Serangan yang dilakukan pada 13 Februari oleh kumpulan militan (yang kemudiannya diketahui sebagai anggota Barisan Revolusi Nasional, BRN) ke atas sebuah kubu tentera yang terletak di Daerah Bacho, Wilayah Narathiwat, berakhir dengan gugurnya nyawa seramai 16 orang penyerang. Menurut seorang komander tentera Unit Khas 32 yang terletak di daerah berkenaan, sejak pergolakan tercetus di Thailand Selatan pada awal tahun 2004, ini kali pertama percubaan sedemikian oleh pihak kumpulan militan berakhir dengan kegagalan. Walaupun serangan tersebut gagal dari segi ketenteraan, peristiwa ini meninggalkan kesan yang amat mendalam pada sanubari penduduk tempatan, dan membongkarkan banyak perkara yang sebelum ini tidak dinyatakan oleh mana-mana pihak. Selama ini ahli kumpulan militan dilabelkan sebagai pengganas, dan penduduk tempatan mendiamkan diri sahaja. Tetapi peristiwa ini seolah-olah menggerakkan hati orang tempatan untuk bertindak.
Sebaik sahaja mendapat berita gugurnya 16 nyawa dalam peristiwa tersebut, seorang penyair tempatan yang bernama Abdulloh Wan Ahmad mengarang sajak yang bertajuk ‘13 Februari’.
13 Februari
Embun pagi mebasahi bumi
Sebelum fajar jelang menyinar
Kebaktian diri membela pertiwi
Menjulang ajaran tinggi yang benar
Bak mawar harum kasturi
Menabur bakti menyuburi bumi
Nama-namamu takkan ku lupai
Jasamu di kenangan hingga abadi
Pemergianmu tak akan hampa
Tetap dibalas di negeri sana
Kenangan indah amal mulia
Jasa kenanganmu...perwira
Seorang pemuzik tempatan yang juga kawan kepada penyajak tersebut, menggubal muzik untuk sajak ini, maka lahirlah lagu ‘13 Februari’ nyanyian Madu Band. Klip lagu ini dimuat naik ke laman video Youtube pada pertengahan Februari, dan ketika aritkel ini sedang diusahakan (awal April 2013), sudah ditonton oleh lebih daripada 20,000 orang. Satu sambutan yang luar biasa bagi lagu tempatan di Patani.
Daripada kandungan sajak yang mendapat sambutan yang begitu baik, jelaslah bahawa sentimen ini dikongsi oleh ramai penduduk tempatan. Mereka tidak menganggap ahli kumpulan militan sebagai pengganas, sebaliknya sebagai pejuang yang memegang ajaran agama sebagai teras perjuangan. Hal ini telah dibuktikan oleh gambar-gambar barang kepunyaan mereka. Mereka menyimpan al-Quran di dalam begnya.
Penduduk kampung asal para pejuang menolak tawaran untuk mengebumikan semua jasadnya di sebuah liang lahad besar di pekarangan sebuah masjid yang terkenal di Wilayah Narathiwat iaitu Masjid Wadi Al Hussain, di Teluk Manok, kerana penduduk kampung mahu jasad pejuang dikebumikan di kampung masing-masing. Jika orang yang gugur pada 13 Februari ini benar-benar pengganas seperti yang dituduh oleh kerajaan, tentunya tidak ada penduduk tempatan yang menuntut mayatnya dikebumikan di kampung masing-masing. Pada pandangan orang tempatan, mereka ialah pejuang pembebasan Patani yang mati syahid.
Antara pejuang yang gugur dalam peristiwa ini ialah Mahrosu Jantarawadee atau nama Islamnya ialah Mad Rasul bin Ibrahim. Anak kelahiran Kampung Duku, Daerah Bacho ini merupakan salah seorang pejuang yang terkenal, atau ‘pengganas’ yang dikehendaki oleh kerajaan. Menurut penyataan akhbar yang dikeluarkan oleh pihak tentera, beliau terlibat dalam 35 kes keganasan, dengan membunuh 25 orang (tetapi buktinya lemah). Sebanyak 18 waran tangkap telah dikelurkan. Tidak hairanlah seorang pegawai polis di Daerah Bacho yang ditemui oleh penulis menyifatkannya sebagai ‘ketua pengganas’. Menurut beliau, kawasannya (Daerah Bacho) akan damai kerana tiada lagi ketua pengganas yang terkenal ini.
Hanya beberapa hari setelah berlakunya kejadian 13 Februari, para wartawan daripada media alternatif tempatan yang bernama Wartani menziarahi keluarga bebera orang pejuang di Daerah Bacho, termasuk isteri kepada Mahrosu untuk mengadakan sesi wawancara. Peribadi Mahrosu yang diceritakan oleh isterinya amat menakjubkan.
Sebelum ini, komander tertinggi di kawasan ini, Leftenan Jeneral Udomchai Thamma- sarojrat menerangkan bahawa orang tempatan menyertai kumpulan militan kerana mereka adalah daripada golongan yang dipandang rendah dalam masyarakat. Menurutnya, dengan menyertai kumpulan militan, mereka boleh menjadi komander, dan mencapai kuasa yang tidak pernah dipegang oleh mereka sebelum ini. Tetapi ternyata tanggapan komander ini tersasar.
Peribadi yang digambarkan melalui wawancara isteri Mahrosu bukan seorang pengganas yang gila kuasa, tetapi seorang suami dan bapa yang penuh dengan kasih sayang terhadap keluarganya. Kasih sayang itu diterjemahkan dalam bentuk usahanya untuk menyara keluarga, walaupun dirinya sentiasa perlu melarikan diri daripada pemburuan askar Thai. Apabila ditemui penulis, isteri kepada pejuang yang terkenal ini menerangkan bahawa Mahrosu bekerja di beberap kebun getah milik saudara-maranya sebagai penoreh, dan menghantar wang yang diperolehi kepada keluarganya. Pada Hari Raya Haji, beliau juga membawa seguni daging lembu supaya anak-anaknya dapat menikmati hidangan daging pada hari besar yang terpenting dalam agama Islam. Bukan itu sahaja, beliau juga menebang kayu di dalam hutan, lalu mengirimkannya kepada keluarganya di kampung. Akhirnya sebuah rumah batu yang cantik dapat didirikan untuk keluarganya. Tetapi diri Mahrosu tidak sempat menaiki rumah yang dibina olehnya semasa beliau masih hidup lagi. Sebaliknya, rumah baru inilah yang menyambut kepulangan jasadnya yang tidak bernyawa lagi.
Dokumentari keluaran Wartani tersebut mendapat sambutan yang hebat, kerana sehingga saat ini jumlah penontonnya sudah melebihi 30,000 orang.
Kejadian pada 13 Februari ini juga sudah menggerakkan hati orang tempatan untuk lantang bersuara. Pada 23 Mac yang lalu, sebuah forum yang bernama Bicara Patani II telah dilangsungkan di Dewan Canselor, Universiti Prince of Songkla, Kampus Pattani. Forum ini dihadiri oleh ribuan orang tempatan (menurut anggaran kasar penulis sekitar 3000 orang), dan mendapat liputan media baik daripada Thailand mahupun daripada Malaysia termasuklah TV3. Seperti yang dilaporkan oleh surat khabar berbahasa Inggeris di Thailand, The Nation, forum ilmiah ini lebih bersifat perhimpunan politik. Ini merupakan satu peristiwa yang amat penting kerana penduduk tempatan dapat memberanikan diri untuk berhimpun (penulis ingin menekankan hakikat bahawa kawasan ini masih di bawah Undang-undang Darurat) dan menyatakan pendiriannya sendiri yang mungkin boleh membahayakan dirinya sendiri.
Perubahan yang sedang berlaku sebenarnya bukan sesuatu yang menghairankan. Rakyat tempatan Patani sudah lama menahan penderitaan di bawah pentadbiran kerajaan Thai yang tidak pernah adil. Sejak Patani dicantumkan sebagai sebahagian negara Siam pada awal abad ke-20, rakyat tempatan terus dikelaskeduakan. Kawasan ini juga dijadikan tempat buangan pegawai kerajaan yang telah melakukan kesalahan. Selama ini, rakyat tempatan hanya menyatakan rasa tidak puas hati dalam bentuk sokongan kepada kumpulan-kumpulan pejuang secara senyap-senyap sahaja. Tetapi mereka sendiri tidak berani menyuarakan apa-apa, kerana kehadiran pegawai keselamatan yang begitu banyak dan tekanan yang diberikan olehnya.
Pegawai keselamatan pula tidak memanfaatkan kuasa mutlak yang diamanahkan kepada mereka melalui tiga jenis undang-undang istimewa, iaitu Undang-undang Darurat, Dikri Darurat serta Akta Keselamatan Dalam Negara. Sebaliknya, impuniti yang diperuntukkan selalunya digunakan untuk melindungi pegawai keselamatan, terutamanya askar, yang menyalahgunakan kuasa. Contohnya, setelah Peristiwa Berdarah Tak Bai yang meragut sekurang-kurangnya 78 nyawa (dan ramai lagi yang hilang), setakat ini belum ada pegawai tentera atau polis yang dijatuhkan hukuman atau tindakakn disiplin.
Menurut aduan yang dibuat kepada pihak Pusat Peguam Muslim, dan juga beberapa wawancara yang penulis lakukan sendiri, jelas ada penyeksaan oleh pegawai tentera semasa menyoal siasat suspek. Jumlah kes sedemikian sudah mencapai tahap yang amat membimbangkan. Cara-cara penyeksaan yang digunakan oleh pihak tentera termasuk memukul, menyepak, mengenakan renjatan elektrik, mengenakan beg plastik ke atas kepala (untuk melemaskan), mendedahkan suhu yang terlamapu (sama ada terlalu sejuk atau terlalu panas) dan sebagainya. Dalam beberapa kes, pegawai soal siasat juga menggunakan benda tajam untuk melukai badan suspek.
Seorang imam masjid di Daerah Rueso, Wilayah Narathiwat, yang bernama Yapha Kaseng, atau dikenali antara kalangan penduduk tempatan sebagai Imam Zakaria, ditahan bersama dua orang anak lelakinya atas tuduhan palsu. Beliau meninggal dunia di sebuah pangkalan unit khas setelah diseksa berjam-jam oleh askar di depan mata dua orang anak lelakinya. Menurut anak lelakinya, askar berkali-kali memijak tubuhnya. Akhirnya sebatang tulang rusuknya patah, lalu mencucuk paru-parunya. Kecederaan ini menyebabkan kematian imam berkenaan. Punca kematiannya diketahui setelah autopsi dilakukan, tetapi sebelum ini pihak tentera mengumukan punca kematian sebagai penyakit epilepsi.
Keluarga Imam Zakaria telah membawa kes tersebut ke mahkamah. Mereka menang dalam kes sivik. Pihak berkuasa diperintah untuk membayar wang pampasan. Tetapi kes jenayah pula menemui jalan buntu kerana di bawah undang-undang istimewa, kes jenayah oleh pegawai tentera perlu dibawa ke mahkamah tentera, yang tentunya akan memihak kepada pegawai tentera. Imam Zakaria merupakan seorang pemimpin agama yang dihormati oleh penduduk tematan. Hampir dua ribu orang penduduk berkumpul di depan unit khas tersebut untuk mengambil jasadnya. Walaupun nyawa imam tersebut dilayangkan oleh tangan tentera, tidak seorang pun daripada askar-askar yang menyeksanya dijatuhkan hukuman. Menurut seorang anak Imam Zakaria, antara askar yang menyeksa bapanya ada juga yang mabuk.
Menangkap sesiapa sahaja yang ‘mencurigakan’ ialah salah satu kuasa yang diberikan kepada pegawai keselamatan melalui Undang-undang Darurat. Dengan kuasa ini, pegawai tentera juga melakukan penangkapan secara rambang, tetapi kebanyakannya mereka menangkap orang yang salah. Hal ini jelas daripada perangkaan yang dikeluarkan oleh Pusat Peguam Muslim yang menunjukkan bahawa lebih 80 peratus daripada semua kes keselamatan yang dibawa ke mahkamah akhirnya digugurkan kerana buktinya tidak cukup. Walaupun sistem kehakiman masih berfungsi dengan agak sihat, penangkapan seperti ini menambahkan penderitaan orang tempatan, kerana mereka ditahan tanpa waran berdasarkan Undang-undang Darurat, dan ditahan selama 7 hari. Kemudian penahanan mereka disambung lagi selama 30 hari mengikut peruntukan Dikri Darurat. Penahanan mungkin lebih lama daripada itu hingga berbulan-bulan, jika kes mereka dibawa ke mahkamah.
Seorang daripada mangsa penahanan yang ditemui oleh penulis menceritakan pengalamannya yang terpaksa berkurung di penjara selama dua tahun sehingga kesnya digugurkan oleh mahkamah. Setelah dibebaskan, bekas ‘tertuduh’ terpaksa melaporkan diri setiap bulan kepada pihak tentera, dan pergerakannya terbatas. Masyarakat tempatan juga memandang serong terhadap orang yang pernah ditahan. Kebanyakannya mengalami kesulitan untuk mencari pekerjaan yang tetap setelah mereka dibebaskan.
Satu lagi kuasa yang diperuntukkan kepada tentera, tetapi mendatangkan masalah kepada penduduk tempatan, ialah kuasa untuk melakukan siasatan ke atas mana-mana tempat pada bila-bila masa. Oleh yang demikian, kerap kali siasatan tentera dilakukan ke atas rumah ‘suspek’ ketika tidak ada orang di rumah berkenaan tanpa pemberitahuan awal. Apabila penghuninya balik ke rumah sendiri akan bersemuka dengan keadaan rumahnya seperti yang telah dimasuki oleh pencuri, yang barang-barangnya diselongkar di sana-sini. Dalam beberapa kes wang serta harta benda yang disimpannya juga hilang. Rumah salah seorang pelajar penulis juga mengalami nasib yang sedemikian. Beberapa orang penduduk membuat aduan, tetapi tidak dilayan oleh tentera.
Penderitaan ini merupakan punca utama berlakunya pergolakan di Thailand Selatan. Menurut laporan berita daripada Deep South Watch, dalam perbincangan perdamaian yang telah berlangsung di Kuala Lumpur pada 28 Mac yang lalu antara kerajaan Thailand dengan para wakil kumpulan pejuang, salah seorang daripada wakil pertubuhan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang tidak diketahui namanya, menceritakan peristiwa-peristiwa yang lalu, termasuklah penculikan pemimpin agama tempatan Haji Sulong, Peristiwa Dusun Nyiur pada tahun 1948, Pembunuhan Penduduk Muslim di Daerah Saiburi pada 1975 hinggalah pertempuran antara tentera Thai dan para pejuang di Majid Kerisik serta peristiwa berdarah di Tak Bai pada tahun 2004. Menurut laporan tersebut, ketika menceritakan kisah-kisah ini dengan mengalirkan air mata, wakil BRN berkenaan terlalu sebak sehingga terpaksa keluar dari bilik perbincangan untuk meredakan perasaannya.
Daripada penjelasan di atas, jelaslah bahawa sentimen terhadap kerajaan Thai serta kezaliman yang dilakukan oleh pihak tentera selama ini dikongsi oleh penduduk tempatan dan pertubuhan pejuang seperti BRN. Dengan kata lain, dalam perbincangan perdamaian ini yang Malaysia bertindak sebagai pemudah cara, BRN bukan sahaja mewakili pertubuhan-pertubuhan pejuang, tetapi secara tidak langsung, pertubuhan ini juga telah mewakili penduduk Melayu tempatan di Thailand Selatan yang menderita.
Untuk pengetahuan para pembaca, Mahrosu juga merupakan seorang anggota pertubuhan tersebut. Mahrosu serta semua rakan seperjuangannya yang gugur diterima oleh masyarakat tempatan sebagai syahid. Dalam sebuah klip dalam Youtube dirakamkan adegan pengebumian salah seorang daripadanya yang dihadiri oleh beratus-ratus, malah kemungkinan ribuan ornag penduduk, kesemuanya beratur panjang untuk mengusung jasad sambil melaung takbir. Dalam kelip tersebut ada suara latar yang terus-terang menyokong perjuangan, dan kini pihak berkuasa sedang memburu pembuat klip tersebut kerana dianggap sebagai menghasut penduduk tempatan. Tetapi sentimen orang tempatan tidak memerlukan sebarang hasutan lagi. Peristiwa 13 Februari yang gagal dari segi strategi ketenteraan telah membangkitkan semangat masyarakat tempatan.
Dalam Kesepakatan Umum atas Proses Perundingan Damai yang ditandatangani pada 28 Februari yang lalu, dinyatakan bahawa kerajaan Thai berhasrat untuk mengadakan perbincangan dengan orang ‘yang mempunyai pendirian serta ideologi yang berlainan daripada negara (kerajaan)’. Setelah peristiwa 13 Februari ini, semakin ramai penduduk tempatan sudah berani menampilkan diri sebagai penyokong perjuangan ini. Oleh itu, penduduk tempatan Melayu di Thailand Selatan juga tergolong ke dalam orang yang mempunayi pendirian serta ideologi yang berlainan daripada kerajaan.
Peranan Malaysia dalam mewujudkan proses perdamaian di Thailand Selatan amat penting. Pada masa ini Malaysia bertindak sebagai pemudah cara (facilitator), dan menjalankan tugas ini dengan baik. Usaha ini patut dipuji. Tetapi pada pandangan penulis, peranannya hendaklah ditingkatkan kepada tahap orang tengah (mediator). Malaysia merupakan satu-satunya pihak yang boleh memberikan tekanan kepada kedua-dua pihak, iaitu kerajaan Thailand dan kumpulan-kumpulan pejuang. Malaysia dihormati oleh kerajaan Thailand sebagai rakan ASEAN yang disegani, dan kumpulan pemisah pula menaruh kepercayaan atas Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Di samping itu, Malaysia juga memahami keadaan di Thailand Selatan kerana bersempadan dengan kawasan tersebut. Tidak ada mana-mana pihak yang lebih layak untuk peranan ini.
Walaupun nasib bangsa Melayu di Bumi Patani tidak seburuk bangsa Rohingya atau orang Muslim di Burma, penderitaan mereka juga sudah cukup lama. Jumlah orang terkorban dalam pergolakan ini sejak tahun 2004 sudah melebihi 5,300 orang. Kini buat kali pertama dalam sejarah pihak kerajaan Thailand bersedia untuk mengadakan perbincagnan dengan wakil bangsa Melayu yang meneruskan perjuangan. Peluang ini tidah seharusnya disia-siakan. Sebagai kumpulan minoriti, kuasa yang ada pada bangsa Melayu di Thailand Selatan terlalu kecil berbanding dengan kuasa kerajaan Thai. Oleh itu bantuan daripada Malaysia amat diperlukan. Jika bukan dengan tenaga, bantuan boleh dihulurkan dalam bentuk wang ringgit, tekanan terhadap kerajaan supaya lebih mengambil berat akan hal ini, dan juga dalam bentuk sepotong doa.
Link dokumentari terbitan Wartani:
http://www.youtube.com/watch?v=3ZfXltWjZd0