD adalah sebuah kerajaan bangsa Mon ( bukan dari bangsa Thai) yang pernah bernaung di bawah Empayar Khmer sehingga ia dijadikan sebahgian dari Empayar Ayutthaya pada tahun1388 M.
 
Langkasuka, walaupun sebagai sebuah empayar besar pada masa tertentu apabila lemah telah dinaungi oleh empayar lain yang lebih kuat seperti Seriwijaya( berpusat di Palembang, Sumatra), Majapahit (berpusat di pulau Jawa) dan Sukhothai melalui kerajaan naungannya Tambralinga (berpusat di Ligor).Dalam keadaan tertentu apabila penguasaan asing menjadi lemah, kerajaan Langkasuka kembali berdaulat dan merdeka. Kesan peninggalan sejarah berupa kota dan rumah ibadat didapati bertaburan di seluruh wilayah Selatan sekarang terutama di ibu kotanya KOTA MAHLIGAI disekitar Kampung Chalik, Daerah Yarang sekarang.
 
Apabila pusat pemerintahan berpindah ke lokasi baru di KERISIK atau di Pata Ini (atau setengah riwayat menyatakan Kampung Pak Tani) maka dinamakan negeri itu PATANI, sehinggalah apabila raja memeluk Islam (dari asal Buddha) dan diasaskan sebuah pemerintahan Islam, dinamakan pula sebagai PATANI DARUSSALAM. Hanya apabila serangan dari Siam (yang sentiasa mahu mengembangkan wilayahnya) datang bertubi-tubi bermulanya dari Kerajaan Ayutthaya sehinggalah akhirnya berjaya ditawan pada tahun 1786 M dalam pemerintahan Raja Rama 1 dari Dinasti Chakri. Setelah itu status negara Patani bertukar secara berperingkat dari sebuah negara yang berdaulat dan merdeka akhirnya menjadi sebahgian dari negara Thai seperti sekarang.
 
Oleh itu sama ada BUMI ini bergelar LANGKASUKA, PATANI, PATANI DARUSSALAM, MONTHON PATANI atau sekarang ini dipecah-pecahkan menjadi wilayah-wilayah (Changwad) yang kecil merangkumi Wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla di Thai Selatan, hakikatnya LOKASINYA TETAP SAMA, BUMI YANG SAMA, langitnya dan lautnya juga. Meskipun pada zaman-zaman tertentu sempadan dan wilayah yang dikuasainya berubah, BUMInya TIDAK BERUBAH.
 
2. BANGSA MELAYU sebagai ETNIK - Empayar Langkasuka dikategorikan oleh pengkaji sejarah sebagai NEGERI MELAYU BERPENGARUH INDIA ( Indianised Malay State ) atas asas ia diduduki dan dikuasai oleh orang Melayu, bertutur Bahasa Melayu, beradat dan kebudayaan Melayu.   Penganutan agama mengikut pengaruh dari India, iaitu agama HINDU pada awalnya sebelum bertukar menjadi BUDDHA waktu kemudian. Tulisan juga dipinjam dari tulisan Sanskrit gaya Pallava. Hanya pada zaman Patani Darussalam tulisan yang digunakan ialah dari huruf Arab yang dikenali sabagai tulisan Jawi.
 
Antara "Indianised Malay States" yang lain yang pernah wujud di Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara ialah Seriwijaya, Tambraliga, Majapahit, Melaka, Temasik (Singapura) dan lain-lain. 
Walaupun terdapat juga bangsa bangsa lain selain bangsa Melayu yang pernah menduduki Semenanjung Tanah Melayu (Malay Peninsula) seperti Mon (Burma), Khmer, Sumatra, Jawa, Siam Tai (selatan), Siam (Thai), Orang Asli  dan lain-lain,  tetapi BANGSA MELAYUlah yang paling DOMINAN dan tonggak pemegang kuasa.
 
Bukti pendudukan dan penguasaan Melayu di Semenanjung ini tidak sukar untuk diperolehi. Sebahgian besar penempatan penting adalah bernama Melayu. Bermula dari Segenting Kra (Kera), Cahaya atau Jaya ( Chaiya), Ligor (Nakhon Sri Thammarj ), Surat ( Suratthani ), Bedelung (Pathalung), Gerebi ( Krabi ), Bunga (Phu-nga/ Phang-nga), Bukit (Phuket ), Renong (Ranong), Terang ( Trang), Singgora (Songkhla ), Patani (Pattani), Jala (Yala), Menara ( Narathiwat ) dan Setul (Satun). Itu belum lagi daerah-daerah dan kampung-kampung kecil yang kebanyakannya adalah NAMA MELAYU. Hanya apabila zaman beredar selepas dijajah, sebutan nama turut berubah mengikut pengaruh bahasa asing (Siam) atau ditukar terus menjadi nama Siam.
 
Dapat disimpulkan bahawa sejak dari zaman Langkasuka  sampai ke era Patani Darussalam hingga ke hari ini, asal usul, sifat dan keturunan (ethnic ) bangsa MELAYU yang bermastautin di bumi ini secara turun-temurun  TIDAK PERNAH BERUBAH. Yang berubah hanyalah kepercayaan beragama, bermula dari Hindu kemudian Buddha dan akhirnya Islam.
 
3. HAK PERTUANAN - sebagai PEMILIK BERKUASA. Dari segi bahasa ia berarti "Hak Pemilik" (Ownership right). Hak Pertuanan sebagai satu kosep politik, ia bermakna " Suatu HAK yang diberi kepada atau yang ada pada atau yang diperolehi oleh, sesaorang atau suatu kaum, memilki SESUATU secara SAH, dan mempunyai KUASA MUTLAK ke atasnya." ( It is the RIGHT given to, or attained by or acquired by  a person or people, to OWN something rightfully, which he or they possess ABSOLUTE POWER over it). Dengan hak yang ada padanya, pemilik HAK yang SAH itu mempunyai kuasa pemilikan yang penuh dan bebas menentukan apa sahaja yang difikirkan sesuai dan baik untuk perkara atau barang yang dimilikinya.
 
Contoh paling mudah ialah sesaorang memiliki sebidang tanah secara SAH, sama ada secara dibeli, ditukar, dihadiahkan atau sebagai harta peninggalan. Secara SAHnya tanah tersebut adalah HAK MILIKnya (Ownership Right). Dia berkuasa penuh keatasnya dan bebas membuat apa sahaja ke atas tanah itu, sama ada hendak mengusahakannya dengan tanaman,membina rumah atau di sewakannya atau menjualkannya. Sekiranya ada sesaorang mahu menyewa tanah tersebut maka penyewaan itu tidak menjejaskan haknya  yang sah sebagai pemilik sebenar.
Kalaupun ada pihak tertentu yang datang entah dari mana, menceroboh dan merampasnya secara paksa , atau mengusir pemilik asalnya keluar, ia juga TIDAK meluputkan HAK MILIK sebenar pemilik tanah itu. Tuan tanah pemilik asal itu berhak dan pasti akan menuntut kembali tanah miliknya itu kerana itu adalah haknya yang sah.
 
Sejak dari zaman  Kerajaan Langkasuka sehingga ke era Patani Darussalam Hak Petuanan dari segi kuasa pemerintahan (sovereignty) adalah di tangan Raja, Sultan atau pemerintah dari kalangan orang berbangsa Melayu yang mendiami secara berterusan dan turun temurun di kawasan negeri itu. Walaupun pada mulanya agama berlainan pada zaman Langkasuka (Hindu dan Buddha), kemudian bertukar kepada Islam, mereka itu adalah dari keturunan dan talian yang sama, iaitu orang MELAYU. Ertinya Hak Pertuanan dalam kuasa memerintah adalah di tangan orang MELAYU. 
 
Meskipun pada waktu-waktu tertentu Langkasuka atau Patani hilang kuasa pemerintahan kerana diserang dari luar lalu ia ditawan dan diletakkan di bawah penguasaan asing, hakikatnya Hak Pertuanan orang Melayu ke atas bumi ini TIDAK LUPUT dengan penjajahan itu, walaupun hak itu juga dinafikan. Lalu apabila Patani Darussalam jatuh ke tangan Siam pada tahun1786, orang Melayu hilang kuasa pemerintahan , tetapi Hak Pertuanan Melayu Patani tetap tidak luput walaupun dinafikan oleh penjajah Siam.
 
Maka orang Melayu mula bangkit menentang penguasaan Siam ke atas Patani dengan dipimpin oleh Tengku Lamidin, Datuk Pengkalan, Raja Abdul Qadir Kamaruddin dan puteranya Tengku Mahmood Mahyiddin, Tuan Guru Haji Sulong dan lain-lain  sepanjang sejarah penjajahan sehinggalah kepada para pejuang masa kini. Tujuannya tiadak lain dari mengembalikan hak yang ternoda itu, iaitu hak kuasa pemerintahan, kerana BUMI ini adalah Hak (milik)  Pertuanan Melayu yang mesti ditebus kembali untuk diserahkan kepada tuan hak yang sebenar, yakni Bangsa Melayu Patani.
 
Secara perbandingan, apabila Kerajaan Ayutthaya jatuh ke tangan Burma pada tahun 1569 M  orang Siam mula  bangkit untuk merebut kembali tanah air mereka, sebab mereka, walaupun kehilangan kuasa pemerintahan, cukup yakin akan Hak Pertuanan Bangsa Siam ke atas bumi Ayutthaya. Pada tahun 1593 M dibawah pimpinan Raja Naresuan bangsa Siam dapat menghalau keluar orang Burma dan menguasai kembali kerajaan mereka.
 
Peristiwa serupa berulang lagi kemudiannya pada tahun 1767 M, Ayutthaya kembali jatuh ke tangan Burma, tetapi telah dapat ditebus semula oleh Raja Taaksin bersama orang Siam. Raja Taaksin  kemudian memindahkan pusat pentadbiran ke Thonburi setelah Kota Ayutthaya hancur punah ranap kerana peperangan. Semangat untuk menebuskan kembali kuasa pemerintahan yang hilang itu berpaksikan keyakinan dan kepercayaan yang benar dan sah bahawa Hak Pertuanan ke atas bumi Siam itu adalah Hak Milik bangsa Siam.
 
 Dalam dua peritiwa ini bolehkah dikatakan bahawa kedua-dua Raja Naresuan dan Taaksin itu adalah PEMBERONTAK, PEMISAH atau PENGGANAS, hanya kerana mereka berjuang untuk membebaskan tanah air mereka dari kuasa asing ? Tentu sekali tidak ! Begitulah juga tidak wajar dipanggil pejuang Patani sebagai pemberontak,pemisah atau pengganas sebab mereka juga melakukan perkara yang sama seperti kedua-dua Raja itu.
 
Dalam konteks Proses Perdamaian Patani yang sedang berjalan sekarang, isu Hak Pertuanan Bangsa Melayu Patani ke atas bumi Patani, yang telah dinafikan oleh pihak Thai, telah dijadikan satu daripada asas untuk penerusan perbicaraan. Pihak pejuang meminta supaya penafian itu digugurkan  sekali gus mengakui bahawa wujudnya Hak Pertuanan Bangsa Melayu Patani ke atas bumi Patani.
 
Termasuk dalam kerangka Hak Pertuanan ini adalah: Hak Asasi Manusia dan Keadilan(Justice and Basic Human Rights) bagi  masyarakat Melayu Patani diakui dan dipatuhi, Hak Penentuan Nasib Sendiri (Right to Self-Determination), Kovenan politik, ekonomi, pendidikan  dan sosial dijamin, dan yang terutama Kerajaan Thailnd perlu memberi peluang dan ruang untuk Bangsa Melayu Patani mentadbir bumi Patani dengan sendiri. Corak dan skop pentadbiran serta kuasa pemerintahan secara terperinci akan ditentukan  bersama dalam perbicaraan apabila ia sampai pada tahap rundingan nanti.
 
Jika benar kedamaian yang dicari oleh pihak Thailand, seharusnya mereka menyambut baik dan bersetuju kesemua Tuntutan awal 5 perkara ini untuk dibicarakan, bagi membolehkan proses damai kembali bergerak ke hadapan ,demi membuahkan hasil yang boleh dikecapi oleh kesemua rakyat di Wilayah Selatan yang sudah lama bergolak ini.
 
 
 
**** Terkini :  Pihak BRN telah mengemukan huraian terperinci mengenai Tuntutan Awal 5 Perkara (termasuk perkara 4) kepada Kerajaan Thailand melalui perantaraan fasilitator (Malaysia). Pihak Thai akan diberikan masa secukupnya untuk berbincang dikalangan mereka dan memberi maklum balas pada kadar yang munasabah. Jika responnya adalah positif, yakni pihak Thai bersetuju terima untuk membicarakan kesemua 5 perkara itu, putaran roda proses damai KL akan bergerak semula.
 
 
Cuka dan Madu – Dari Luar Pagar Patani

Zul Qaedah/ September 2013.