Skip to main content

 BRN TIDAK TOLAK  MERDEKA  ( Bahgian 2 )

(Dari tajuk asal Bahgian pertama :BRN TOLAK MERDEKA ?)

** Bahgian pertama artikel ini berakhir dengan persoalan: Dalam mengejar cita-cita pembebasan dan kemerdekaan pihak BRN dan sekutunya sanggup terima autonomi di bawah pemerintahan Thai. Bagaimana mungkin? Ikutilah kupasan selanjutnya.

 

Untuk membicarakan matlamat perjuangan pertubuhan-pertubuhan pembebasan Patani perlu kembali kepada sejarah. Sebelum tahun 1786 M Patani Darussalam adalah sebuah negara berdaulat dan merdeka, diperintah oleh Raja-raja Melayu berasaskan undang-undang Islam. Apabila Patani ditawan oleh Siam pada tahun tersebut negara Patani masih lagi diperintah oleh Raja-raja Melayu yang dilantik oleh Siam dengan dikekalkan beberapa pegawai Siam sebagai "penasihat".

 Kerajaan Siam tidak banyak mencampuri urusan pemerintahan dan hasil daripada pemungutan cukai masih naik kepada Raja Melayu yang dilantik. Patani hanya dikehendaki menghantar ufti berbentuk bunga emas dan bunga perak sebagai tanda taat setia kepada kuasa Siam. Patani juga dimestikan menghantar tenteranya membantu Siam melawan musuh-musuhnya di utara. Kalau dibandingkan dengan istilah pentadbiran modern boleh dikatakan pada masa itu Raja Patani menjalankankan pemerintahan secara AUTONOMI.

Selepas tahun 1786 M beberapa Raja Melayu yang dilantik telah bangkit melawan untuk MEMBEBASKAN Patani dari kuasa Siam. Contohnya Tengku Lamidin, Dato Pengkalan dan lain-lainnya. Ertinya kelahiran gerakan untuk bangkit melawan penjajahan Siam demi membebaskan bumi Patani tercetus sejak zaman itu lagi. Hasrat untuk membebaskan diri dari penguasaan asing adalah naluri semula jadi manusia, tidak kira dari bangsa apa sekali pun. Hasrat ini jugalah yang terbuku dalam hati orang-orang Siam menentang penguasaan Burma ke atas Ayutthaya di bawah pimpinan Raja Naresuan.

Sepanjang zaman di bawah penjajahan  Siam , kuasa pemerintahan secara "Autonomi" negara Patani telah terhakis sedikit demi sedikit sehingga apabila termeterainya Perjanjian Anglo-Siam pada tahun 1909 M, negara Patani telah dijadikan sebahgian daripada wilayah dalam negara Siam sepenuhnya.

Penentangan  oleh Raja Patani terakhir,Tuanku Abdul Kadir Kamarudin menutup tirai penentangan Raja Melayu Patani terhadap Siam dengan pengunduran baginda ke Kelantan      dan akhirnya mangkat di sana. Cita-cita perjuangan tidak terhenti di situ, malah disambung pula oleh putera baginda, Tengku Mahmood Mahyiddin yang menubuhkan GAMPAR (Gabungan Melayu Patani Raya) di luar Patani. Ramai sejarawan berpendapat bahawa gerakan GAMPAR merupakan gerakan Patani pertama yang tersusun memperjuangkan nasib rakyat Patani. Di dalam Patani sendiri difahamkan gerakan itu dikepalai oleh seorang ulama berpengaruh, Tuan Guru Haji Sulong, yang masyhur dengan tuntutan 7 perkara dan perjuangannya masih diperkatakan sampai hari ini. Tuntutan yang lebih bersifat "minta autonomi " itu telah membawa kepada penangkapan dan kemudiannya pembunuhan beliau pada tahun 1954 M.

Apabila berlaku perubahan politik di Thailand, pada tahun 1932 M, pilihan raya secara demokrasi telah diadakan. Seorang daripada aristokrat Melayu Patani yang awal turut terpilih pada masa itu, iaitu Tengku Abdul Jalal Bin Tengku Abdul Muttalib (Adul Na Saiburi). Dalam satu sidang parlimen pada tahun 1935 M beliau menyatakan "Kerajaan pimpinan General Pibunsongkram telah menindas orang Melayu, dan menyebabkan mereka tidak mahu menjadi rakyat Thai kerana merasai maruah dan harga diri mereka dihina." Penyataan ini sudah cukup untuk beliau dicap sebagai penentang kerajaan lalu terpaksa mencari suaka politik di Kelantan untuk bersama dengan Tengku Mahmood Mahyiddin dalam GAMPAR.

Dalam Perang Dunia Ke-2 Jepun menakluki Malaya, ketika itu berada di bawah kuasa penjajah British. Tengku Mahmood Mahyiddin telah membantu British melawan Jepun kerana telah dijanjikan kemerdekaan Patani jika Jepun tewas. Tetapi apabila perang tamat bukan sahaja British mungkir janji malah GAMPAR juga turut diharamkan oleh British.

Pengharaman GAMPAR tidak sekali kali mematahkan semangat orang Patani. Mengambil inspirasi daripada perjuangan bangsa-bangsa yang dijajah oleh kuasa-kuasa barat di seluruh dunia, khususnya di rantau Asia, rakyat Patani juga turut menubuhkan beberapa parti perjuangan pembebasan Patani sekitar tahun 60an.

Setelah perjuangan rakyat Patani melalui parlimen Thai untuk membela nasib rakyat Patani galal, dan perjuangan Tuan Guru Haji Sulong dicap sebagai pemberontakan, manakala GAMPAR pula diharamkan, maka tertubuhlah beberapa pertubuhan pembebasan seperti Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), Barisan Nasional Pembebasan Patani(BNPP - kemudian bertukar namanya menjadi Barisan Islam Pembebasan Patani, BIPP), Patani United Liberation Organisation (PULO) dan lain-lain.

Pada saat kesemua pertubuhan itu diasaskan lebih kurang 50 tahun lalu, para pemimpin bersependapat bahawa, berdasarkan pengalaman lampau iaitu pihak Thai tidak mengendahkan suara tuntutan rakyat, serta para pemimpin diburu dan dibunuh atau terpakasa hidup dalam buangan, maka satu-satunya jalan untuk membebaskan rakyat Patani dari belenggu penjajahan dan mengembalikan hak-hak orang Melayu yang dirampas ialah melalui perjuangan bersenjata untuk membebaskan bumi Patani dan menubuhkan sebuah negara merdeka untuk rakyatnya. Pada masa itu pendirian yang diambil ialah tiada kerjasama, tiada kompromi dan tiada perundingan dengan penjajah Thai sama sekali.

Sejak itulah sehingga hari ini perjuangan diteruskan pada landasan yang telah dipersetujui bersama, walaupun kini para pengasas pertubuhan-pertubuhan itu sudah lama pergi. Pelapis perjuangan dari generasi kedua dan kini ketiga turut mengalami pasang surut arus perjuangan. Tempoh 50 tahun telah banyak mendewasakan pemikiran para pimpinan yang turut sama berubah mengikut peredaran zaman. Situasi 50 tahun dahulu tidak sama dengan keadaan sekarang. Masalah dan cabaran juga berbeza. Ini telah membawa kepada penilian semula akan strategi gerakan dan pendekatan yang boleh diambil sesuai dengan suasana dan zaman. Namun begitu apa yang TIDAK BERUBAH ialah jalan PEMBEBASAN dan matlamat KEMERDEKAAN.

Di antara pendekatan yang diambil pimpinan sekarang ialah "menerokai" jalan-jalan alternatif, selain dari perjuangan bersenjata, untuk membela nasib rakyat dengan menuntut kembali hak-hak mereka yang telah dirampas. Satu daripada jalan itu ialah melalui meja rundingan. Ini adalah dari cetusan kesedaran bahawa realiti penyelesaian sebarang konflik politik semasa akan berkesudahan di meja rundingan. Kalau tidak mula rundingan pada hari ini dan kita berperang 50 tahun lagi pun penyelesaiannya tetap akan di atas meja juga. Pendekatan ini dipelopori lebih awal oleh PULO mulai tahun 1993 M apabila mereka mula "berbicara" dengan pihak Thai secara tidak rasmi dan sulit. Beberapa siri pertemuan telah diatur dengan penglibatan kumpulan lain lagi, dengan pelbagai pihak sebagai pengantara atau mediator tetapi semuanya itu menghadapi jalan buntu atas sebab-sebab tertentu.

Yang terkini ialah Proses damai Kuala Lumpur yang masih hangat diperkatakan. Kali ini BRN pula terlibat sebagai kumpulan dominan dengan dokongan dari dua kumpulan lain iaitu PULO dan BIPP. Di sini timbul banyak pertanyaan dan tanda tanya terhadap beberapa isu yang dikira "tidak kena" oleh banyak pihak. Bermula dari cara ia dikendalikan oleh pihak Cawangan Khas Malaysia selaku fasilitator, penglibatan bekas Perdana Menteri Thai Thaksin Shinawatra serta kredibiliti ketua deligasi BRN, Ustaz Hassan Taib. Pendedahan dan sebaran melalui media perdana dan juga media sosial mengemukakan banyak lagi isu, termasuk Initiatif "cease-fire " Ramadhan, penggantungan proses dialog oleh Majlis Syura BRN dan yang terakhir ialah kemelut  huraian Tuntutan Awal 5 perkara daripada BRN.

Kemuncak kesemua persoalan itu ialah: Apakah  penyertaan BRN dan sekutunya dalam Proses Damai KL dengan tuntutan AUTONOMI di bawah pemerintahan Thai, ditambah pula penegasan bahawa pihaknya tidak akan menuntut pemisahan wilayah dari Thailand, membawa erti bahawa mereka sudah tidak mahu kemerdekaan lagi ? Atau lebih tepat lagi adakah mereka sudah gugurkan tuntutan hendak merdeka ?

Dalam artikel saya yang bertajuk MENITI JALAN DAMAI (melalui link berikut:  http://www.deepsouthwatch.org/node/4536   dan  http://www.deepsouthwatch.org/node/4588 untuk terjemahan dalam bahasa Thai) telah ditegaskan bahawa:

"Matlamat kami apabila datang ke meja rundingan adalah untuk mencapai  PENYELESAIAN POLITIK yang ADIL, MEYELURUH dan BERKEKALAN untuk rakyat Patani. Kita sangat optimistik bahawa proses damai ini boleh berjaya, dan berharap KEIKHLASAN DARI KEDUA BELAH PIHAK (Pejuang dan Thai) dengan dokongan masyarakat serantau dan antarabangsa akan membuahkan hasil yang baik yang boleh memberi manfaat kepada rakyat Patani secara keseluruhan, iaitu, PERDAMAIAN, KEAMANAN dan KESTABILAN. Pihak Thai harus mengakui dengan jujur bahawa Rakyat Patani perlu diberikan ruang untuk bersuara secara BEBAS menyatakan hasrat mereka.

Persetujuan untuk BERDIALOG adalah langkah pertama kami secara terbuka dan "non-violence" ke arah PERUNDINGAN sebenar. STATUS masa hadapan Patani seharusnya menjadi agenda utama dalam perundingan, bukanlah semata-mata mengurangkan keganasan seperti yang selalu dibangkitkan oleh wakil Thai. Pihak pejuang komited dan tidak akan sekali-kali menggagalkan proses damai yang dipersetujui dan bermula pada pada 28 Februari 2013."

 Jelas di sini bahawa para pejuang memilih pendekatan "non-violence (tanpa kekerasan)" untuk mengembalikan hak-hak kepada rakyat Patani melalui proses dialog/rundingan. Meskipun keihklasan pihak Thai sukar diukur, tetapi kesungguhannya untuk mencari penyelesaian dapat dinilai dengan kesediannya untuk datang ke meja rundingan secara terbuka (dengan pengisytiharan rasmi) dengan menghantar perwakilan yang berperingkat tinggi. Tindakan sedemikian dengan sendirinya telah memberi pengiktirafan terbuka kepada pejuang sebagai mewakili "pihak B". Pada awalnya disangkakan "pihak B" itu hanyalah para pejuang sahaja. Rupa-rupanya "mereka yang mempunyai pandangan dan idelogi berbeza daripada  kerajaan" itu termasuk juga para aktivis, pemimpin tempatan, para ulama, ahli akademik, pegawai kerajaan, pelajar dan rakyat umum, termasuk dari kalangan orang Thai Buddha sendiri. Kesemua mereka itu (berdasarkan dokumen Persetujuan Umum 28  Februari 2013) diwakili oleh ketua deligasi BRN iaitu Ustaz Hassan Taib. Jadi persoalan kredibili Ustaz Hassan Taib sebagai wakil bagi kesemua mereka itu tidak perlu dibangkitkan lagi selepas pengesahan itu.

 Pihak Thai "mengikat" BRN dengan menetapkan kerangka dialog di bawah perlembagaan Thai. Kita faham tujuan utamanya adalah untuk mengelak wilayah-wilayah selatan "dipisahkan" dari Thailand. Perlu diingat bahawa para pejuang adalah dari pertubuhan PEMBEBASAN (Liberation) bukan kumpulan PEMISAH (separatists). Jadi tidak timbul masalah pemisahan wilayah. Istilah "pemisah" ini telah sengaja dilabelkan oleh pihak lain secara tidak benar terhadap pejuang Patani. BRN dan para pejuang telah berulang kali menegaskan bahawa mereka BUKAN kumpulan PEMISAH (rujuk perkara 5 dalam klip YouTube pertama) dan dengan jelas mengatakan bahwa "BRN tidak menuntut pemisahan wilayah dari Thailand" (rujuk dokumen penjelasan Tuntutan Awal 5 perkara - Bahgian 1, Tuntutan Pertama). Sesungguhnya kami tidak menuntut hak milik orang lain, kami hanya mahu Patani dibebaskan dan hak kami dikembalikan. Ini bererti BRN dan sekutunya masih berpegang kepada perinsip asal perjuangan iaitu PEMBEBASAN.

Timbul pula soal BRN menuntut AUTONOMI bagi wilayah Selatan dan bukannya KEMERDEKAAN. Dalam konteks Proses Damai yang sedang berjalan, pihak pejuang sedar apabila mereka setuju datang ke meja rundingan soal MERDEKA TIDAK AKAN DISENTUH, dan ini telah disepakati sejak awal. Langkah ini diambil sebagai timbal balas kepada kesedian pihak Thai memberi pengiktirafan kepada para pejuang sebagai wakil rakyat Patani yang sah. Oleh itu kita dapati mereka yang tidak bersetuju dengan persepakatan ini TIDAK turut serta di meja rundingan. Apakah benar mereka yang berada di meja itu tidak mahu MERDEKA? Sudah tentunya BUKAN BEGITU. Hanya di atas meja proses damai perkara itu tidak disentuh,tetapi di luar meja tidak ada halangan, sebab seperti pernah ditegaskan sebelum ini bahawa sampai saat ini tidak ada satu pun dari pertubuhan-pertubuhan perjuangan pembebasan Patani yang mengisytiharkan pengguguran matlamat MERDEKA.

Walaupun kalimah MERDEKA tidak disentuh di meja rundingan, tetapi BRN memasukkan agenda "Hak Menentukan Nasib Sendiri" (Right to Self-Determination) sebagai huraian kepada Tuntutan Awal ke-4, dan ini boleh membawa kepada tafsiran berbagai-bagai. Sebenarnya  Proses Damai KL ini telah membuka pintu perbincangan soal sejarah, politik dan permasalahan konflik Patani serta jalan penyelesaiannya, dan ianya bukan menjadi perkara "terlarang" seperti dahulu lagi. Para aktivis dan rakyat umum sekarang boleh, malah digalakkan bercakap tentang apa sahaja berkaitan dengan nasib masa hadapan mereka termasuklah soal KEMERDEKAAN. Sekiranya gerakan dari massa menjadi jitu dan suaranya kuat serta lantang MENYATAKAN HASRAT dan KEMAHUAN SEBENAR RAKYAT, tidak ada sebab lagi bagi pihak yang duduk di meja rundingan (pihak pejuang, Thai dan Malaysia) terus memekakkan telinga menafikan kehendak rakyat Patani, hatta jika kehendak mereka adalah KEMERDEKAAN sekali pun.

Kebimbangan pihak Thai bahawa autonomi yang dituntut itu hanyalah satu helah pejuang, dan  merupakan langkah pertama kearah kemerdekaan penuh pada masa hadapan, ada juga kebenarannya. Banyak contoh negeri-negeri yang diperintah secara autonomi selama beberapa dekad telah memperolehi kemerdekaan penuh. Setelah Kesatuan Soviet  runtuh pada tahun 1990 M negara-negara majoriti penduk Islam di Asia Tengah seperti Uzbekistan, Kazakhstan, Tajikistan dan lain-lain memperolehi kemerdekaan satu persatu. Ada juga negara yang tidak suka kepada kemerdekaan penuh. Sebuah pulau kecil di Laut Baltic yang bernama Aland ( color:windowtext;text-decoration:none;text-underline:none">Åland dalam bahasa Sweden) adalah milik asal Sweden, penduduk dari bangsa Swede dan bercakap bahasa Swede juga. Mereka lebih selesa memerintah sendiri secara autonomi dengan makmur, aman dan damai di bawah kerajaan Finland dan menolak untuk merdeka atau kembali bergabung dengan negara asal Sweden.

Ada pula bertanyakan: mahu autonomi seperti Bangkok dan Patthaya, itu sahajakah setelah lebih 50 tahun berjuang bermati-matian? Mengikut penjelasan Ustaz Hassan Taib, ketua deligasi BRN dalam wawancara melalui radio Media Selatan baru-baru ini (juga secara peribadi kepada saya - penulis)  "Itu hanya sekadar contoh bahawa kedua-dua Bandaraya itu boleh diberi autonomi terhad di bawah Perlembagaan Thai. Tetapi BUKAN itu yang kita mahu. Kita mahu AUTONOMI PENUH, yang itu dahulu kita ambil. Autonomi terhad Bangkok dan Patthaya adalah berdasarkan kepentingan ekonomi, sedangkan autonomi yang dituntut bagi Patani adalah berdasarkan perinsip Hak Pertuanan Melayu Patani. Namun begitu hal ini akan dibincangkan kemudian setelah proses perundingan menjadi lebih stabil."

 Suka saya berikan satu contoh mudah. Seorang pemuda asal Patani mahu pulang Hari Raya ke Patani menaiki kenderaan (keretapi, bas ,kapal terbang dan lain-lain) dari Bangkok. Tetapi kenderaan yang ada cuma sampai setakat Hat Yai sahaja. Mana lebih praktikal dan munasabah, antara tunggu kenderaan lain yang tidak ada untuk dinaiki lalu terlepas Hari Raya, atau terus perjalanan ke Hat Yai dan dari sana meneruskan perjalanan dengan kaedah lain sampai Patani  dan sempat berhari Raya?  Samalah  juga jika difikir secara rasional dan realistik bahawa, mana satu yang lebih baik untuk ummah masa kini antara autonomi pada masa terdekat melalui perdamaian atau kita terus berperang 50 tahun lagi untuk merdeka?

 Kalau pun pada masa hadapan KEDAMAIAN benar-benar berhasil secara autonomi dan BRN serta lain-lain pertubuhan dibubarkan, tidak bermakna cita-cita kemerdekaan turut berkubur. Sekiranya rakyat tidak berpuas hati, penindasan dan kekejaman masih berleluasa, hasrat ingin membebaskan diri dan hidup merdeka adalah naluri semula jadi manusia dan ia akan terus subur dalam sanubari semua rakyat Patani. Jika generasi pejuang sekarang gagal mencapai cita-cita itu, maka ia pasti akan digalas oleh generasi seterusnya dengan WADAH yang lain pula. Dahulu Raja-raja Melayu Patani gagal, Tuan Guru Haji Sulong dan Tengku Mahmood Mahyiddin dengan GAMPAR juga tidak dapat membela nasib umat Melayu Patani. Kalau pertubuhan-pertubuhan perjuangan yang ada sekarang gagal juga maka cita-cita itu akan tetap diteruskan oleh rakyat. Penduduk Acheh dan Ireland Utara sedang menikmati suasana kedamaian. "Damai itu indah", kata orang Acheh. GAM dan IRA sudah tidak ada lagi. Pun begitu jika ditanya apakah masih bercita-cita untuk merdeka? Dari jauh lubuk hati mereka akan menjawab "YA".

Dari penjelasan di atas sudah nyata bahawa andaian atau tuduhan bahawa BRN dan sekutunya di meja rundingan sudah TOLAK MERDEKA adalah TIDAK BERASAS sama sekali. Kami cuma meneroka jalan alternatif untuk sampai kepada destinasi secara diplomasi berpandukan pengalaman-pengalaman konflik di tempat-tempat lain di dunia. Perjalanan masih jauh dan laluannya pula berliku. Kalau berjuang mengangkat senjata dikira sudah sukar maka lebih sukar lagi jalan perundingan untuk mencari damai. Sekiranya cara ini tidak berhasil perjuangan akan tetap berterusan.

Sesungguhnya masa hadapan rakyat Patani dalam usaha "Menentukan Nasib Sendiri" bukan terletak pada mereka yang berada di meja rundingan sahaja  TETAPI TERLETAK PADA TANGAN MEREKA SENDIRI, demi merealisasikan hasrat yang satu - MERDEKA.

 

 

Cuka dan Madu - dari Luar Pagar Patani

Zul Hijjah / Oktober 2013.