Skip to main content

Oleh Hara Shintaro

 
Pertempuran bersenjata yang berlaku pada 13 Februari 2013 di pangkalan tentera laut yang terletak di sebuah kampung di Daerah Bachok, Wilayah Narathiwat, telah menyebabkan gugurnya nyawa 16 orang anggota kumpulan bersenjata yang selama ini berlawan dengan kerajaan Thai. Menurut seorang pegawai tentera di Unit Khas 32 di Narathiwat, ini adalah kali pertama serangan sedemikian yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata gagal.
            Kerajaan Thai, seperti biasa, melabelkan penyerang sebagai pengganas, penjenayah dan penjahat. Menurut beberapa sumber di Bangkok, kerajaan juga mengheboh-hebohkan ‘kejayaan’ kali ini, kerana melalui jaringan yang mereka namakan sebagai ‘kamnan network’ ada orang yang memberikan maklumat mengenai serangan ini. Dengan kata lain, kerajaan mahu menghebohkan bahawa kini sudah ada orang tempatan yang sanggup membocorkan rahsia yang penting kepada pihak kerajaan. Walau bagaimanapun, menurut satu lagi sumber yang boleh dipercayai, kenyataan ini tidak benar sama sekali. Serangan kali ini gagal kerana ada kesilapan pada pihak kumpulan bersenjata, dan melalui kesilapan itulah bocor satu rahsia yang penting. Orang tempatan tidak terlibat dalam ‘penbocoran rahsia’ berkenaan.
            Dari segi ketenteraan, ini memang satu kejayaan yang besar kerana tentera kerajaan dapat mengurangkan jumlah askar pihak lawannya sebanyak 16 nyawa. Walaupun begitu, ada pula kesan yang tidak disangka-sangka oleh pihak berkuasa.
            Selepas mayat-mayat telah dikembalikan kepada keluarga masing-masing, ada pihak yang mengesyorkan supaya kesemua mayat 16 orang yang mati dalam pertempuran dikebumikan di pekarangan sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid 400 Tahun, atau Masjid Talok Mano. Masjid yang terletak di Wilayah Narathiwat ini merupakan lambang kebudayaan Melayu Muslim bagi penduduk tempatan, seperti Masjid Gersik di Patani. 16 orang yang gugur pada tarikh berkenaan (13 Februari) datang daripada kampung-kampung yang berlainan. Orang-orang yang sekampung dengan yang gugur tidak setuju dengan pengesyoran ini; sebaliknya mereka menuntut supaya jasad 16 orang itu disemadikan di kampung masing-masing. Jika sekiranya orang-orang kampung bersetuju dengan pandagnan kerajaan yang melabelkan mereka sebagai pengganas atau penjenayah, mustahillah orang kampung menuntut supaya mayatnya dikebumikan di kampung mereka. Alasan kenapa orang-orang kampung menuntut supaya mayat-mayat tersebut dikebumikan di kampung masing-masing adalah kerana orang yang gugur pada tarikh itu dianggap sebagai syahid.
            Semua 16 mayat dikebumikan sebagai syahid (tanpa mandi mayat), dan pengebumian pula dihadiri oleh ramai orang tempatan. Dalam satu klip Youtube, terdapat beratus-ratus, malah beribu-ribu penduduk tempatan beratur, mengusung jasad seorang syahid ke liang lahad. Satu sumber mengesahkan bahawa klip ini memang pengebumian salah seorang daripada yang gugur pada 13 Februari.
            Ketika jasad seorang lagi syahid, Mad Rasul bin Ibrahim atau nama Thainya Maroso Chantrawathee, yang paling terkenal antara semua pejuang yang gugur, dikebumikan, pengebumiannya dihadiri oleh dua tiga ratus orang penduduk tempatan. Pada hari pengebumian, kampung itu dikepung oleh ramai askar. Menurut isteri Maroso, ‘orang luar tak boleh masuk, orang dalam tak boleh keluar.’ Walaupun demikian, orang-orang tempatan berikhtiar untuk menyertai pengebumian pejuang yang memang terkenal dalam kalangan mereka.
            Kesan kematian 16 orang syahid bukan sahaja terasa oleh orang-orang yang sekampung dengan mereka. Contohnya, seorang penyair tempatan, Abdulloh Wan Ahmad, sebaik sahaja mendapat berita keguguran tersebut, mengarang sebuah sajak yang bernama ’13 Februari’ untuk mengenang ‘jasa’ mereka. Sajak ini pula dibaca oleh seorang rakan pemuzik tempatan. Dia pula terus menggubal muzik untuk sajak tersebut, maka lahirlah lagu ’13 Februari’, nyanyian Madu Band. Lagu ini dimuat naik atas Youtube, dan mendapat sambutan yang laur biasa bagi lagu tempatan. Ketika artikel ini ditulis, klip lagu ini telah ditonton oleh lebih daripada 15, 000 orang.
            Mad Rasul atau Maroso pula, sesuai dengan peranannya yang penting dalam angkatan bersenjetanya dan paras wajah yang tanpan, seolah-olah telah menjadi ikon perjuangan bagi orang tempatan, terutamanya dalam kalangan remaja. Setelah kejadian itu berlaku, gambar beliau serta-merta dikongsi dalam ruangan media sosial  Facebook, dan ramai pula yang menggunakan gambar beliau sebagai gambar profil sendiri. Ada pula yang mengubah suai gambar Maroso, dalam gaya yang sama dengan gambar pejuang terkenal Che Guevara. Gambar ini juga dikongsi oleh ramai. Antara semua rakan Facebook penulis yang lebih daripada seribu orang, tidak kurang daripada 15 orang menggunakan gambar tersebut sebagai gambar profilnya.
            ‘Laman peminat (Fan page)’ untuk Maroso pula dibuka oleh orang yang tidak dikenali keluarganya sendiri. Walau bagaimanapun, laman ini telah disukai oleh lebih daripada 1500 orang. 
            Kisah di sebalik perjuangan Maroso juga memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat tempatan di Patani. Sebuah dokumentari telah diusahakan oleh Wartani, sebuah pertubuhan wartawan alternatif, yang berteraskan wawancara dengan keluarga pejuang yang telah gugur. Dalam wawancara tersebut, Rusnee, isteri kepada Maroso menjelaskan betapa kuat rasa tanggungjawab Maroso terhadap keluarganya. Peribadi yang digambarkan melalui wawancara itu bukan orang yang gila kuasa, ganas dan pemarah, sebaliknya seorang bapa yang penuh dengan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap keluarganya. Klip ini sudah ditonton oleh tidak kurang daripada 30,000 orang di ruang Youtube.
            Daripada penjelasan di atas, jelaslah bahawa orang-orang yang pihak kerajaan  
terus-menerus melabelkan sebagai ‘pengganas’ atau ‘penjahat’, bagi kaca mata penduduk tempatan ialah pejuang patani yang mati syahid. Mereka ialah pahlawan. Tetapi pandangan penduduk tempatan tidak pernah difahami oleh pegawai-pegawai kerajaaan. Orang-orang tempatan dan kerajaan berkongsi bumi yang sama, tetapi masing-masing dengan pandangan dunia yang berlainan.
            Ketika penulis dan rakan-rakan pemberita mencari maklumat di sebuah balai polis di Daerah Bachok, seorang pegawai polis menyatakan bahawa daerah ini akan selamat kerana ketua pengganas telah mati (yang dimaksudkan ialah Maroso).
            Di kubur Maroso, ada orang yang mendermakan batu nisan yang mencacat bahawa ‘Pahlawan Patani/Syahid’, dan tentera pula mengugut keluarganya untuk mencabut batu nisan tersebut.
            Ketidakpekaan kerajaan terhadap sentimen orang tempatan akan membahayakan proses perdamaian yang baru sahaja bermula. Kini kerajaan sudah mengaku bahawa ada orang yang mempunyai pendirian serta ideologi yang berbeza daripada kerajaan, dan bersedia untuk mengadakan perbindangan kedamaian. Mungkin yang dimaksudkan oleh kerajaan ialah BRN semata-mata. Dalam perhimpunan Bicara Patani II yang dihadiri oleh tujuh ribu orang penduduk tempatan, hampir semua peserta sebulat suara mengaku bahawa mereka juga mempunyai pendirian dan ideologi yang berbeza daripada kerajaan. Dengan itu, kerajaan harus mengaku dan menghormati pendirian dan ideologi orang tempatan yang tidak sama dengan kerajaan.
            Program-program yang bertujuan untuk asimilasi kerap kali diadakan di kawasan Wilayah Sempadan Selatan, tetapi program-program seperti ini tidak akan memenangi hati penduduk tempatna. Program-program yang sedemikian, yang memakan belanja yang besar, pada pandangan penulis, sama sekali tidak perlu diadakan, dan tidak akan mendatangkan manfaat yang dikehendaki oleh pihak kerajaan. Apa yang kerajaan, terutamanya pegawai keselamatan, khasnya tentera, harus lakukan ialah hentikan segera semua tindakan yang tidak adil dan menyakiti hati orang tempatan, termasuk penahanan secara rambang, penyeksaan, ugutan, pemeriksaan rumah tanpa mendapat kebenaran dan lain-lain.
            Kerajaan dan masyarakat Thai awam tidak perlu menganggap Maroso dan syahid yang lain sebagai wira atau pahlawan. Tetapi mereka perlu mengaku bahawa antara rakyat Thai yang hidup di Wilayah Sempadan Selatan, ramai yang beranggapan sedemikian. Penafian kebangsaan Melayu, budaya Melayu, sejarah Melayu dan juga bahasa Melayu selama sembilan tahun kebelakangan ini tidak menghasilkan apa-apa kesan positif, sebaliknya semakin menjauhkan hati orang tempatan daripada pihak kerajaan. Jika kerajaan iklas dan serius dalam proses perdamaian yang bermula ini, hormatilah hak orang tempatan seperti yang dilakukan di tempat-tempat lain di negara ini, dan terimalah hakikat bahawa ada ramai yang pendirian serta ideologinya berlainan daripada kerajaan. Tidak ada apa-apa yang bermanfaat boleh dihasilkan melalui penafian semata-mata. Pengakuan terhadap pandangan dunia yang berbeza ialah langkah pertama yang perlu diambil oleh pihak kerajaan dan tentera.