Skip to main content

PROSES DAMAI PATANI MENDAPAT LAMPU HIJAU ?

 

Setelah lebih sebulan pihak junta yang merampas kuasa di Thailand atas nama Majlis Keamanan

dan Ketenteraman Kebangsaan (NCPO, National Council for Peace and Order) yang dikepalai

oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Prayut Chan-ocha, akhirnya melaui Setiausaha Agung

NCPO, Jeneral Udomdej Sitabutr pada 30 Jun 2014 telah mengumumkan pendirian jelas mereka

berhubung Proses Damai Patani.

 

Di dalam pengumuman itu pihak junta bersetuju untuk meneruskan semula proses dialog

damai dengan pihak pejuang Patani bawah pimpinan BRN yang sudah lama tertangguh kerana

keadaan politik Thailand yang tidak stabil. Mereka juga menegaskan bahawa peranan Malaysia

sebagai fasilitator masih tetap diperlukan.

 

Bagi banyak pihak yang mengikuti perkembangan di Patani secara dekat termasuk juga rakyat

umum di Selatan, perkembangan terbaru itu diterima dengan tanggapan yang berbeza. Di satu

pihak ada yang menarik nafas lega kerana proses damai yang dikira boleh membawa keamanan

berkekalan di Selatan bergerak semula, meskipun tidak tahu bilakah ia akan membuahkan hasil.

Di pihak yang lain pula timbul suatu kekuatiran bahawa apakah pihak tentera dapat berperanan

secara berkesan mengepalai pasukan perunding Thailand, sedangkan pada masa lampau

mereka tidak begitu "merestui" proses damai yang telah dimulakan oleh kerajaan awam

pimpinan bekas Perdana Mentri Yingluck Shinawatra. Tambahan pula dengan desas desus

mengatakan bahawa pihak Tentera tidak akan berkompromi dengan isu pemerintahan

sendiri atau autonomi yang dikemukan oleh pihak pejuang Patani pada tahun lalu, ramai

beranggapan bahawa jika pihak tentera masih bersikap keras, proses damai akan menemui

jalan buntu sekali lagi.

 

Jika diimbau kembali Proses Dialog Damai yang dimulakan pada 28 Febuari 2013 lalu, kita

semua sedia maklum mesyuarat rasmi antara deligasi Thai dan pejuang (BRN) yang terakhir

ialah pada 13 June 2013. Isu penting yang dibangkitkan ketika itu oleh deligasi Thai ialah

mengusulkan langkah mengurangkan serangan oleh kedua belah pihak pada bulan Ramadhan

tahun lalu. Walaupun kemudiannya pihak BRN menyambutnya dengan cadangan balas untuk

berhenti terus operasi selama 40 hari dengan beberapa syarat, kita semua juga sudah maklum

akan hasilnya.

 

Kegagalan initiatif damai Ramadhan telah membawa kepada pengistiharan BRN melalui

anggota bersenjatanya bahawa dialog damai tidak akan diteruskan selagi pihak Thai tidak

memberi jawapan jelas mengenai Tuntutan Awal 5 perkara dan pengesahan dari Parlimen Thai

untuk menjadikan proses damai sebagai agenda nasional. BRN juga mengambil satu lagi

langkah drastik dengan kemunculan Ustaz Hassan Taib dalam rakaman video melalui YouTube

pada 1 Disember 2013 menegaskan perkara yang sama sambil merujuk kepada dirinya sendiri

sebagai mantan Ketua Deligasi BRN di meja dialog. Pada masa yang sama krisis politik dalaman

Thai semakin memuncak. Leftenan Jeneral Paradorn , bekas Ketua Deligasi Thai, telah

mengumumkan penangguhan proses dialog damai sehingga keadaan Thailand kembali stabil.

 

Banyak pihak, terutama yang berfikiran pesimistik dan negatif, segera membuat kesimpulan

bahawa proses dialog damai sudah berkubur. Pengumuman Leftenan Jeneral Paradorn tersebut

dan lebih lagi pengunduran Ustaz Hassan Taib sebagai Ketua Deligasi BRN ditafsirkan sebagai

kedua-dua pihak sudah mendapat alasan yang munasabah untuk mengudurkan diri dari meja

rundingan.

 

Sebenarnya pandangan sedemikian amat jauh tersasar dari kenyataan. Harus difahami bahawa

proses damai yang baru berumur setahun jagung itu ditunjangi 3 pihak utama: Deligasi Thai,

Deligasi BRN dan Malaysia selaku fasilitator. Sehingga kini, tidak satu pun dari mana-mana pihak

tersebut yang menarik diri secara rasmi. Di pihak Thailand, walaupun sudah berlaku rampasan

kuasa dan tiga tonggak utama dalam deligasinya sudah dilucutkan jawatan (Leftenan Jeneral

Paradorn Patnathabutra, Polis Kolonel Thawee Sodsong dan Jeneral Niphat Thonglek) tetapi

pasukan itu belum dibubarkan. Terkini difahamkan pihak junta sedang membuat beberapa

rombakan dan penyusunan semula komposisi delegasi Thai setelah mereka menegaskan

komitmen untuk terus berdialog.

 

Di pihak BRN pula berhubung status Ustaz Hassan Taib, walaupun tidak lagi mengepalai

deligasinya, masih tetap berada dalam pasukan perunding BRN bersama yang lain termasuk

wakil dari PULO dan BIPP. Perjumpaan dan perbincangan dalaman sesama mereka, juga dengan

pihak lain tidak terhenti. Yang terhenti hanyalah perjumpaan rasmi di meja dialog dengan

Thailand dan perhubungan dua hala melalui pihak faslitator. Besar kemungkinan apabila proses

ini dapat digerakkan semula setelah beberapa syarat terdahulu dipenuhi, akan ada rombakan

dan pengubahsuaian komposisi deligasi pejuang dengan perlantikan ketua deligasi baru atau

perlantikan semuala Ustaz Hassan Taib ke jawatan asalnya.

 

Begitu juga di pihak Malaysia. Kedudukan Dato Seri Ahmad Zamzamin selaku fasilitator yang

dilantik secara khusus oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Razak, masih lagi kekal.

Kini Malaysia hanya menunggu maklum balas secara rasmi dari pihak Thailand sebelum pihak

fasilitator menyusun langkah seterusnya.

 

Terdapat sedikit keraguan dari sesetengah pihak mempersoalkan kredibiliti junta tentera Thai

yang berkuasa penuh sekarang kerana kuasa yang diperolehinya adalah melaui rampasan

kuasa, bukan secara demokratik. Apakah implikasi yang akan berbangkit pada masa akan

datang sekiranya kesahihan sebuah kerajaan tersebut dipersoalkan apabila melibatkan

perundangan dan perjanjian? Dari pengamatan kami, sekiranya pihak tentera memegang kuasa

untuk tempoh terhad dan mengaturkan peralihan kuasa secara berperingkat dan kembalikan

kuasa kepada sebuah kerajaan awam melaui proses pilihanraya yang telus pada waktu yang

munasabah, dengan terbentuknya parlimen dan kerajaan, tidak ada sebab mengapa ini boleh

dijadikan isu. Difahamkan bahawa pihak tentera mengunjurkan tempoh peralihan antara satu

hingga satu setengah tahun. Kita tunggu dan lihat.

 

Bagi pihak pejuang, pendirian kami adalah jelas. Proses dialog damai akan tetap disertai

apabila ia bergerak semula. Kami tidak akan sekali-kali menarik diri keluar dari proses ini.

Kami sekali lagi mengulangi komitmen kami untuk mencari penyelesain yang adil,

menyeluruh dan berkekalan bagi konflik di Patani melaui jalan berdialog. Sekalipun dalam

perjalanan mencari damai, kadangkala ia memerlukan pengorbanan nyawa dan harta benda

tetapi akhirnya penyelesaian tetap berada pada meja rundingan juga.

 

 Kedamaian menjadi hasrat dan keinginan rakyat Patani keseluruhannya, dan di atas bahu

kami terpikul beban yang berat itu. Sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bagi kepada

pihak pejuang oleh rakyat dari segenap peringkat amatlah diharapkan, terutama dari

kalangan aktivis NGO, CSO dan pemimpin politik dan masyarakat, bagi merealisasikan cita-

cita kedamaian dan keamanan yang abadi di Patani Darussalam. 

 

Abu Hafez Al-Hakim

Cuka dan Madu - Dari Luar Pagar Patani.

5 Ramadhan 1435H / 3 Julai 2014M