Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi - catatan tentang sekatan laman PULO

Shintaro's picture

Kerajaan kudeta Thai menunjukkan sikap yang bersungguh-sungguh dalam menggerakkan proses dialog bahagia (sama ada benar-benar serius atau berpura-pura, wallahualam). Apakah tujuan terakhir proses ini juga tidak diumumkan lagi, sama ada untuk mewujudkan kedamaian yang hakiki atau sekadar gencatan senjata sementara. Walau bagaimanapun, proses dialog sebagai sebahagian daripada proses damai sifatnya tetap sama, iaitu bertujuan untuk melahirkan perasaan saling percaya. Dengan demikian, semua pihak yang terlibat dalam proses ini (stakeholder) perlu bersikap terbuka.

Menurut berita beberapa minggu yang lalu, organisasi PULO sudah bersetuju untuk menyertai proses tersebut. Walau bagaimanapun, apabila teks ucapan salah seorang ketua saya PULO disiarkan melalui laman sesawang, laman itu pula disekat dengan 'skrin hijau' yang menyatakan bahawa laman yang dicari mengandungi bahan yang 'tidak sesuai'.

Saya percaya bahawa semua pihak BERHAK untuk BERSUARA, kerana proses damai ialah transformasi perselisihan daripada pertelingkahan bersenjata kepada perdebatan, perbincangan dan perundingan. Dengan demikian, tindakan kerajaan kudeta yang menutup laman PULO itu merupakan tindakan yang sangat tidak wajar. Walaupun ada beberapa perkara yang saya kurang setuju dengan organisasi berkenaan, tetapi saya percaya teguh bahawa semua pihak perlu diberikan kebebasan untuk bersuara.

Adakah kerajaan kudeta terus bersikap degil, sombong dan keras, sehingga tiada pihak yang mahu berunding, yang mengakibatkan rakyat tempatan terus menderita? Jangan salahkan mereka yang menyangkut sepanduk, kerana mereka pastinya akan memilih saluran yang lain jika saluran itu dipastikan kebebasannya. Mereka terpaksa menyangkut sepanduk kerana tiada pilihan yang lain.

Adakah pada dasarnya kerajaan kudeta hanya berpura-pura untuk berdialog, itupu dialog bahagia, manakala semua saluran komunikasi bagi pihak pejuang ditutup? Kalau demikian, hentikan sahaja semua usaha untuk menggerakkan proses damai, kerana jika kebebasan bersuara tidak dijamin, sebarang dialog tidak akan berjaya. Dialog maksudnya perbualan. Mana boleh berdialog jika mulut satu pihak ditutup? Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

 

Malay