MENCARI DAMAI DI BUMI ANGKOR
( Satu catatan perjalanan mencari jawapan untuk Patani)
*Nota - artikel ini saya tujukan khas kepada semua yang bergelar "Pejuang Patani", walau di mana sahaja mereka berada.
"Tuan dijemput untuk menghadiri ASIAN PEACE CONFERENCE di Kota Siem Reap, Cambodia, mewakili organisasi tuan", begitulah email ringkas yang saya terima daripada pihak penganjur tengah bulan lepas. Lalu dalam benak fikiran saya terus tergambar Angkor Wat yang amat tersohor serata dunia . Meskipun saya sendiri adalah seorang pengembara yang tegar namun tidak pernah tertarik sedikitpun sebelum ini untuk pergi melihatnya. Mungkin kerana sebelum ini pernah melihat kuil-kuil Hindu-Buza di Parambanan dan Borobodur di bumi Jawa lalu difikir Angkor Wat itu adalah sama sahaja. Tetapi untuk konferensi damai ? Apakah ada jawapan untuk damai di sana ?
Bersama seorang lagi rakan Patani dalam perjuangan kami mendarat tepat jam 1.30 tengahari pada 9 Jun 2015 di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap. Ketika pasport hendak dicop masuk di kaunter imigresen pegawai itu memberi "isyarat tertentu" kepada saya. Terus saya dapat tangkap maksudnya mahu "duit kopi". Ternyata negeri ini agak miskin dan tahap korupsi juga tinggi walaupun mempunyai sejarah yang hebat dan sebuah empayar yang kaya suatu masa dahulu. Pun begitu yang mengkagumkan saya ialah sepanjang 4-5 hari di sana tidak terjumpa seorang pun peminta sedekah di jalanan. Mereka sangat tekun bekerja walaupun upahnya tidak seberapa. Meskipun Cambodia adalah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka mereka lebih suka berjual beli dengan dolar Amerika (USD) walaupun ada matawang sendiri(Riel). Hampir kesemua tanda harga di hotel,kedai dan gedung besar bertandakan USD. "Itu merdeka Cambodian style", kata rakan saya secara sinis. Bagi orang Cambodia barangkali wang masuk lebih penting daripada maruah bangsa.
Kota Siem Reap mempunyai sejarah yang menarik. Raja Jayavarman II mengasaskan Empayar Khmer berpusat di Angkor pada kurun ke 9 Masehi. Pada masa itu Kerajaan Melayu Langkasuka (Patani lama) sudah wujud. Semasa Raja Suryavarman II (1113-1150 M) membina Angkor Wat kerajaan Siam Sukhothai ( 1238 M) mahupun Ayuthaya ( 1350 M) belum lagi ada. Timbul kehairanan dalam hati saya bagaimana mungkin sebuah negeri yang belum wujud seperti Kerajaan Siam Sukhothai dan Ayuthya boleh mengaku Langkasuka/Patani itu milik mereka sejak dahulu lagi ? Bolehkah kuasa yang belum ada menakluki kuasa yang tersedia ada ?
Dalam usaha kerajaan Ayuthaya memperluaskan tanah jajahan dan pengaruhnya ia telah menakluki Angkor pada tahun 1431 M dan menamakannya Siammarat - yakni negeri di bawah naungan Siam. Setelah tertakluk selama 118 tahun seorang Raja Khmer bernama An Chan telah dapat menebus kembali Angkor dan mengalahkan kekuatan Siam pada tahun1549 M dengan lebih 10 ribu tawanan perang. Lalu kota itu dinamakan "Siem Reap" sebagai mengabadikan kemenangan mereka. Dalam bahasa Cambodia Siem ertinya Siam, manakala Reap ertinya hancur ranap ( bahasa Siam sebut "riab"). Jadi Siem Reap itu ertinya "the flat defeat of Siam" - Kekalahan Siam sampai hancur ranap. Tidak mustahil sesuatu kuasa yang gagah suatu hari akan dapat dikalahkan jika gigih berjuang. Saya terkenangkan Patani, apakah akan ada sebuah kota mirip Siem Reap ? Saya tidak pasti apa perasaan orang Siam (Thai) bila mereka melawat Angkor Wat yang terletak di Kota Siem Reap jika mereka tahu akan sejarah ini.
Negara Cambodia (nama rasmi sekarang : Kingdom of Cambodia) atau Kampuchea (orang Melayu panggil Kemboja) dahulunya adalah Empayar Khmer yang besar, mempunyai tamaddun yang hebat dan maju di rantau ini . Ia pernah dijajah oleh kuasa Siam dan Perancis. Pada tahun 1867 Siam membuat perjanjian dengan menyerahkan Cambodia kepada Perancis sebagai pertukaran memiliki Siem Reap dan Battambang . Pada tahun 1906 sekali lagi dibuat perjanjian persempadanan lalu kedua-dua wilayah itu diserahkan kembali kepada Perancis.
Begitulah mainan penjajah membahagi-bahagikan negeri milik orang lain sesuka hati tanpa mempedulikan sedikit pun tuan punya asal,yakni orang Kemboja. Maka tidak hairanlah kalau Siam dan Inggeris berpakat membahagi-bahagikan negeri-negeri Melayu dalam perjanjian Anglo-Siam 1909 : Kelantan,Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Inggeris, manakala Patani,Jala ,Menara dan Setul menjadi milik Siam, tanpa berbincang dengan tuan milik sebenar,yakni orang-orang Melayu di kesemua negeri itu. Itulah resmi penjajah: Siam, Inggeris atau Perancis semuanya sama.
Setelah merdeka dari Perancis pada tahun 1953 Cambodia berputih mata kerana wilayahnya di Dataran Mekong yang didiami ramai etnik Khmer telah diserahkan oleh Perancis kepada Vietnam. Belum pun sempat membangun, sekali lagi Cambodia terjerumus ke dalam kancah peperangan saudara dan konflik politik berpanjangan yang menyebabkan negara menjadi mundur dan rakyat miskin. Antara 1970-75 terbentuk Republik Khmer dibawah junta yang merampas kuasa di dokong oleh Amerika dan Raja Sihanuk digulingkan. Negara Demokratik Kampuchea pula terbentuk apabila Khmer Rouge berkuasa mulai 1975 dengan didokong oleh Parti Komunis Kampuchea dan Komunis China. Pada tahun 1978 pula sekali lagi kuasa bertukar tangan kepada Parti Revolusi Rakyat Kampuchea yang pro-Russia membentuk Republik Rakyat Kampuchea . Atas campur tangan dan desakan antarabangsa dan PBB (United Nations) akhirnya termeterai perjanjian Paris (Paris Comprehensive Peace Settlement) dalam bulan Oktober 1991. Pada tahun 1993 Raja Sihanuk ditabalkan semula tetapi berlaku pula rampasan kuasa oleh Hun Sen pada tahun 1997. Sampai ke hari ini Cambodia menjadi stabil dibawah pimpinan Perdana Menteri Hun Sen dengan pembangunan semula negara secara demokrasi sistem Raja Berperlembagaan.
Pengajaran dari sejarah Kemboja ini seharusnya menjadi peringatan kepada kita bahawa persengketaan dalaman sesuatu bangsa itu akan menjemput kuasa-kuasa asing dari jauh dan dekat bercampur tangan dan memburukkan konflik dalam negara dengan peperangan yang panjang, sehingga sanggup membunuh sesama sendiri sepertimana berlaku semasa pemerintahan Khmer Rouge dimana seramai lebih 2 juta nyawa bangsa Kemboja jadi korban oleh puak Komunis (Killing Fields).
Asian Peace Conference yang saya hadiri itu atas jemputan Pusat Perdamaian dan Kajian Konflik ( Centre for Peace and Conflict Studies - CPCS) . Ia merupakan sebuah NGO yang menyediakan satu platform menghimpunkan kumpulan perjuangan bersenjata bukan kerajaan (non-state armed groups) di rantau ini untuk duduk bersama bertukar fikiran,membuat perbandingan dan berkongsi pengalaman dalam penyelesaian konflik politik dan peperangan di tempat masing-masing. Platform ini adalah terjamin dari gangguan mana-mana pihak, sama ada dari segi keselamatan peserta dan kebebasan mereka bersuara diperakui oleh kerajaan Cambodia. CPCS yang berpusat di Kota Siem Reap juga mendapat dokongan yang kuat dari pihak Asean,EU dan PBB(UN). Tidak disangka sebuah negara yang kecil lagi miskin seperti Cambodia begitu berlapang dada membenarkan mereka yang bergelar "pemberontak" dan "pengganas" di negara masing-masing boleh datang berbincang di bumi ini secara bebas tanpa sekatan. Orang Kemboja mungkin miskin harta tetapi hati dan jiwa mereka kaya.
Diantara mereka yang hadir adalah wakil-wakil daripada ;
1. Gerakan Acheh Merdeka (GAM)
2. Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF)
3. Beberapa kumpulan bersenjata etnik Myanmar
4. Komunis Nepal ( Maoist) dan
5. PULO dan BIPP dari Patani
Selain mereka ada lagi wakil bekas Komunis Filipina, wakil penyelaras kerajaan Filipina dalam proses damai dengan MILF, bekas pejuang Cambodia (Khmer Buddhist National Liberation Army) , dan beberapa pakar politik,pakar stratigis dan pakar proses damai. Kehadiran mereka ini adalah untuk memberi pandangan dan bimbingan tatacara serta persiapan dari segi pembinaan keupayaan(capacity building) pihak pejuang apabila mereka berdepan dengan kerajaan masing-masing dalam proses rundingan meyelesaikan konflik.
Dengan komposisi peserta dari pelbagai kumpulan , bangsa ,budaya, latar belakang ,pengalaman dan kepakaran sudah tentu perbincangan dan perdebatan menjadi lebih berfaedah dan bermakna. Dari kesemua mereka itu banyak pandangan yang dapat dikongsikan bersama, banyak pengajaran dikutip dan banyak pula iktibar yang diperolehi.
Rombongan tiga orang dari GAM terdiri dari bekas pimpinan tertinggi yang turut terlibat sebagai anggota pasukan rundingan dengan kerajaan Indonesia. Selain pandangan berguna mereka mengenai pengalaman dalam proses rundingan damai mereka juga memberi beberapa peringatan tentang beberapa perkara dan kesilapan mereka supaya hal itu tidak berulang di Patani. Kata mereka proses membangunkan semula Acheh selepas damai adalah jauh lebih sukar dan mencabar daripada usaha ketika perundingan atau sebelumnya. Sebenarnya,mengikut mereka, perjuangan yang hakiki bagi Acheh adalah pasca perjajian damai . Ia baru hendak bermula dan halangan serta rintangan datang dari segenap penjuru. Saya sempat berkata kepada mereka " Hari ini kami dapat nasihat yang baik sebagai persediaan untuk berunding. Kami doakan tuan-tuan semua panjang umur . Kelak suatu hari kami pasti datang lagi mencari tuan-tuan untuk mempelajari bagaimana tuan-tuan membina Acheh selepas damai".
Rombongan Bangsa Moro juga datang bertiga. Seorang yang sudah berumur bekas anggota panel rundingan dan dua orang dari barisan pemuda MILF yang kini mengangotai beberapa jawatankuasa memantau dan mengimplimentasikan perjajian damai yang mereka buat dengan kerajaan Filipina. Perjalanan mereka mencari damai juga sudah lama dan masih jauh lagi untuk dicapai. Konflik dalaman sesama kumpulan Bangsa Moro, pelanggaran gencatan senjata , proses perundangan dengan pihak Kongress Filipina dan pandangan umum dari kalangan rakyat ,CSO dan NGO masih belum menentu. Mereka khuatir jika proses damai gagal , yakni jika Undang-undang Asas Bangsa Moro (Bangsa Moro Basic Laws -BBL) tidak terlaksana atas sebab apa sekali pun, mereka akan kembali ke kancah peperangan yang tidak berkesudahan. Bangsa Moro akan terus menderita dan ditekan.
Yang teramai datang adalah wakil-wakil daripada gerakan bersenjata bangsa Burma/Myanmar. Mereka dari banyak kumpulan etnik , bahasa dan negeri yang berlainan. Ada dari etnik Karen,Mong,Chin, Wa ,Shan dan juga kumpulan bersenjata pelajar. Matlamat perjuangan mereka bukanlah untuk kemerdekaan tetapi untuk penubuhan sistem kerajaan federalisma yang mempunyai kuasa autonomi bagi daerah masing-masing. Angkatan bersenjata mereka hebat,mungkin kerana dibiayai hasil dari perdagangan candu, tetapi kuasa politik agak lemah kerana tiada kesatuan di kalangan kumpulan yang banyak. Mereka juga tidak menggunakan orang tengah ( mediator/fasilitator) apabila berunding dengan pihak kerajaan di dalam negara tidak di luar. Hanya ada pemerhati dari China dan UN. Mereka seringkali ditipu oleh kerajaan tentera tetapi tidak pernah serik untuk terus berunding. Anih sekali orang Burma ini.
Pada awalnya mereka agak takut bergaul dengan orang Patani seperti kami. Setelah memberi penjelasan akan tujuan kehadiran kami mereka mulai faham. Mereka khuatir kerajaan Thailand tahu bahawa mereka turut kongsi pengalaman dengan kami sebab sebahgian dari mereka mendapat perlindungan dan dokongan daripada Thailand, secara terang atau sembunyi. Bahkan ada juga di kalangan mereka lulusan universiti dari Thailand dan fasih berbahasa Siam. Saya terfikir pula mengapa Thailand sangat cemburu apabila kerajaan Malaysia atau Indonesia mahu membantu Patani sedangkan mereka juga membantu pejuang Burma.
Dari Nepal mereka juga bertiga mewakili Parti Komunis(Maoist). Sungguhpun mereka kini sudah menghentikan perjuangan bersenjata dan meneruskan perjuangan parti mereka melalui parlimentari tetapi pengalaman yang mereka lalui tidak kurang menarik. Semasa melancarkan perang bersenjata menentang pemerintahan beraja Nepal mereka terdiri daripada Ketua dan Komander gurila di dalam hutan. Salah seorang yang hadir di Cambodia itu adalah bekas menteri. Apabila ditawarkan damai oleh pihak kerajaan dan masuk bertanding dalam pilihanraya parti mereka menang dan mereka membentuk kerajaan memerintah. Namun kemenangan tersebut tidak bertahan lama. Harapan rakyat terhadap mereka terlalu tinggi. Dalam keadaan tidak ada persediaan memerintah dan pengalaman pentadbiran yang tidak mencukupi mereka tidak dapat sempurnakan kehendak rakyat. Akhirnya rakyat kembali ke jalanraya membantah dan menolak mereka. Di dalam pilihanraya berikutnya mereka kecundang. Satu pengalaman pahit yang sempat mereka kongsikan dengan kita semua.
Pada hari kedua,walaupun tidak ternyata di dalam aturcara, pihak penganjur menawarkan peluang kepada wakil dari Patani untuk membuat presentasi memperkenalkan perjuangan Patani yang tidak banyak diketahui orang luar. Walaupun tanpa persediaan awal, dalam masa yang diperuntukkan selama setengah jam itu saya sempat memberi ucapan dan penerangan keseluruhan yang ringkas mengenai perjuangan rakyat Patani dari sejarahnya, perjalan naik turunnya dan situasi terkini, termasuk juga usaha untuk perundingan damai. Pada masa akan datang kita akan lebih bersedia untuk satu pembentangan yang komprehensif, dengan kehadiran yang lebih ramai.
Selain itu ada dua lagi bekas pejuang Khmer Buddhist Liberation Army dan bekas anggota parti Komunis Filipina. Mereka sudah berumur dan hadir untuk menceritakan pengalaman mereka berjuang, apa yang berlaku di saat perubahan daripada seorang gurila yang mengusung senjata kepada seorang aktivis politik. Mereka juga mengaku pernah membunuh ramai musuh dan juga melakukan penginyayaan terhadap orang awam . Juga diceritakan akhirnya mereka mengubah kepada perjuangan politik yang mendatangkan hasil terlebih baik daripada perjuangan bersenjata. Sekarang mereka bertindak sebagai penasihat kepada beberapa badan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) yang kini sedang menghadapi konflik di rantau Asia.
Turut juga hadir adalah dua orang tenaga pengajar universiti yang merupakan pakar sains politik dan perdamain yang diiktiraf secara meluas di rantau ini dan antarabangsa. Mereka berperanan sebagai pemudahcara/fasilitator bagi perhimpunan unik ini.
Akhir sekali pihak yang menganjurkan konferensi ini , Pusat Kedamaian dan Kajian Konflik ( Centre for Peace and Conflict Studies -CPCS ) adalah sebuah NGO yang mempunyai keistimewaannya tersendiri. Ketua Eksekutifnya adalah seorang wanita berasal daripada New Zealand,yang berkahwin dengan seorang rakyat Cambodia dan menetap di situ. Dalam ucapan penutup beliau menyatakan "We don't document this gathering so that you all can be free to talk to one another without worrying that something is being written down and that you will be quoted somewhere else ." (Kami tidak membuat sebarang catatan pada perhimpunan ini agar kamu semua merasa bebas untuk bercakap sesama sendiri tanpa kebimbangan sesuatu akan dicatatkan dan akan dedahkan di tempat lain ). Mereka sungguh professional dalam tugas mereka dan turut mendapat pengiktirafan dari PBB(UN).
Sesungguhnya usaha untuk memperkenalkan perjuangan rakyat Patani dan membawanya ke pentas dunia demi sokongan dan dokongan antarabangsa adalah tugas yang seharusnya dibuat oleh siapa sahaja dari kalangan organisasi atau orang Patani yang berkemampuan dan berkesempatan melalui apa sahaja saluran yang difikirkan boleh membawa manfaat yang maksima. Pengalaman yang diperolehi melalui interaksi dengan orang luar dari pelbagai pihak dan kumpulan amat besar dan tidak ternilai. Ia adalah sebahgain daripada proses membina keupayaan (capacity building) yang penting bagi seorang individu yang mahu menonjolkan isu Patani ke pentas antarabangsa. Ini adalah satu lagi cabang perjuangan, politik diplomasi, selain gerakan politik bersenjata dan gerakan massa(rakyat) ke arah merealisasikan cita-cita perjuangan Patani untuk membebaskan diri dari belengu penjajahan dan mendapatkan hak menentukan nasib sendiri (Right to Self-determination).
Abu Hafez Al-Hakim, dari luar pagar Patani.
23 Jun 2015 M/ 6 Ramadhan 1436 H