Kira-kira sebulan yang lalu, saya ditanya oleh seorang rakan Facebook berkenaan dengan terjemahan istilah ‘Faculty of Political Science’ ke dalam bahasa Melayu. Pertanyaan ini disertakan dengan gambar papan nama fakulti di Universiti Prince of Songkla dalam tiga bahasa: di paling atas bahasa Thai, di tengah bahasa Inggeris dan di bawahnya bahasa Melayu bertulisan Jawi yang berbunyi ‘Fakulti Sains Politik’. Rakan yang mengemukakan soalan ini juga menyatakan bahawa terjemahan ini memang betul mengikut hukum bahasa Melayu Malaysia. Tetapi pokok pertanyaan beliau ialah adakah bentuk ini sesuai digunakan sebagai bahasa Melayu Patani. Pemilihan istilah ‘fakulti’ untuk ‘faculty’ memang sesuai dengan sejarah Malaysia yang pernah dijajah oleh Inggeris. Tetapi Patani tidak pernah dijajah oleh negara barat berkenaan. Sebaliknya, proses peminjaman istilah daripada bahasa Arab berlaku lebih dahulu daripada peminjaman daripada bahasa Inggeris. Denga nitu, menurut pandangan rakan tersebut, bolehkah kita gunakan istilah yang lain, seperti ‘kuliah’ untuk menggantikan ‘fakulti’. Pertanyaan ini amat berat, dan menyebabkan saya tidak dapat menjawabnya dalam masa yang singkat.
Pertanyaan ini merupakan satu tanparan bagi saya, kerana saya jarang sekali meragui bahawa hala tuju yang terbaik bagi bahasa Melayu Patani ialah membakukannya dengan bermodelkan contoh yang paling dekat, iaitu bahasa Melayu Malasyia. Walau bagaimanapun, saya terpaksa mengaku bahawa ini merupakan pandangan yang pihak sebelah. Jika diteliti, di Patani terdapat sekurang-kurangnya tiga golongan yang ada kemahiran dalam bahasa Melayu. Pertama, mereka yang melalui pendidikan di Malaysia, baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Kedua, mereka yang melanjutkan pelajaran ke Indonesia, juga berjumlah agak banyak. Ketiga, mereka yang menguasai bahasa Melayu melalui pendidikan tradisional melalui sekolah tadika (bukan untuk kanak-kanak berusia pra-sekolah, tetapi lebih mirip kepada sekolah agama di Malaysia), sekolah pondok atau madrasah.
Golongan pertama dan kedua mempunyai kemahiran tinggi dalam membaca dan menulis dalam tulisan rumi, manakala golongan ketiga lebih mahir dalam tulisan jawi. Dengan itu, tulisan yang seharusnya digunakan untuk bahasa Melayu Patani juga perlu disepakati. Menurut tinjauan yang saya lakukan melalui Facebook, sekitar 75 peratus menyokong tulisan jawi, manakala hanya 25 peratus sahaja menyokong tulisan rumi.
Gaya bahasa yang digemarinya juga berbeza-beza. Mereka yang jinak dengan bahasa Melayu Malaysia tentunya paling selesa dengan bahasa tersebut (seperti saya sendiri), manakala mereka yang berpendidikan Indonesia lebih gemar akan bahasa Indonesia. Mereka yang menguasai bahasa Melayu melalui sistem pendidikan pula lebih menggemari bahasa Melayu yang bersifat klasik seperti yang terdapat dalam kitab-kitab agama bertulisan jawi yang digunakan dalam pendidikan agama.
Dengan demikian, pembinaan bahasa Melayu Patani yang melestarikan ciri-ciri kepatanian bukan sesuatu perkara yang mudah, tetapi harus dibincangkan oleh para pencinta, penggerak dan ahli bahasa Melayu tempatan secara aktif.
Bahasa yang hidup hanya lahir daripada penggunaan yang sebenar dalam masyarakat. Oleh itu, pertanyaan yang dikemukaan oleh rakan Facebook saya amat signifikan. Untuk melangsungkan hidup, bahasa Melayu Patani yang tidak pernah mengalami perancangan bahasa yang rapi seperti yang berlaku kepada bahasa Melayu Malaysia atau bahasa Indonesia perlu bersedia untuk memainkan peranan sebagai bahasa utama, terutamanya dalam bidang pendidikan dan pentadbiran. Untuk memenuhi cira rasa ini, harus diterima hakikat bahawa bahasa Melayu Patani masih kekurangan istilah. Pembinaan istilah juga merupakan satu cabang yang amat mustahak dalam pembinaan sesuatu bahasa melalui perancangan bahasa.
Di sini, orang Melayu Patani juga perlu memikirkan sumber yang mana harus digunakan sebagai sumber penciptaan istilah. Pengalaman sejarah yang dilalui oleh orang Melayu Patani berbeza daripada pengalaman yang dilalui oleh orang Malaysia atau orang Indonesia. Dengan demikian, dalam bahasa Melayu juga terdapat kata-kata pinjaman dari pelbagai sumber, termasuk bahasa Sanskrit, bahasa Arab, bahasa Inggeris dan juga bahasa Thai.
Kurangnya usaha untuk mencipta serta menyebarkan istilah baru untuk bahasa Melayu Patani mengakibatkan keadaan bahasa Melayu Patani yang amat parah. Kini bahasa Melayu Patani dipenuhi dengan kata-kata pinjaman daripada bahasa Thai. Memandangkan pengalaman sejarah, perkembangan ini tidak boleh diketepikan, tetapi yang menyedihkannya ialah kerap kali istilah-istilah yang sedia ada pun digantikan dengan kata pinjaman dari bahasa Thai. Ramai dari kalangan remaja tidak lagi bertutur sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Oleh sebab itu, pertanyaan yang dikemukakan oleh rakan Facebook saya amat bermakna, kerana masih ada orang yang perihatin dengan nasib bahasa Melayu di Bumi Patani. Perbincangan seperti ini hendaklah dilakukan dengan sebanyak-banyaknya, supaya masyarakat Melayu Patani sendiri mampu memilih istilah-istilah yang paling sesuai untuk bahasa Melayu Patani.
Akhir sekali, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Saudara Zakariya Amataya, rakan yang mengemukakan soalan yang amat penting ini.