Skip to main content

Oleh Hara Shintaro

 
Perbincangan kali pertama antara kerajaan Thai (Parti A) dengan wakil kumpulan pemisah di Thailand Selatan (Parti B) telah dilangskungkan di sebuah tempat yang dirahsiakan di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Syabas diucapkan kepada Malaysia kerana berjaya menjalankan tugas yang amat mustahak ini. Perbincangan kali ini merupakan langkah awal dalam merealisasikan proses perdamaian di Thailand Selatan.
 
          Sebelum perbincagnan ini diadakan, bermacam-macam berita disiarkan, baik dalam bahasa Thai, bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Antara perkara yang paling banyak dipersoalkan ialah adakah orang yang akan datang berbincang dari Parti B itu wakil yang sah. Ada juga beranggapan bahawa perbincangan ini tidak bermakna sama sekali atau lakonan politik semata-mata. Berita luar negara berbahasa Inggeris (yang bukan dari Thailand atau Malaysia) rata-ratanya bernada skeptikal dan pesimis dengan proses ini, mungkin kerana sumber beritanya agak terhad. Walau bagaimanapun, dalam seribu satu soalan mengenainya, perbincagnan tetap diadakan. Yang datang daripada Pihak B seramai enam orang ialah wakil yang sah, dan perbincangan kali ini tetap berhasil. Tarikh perbincangan selanjutnya telah ditetapkan pada 29 haribulan April 2013. Terma rujukan (terms of reference) dan komposisi wakilnya telah disetujui.
 
          Untuk menjayakan proses perdamaian yang baru bermula ini, semua pihak memberi komitmen yang serius berdasarkan niat yang ikhlas. Di sini penulis ingin membuat pengesyoran kepada perkara-perkara yang patut dilakukan oleh beberapa pihak.
 
          Pertama, pihak kerjaan. Kerajaan disarankan agar mendengar pandangan rakyat tempatan yang sebenar. Sebelum perbincangan di Kuala Lumpur, pada 24 Mac yang lalu sebuah pertemuan antara Setiausaha Majlis Keselamatan Kebangsaan, Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan dan wakil penduduk tempatan telah diadakan. Tidak dapat dinafikan bahawa orang-orang yang menghadiri pertemuan tersebut terdiri daripada cendekiawan, ahli akademik, pemimpin agama dan aktivis tempatan yang terkenal dan bijaksana. Walaupun begitu, kebijaksaan dan budi bicara mereka tidak sama dengan kehendak serta keperluan rakyat tempatan yang sebenar. Yang pentingnya, taraf serta keadaan hidup antara orang kenamaan tersebut dan rakyat biasa agak berbeza. Dengan demikain, pihak kerajaan perlu berusaha untuk bergaul lebih rapat dengan penduduk tempatan. Tugas ini tidak sepatutnya diserahkan kepada pihak tentera, kerana penduduk tempatan mempunyai perasaan curiga dan takut terhadap pegawai yang berbaju seragam.
 
          Sejak proses ini diumumkan, pihak parti pembangkan di Thailand juga asyik mempersoalkannya. Pada pandangan penulis, sikap mereka lebih untuk melambatkan atau menghalang proses itu sendiri. Sehingga kini lebih 5,300 nyawa telah terkorban, dan nyawa penduduk tempatan yang masih hidup bergantung pada kejayaan proses ini. Pihak pembangkang hendakllah ketepikan kepentingan politiknya, dan berikan kerjasama yang sewajarnya untuk menjayakan proses perdamaian. Janganlah mereka bertindak mengikut pandangan yang terlalu sempit. Tindakan sedemikian akhirnya merugikan mereka sendiri.
 
          Pihak yang seterusnya ialah tentera. Oleh sebab kawasan Wilayah Sempadan Selatan berada di bawah tiga jenis undang-undang istimewa, iaitu Undang-undang Darurat, Dikri Darurat serta Akta Keselamatan Dalam Negeri, maka kuasa pentadbiran yang mutlak telah diperuntukkan kepada pihak tentera, termasuk kuasa penangkapan, penahanan, penyitaan dan berbagai-bagai lagi. Berikutan dengan itu, walaupun pihak tentera kadang-kala melakukan penyalahgunaan kuasa, tidak ada pihak lain yang boleh menjatuhkan hukuman ke atasnya. Amanah yang begitu tinggi harus dijaga dengan cekap, dan memang inilah prinsip pihak tentera yang berkali-kali dinyatakan oleh komandernya.
 
          Walaupun begitu, terdapat sesetengah pegawai tentera yang mungkin menganggap dirinya berada di atas segala undang-undang, maka berlakulah kes-kes penyalahgunaan kuasa yang serius, termasuk penahanan secara rambang tanpa bukti yang jelas, penyeksaan semasa suspek disoal siasat, pemeriksaan rumah semasa ketiadaan tuan punya rumah (dan kadang kala harta yang disimpan di dalam rumah juga hilang), penculikan dan seumpamanya. Jumlah kes demikian yang diadu kepada pihak Pusat Peguam Muslim amat membimbangkan. Penulis sendiri pernah mewawancara orang yang mengalami masalah yang disebabkan oleh penyalahgunaan kuasa pihak tentera. Namun pihak tentera pula tidak pernah mengaku adanya kes-kes demikian. Sejak pergolakan di Thailand Selatan bermula pada tahun 2004 sehingga kini, belum ada seorang pun pegawai tentera yang dijatuhkan hukuman atau dikenakan tindakan disiplin atas penyalahgunaan kuasa. Salah satu contoh penyalahgunaan kuasa yang paling ketara ialah Peristiwa Berdarah Tak Bai. Sekurang-kurangnya 78 orang terkorban (dan ramai lagi yang hilang), tetapi sehingga kini tidak ada pihak yang dipertanggungjawabkan atas peristiwa berdarah ini.
 
          Antara pegawai tentera ada juga yang bersikap angkuh terhadap penduduk. Baru-baru ini pegawai tentera mengugut penduduk tempatan di Kampung Duku, Daerah Bachok supaya mencabut batu nisan pejuang yang mati syahid, atas alasan ia akan menghasut orang lain. Walaupun pihak tentera berpegang kepada disiplin titah Raja Bhumibol ‘Memahami, Mendekati dan Membangun’, ada sesetengah pegawai yang gagal di peringkat awal.
 
          Jika pihak tentera mengaku salah atas penyalahgunaan kuasa yang selama ini dilakukan oleh sesetengah pegawai yang kurang bertanggungjawab, tentunya persepsi penduduk tempatan terhadap tentera pun akan menjadi lebih positif. Tetapi setakat ini apa yang dilakukan oleh pihak tentera adalah tidak ada kena-mengena dengan sentiment penduduk tempatan. Sebaliknya, tentera selalu melancarkan pelbagai program pembangunan termasuk dalam bidang pembinaan, perubatan, penternakan serta pertanian. Boleh dikatakan bahawa kesemua program yang diinisiatifkan oleh tentera hampir tidak berkesan. Hal ini tidak menghairankan kerana tentera ialah kumpulan manusia yang kepakarannya dalam bidang peperangan, bukan dalam bidang yang lain. Hati penduduk tempatan tidak boleh dimenangi oleh program yang tidak berkesan ini. Yang diperlukan ialah kefahaman, keikhlasan dan keterbukaan. Mereka perlu lebih menghormati sentiment orang tempatan.
         
          Banyak perkara juga boleh dilakukan oleh Parti B atau kumpulan-kumpulan pejuang. Pada peringkat awal, setiap pertubuhan hendaklah menyatakan pendirian masing-masing terhadap proses damai ini, sekurang-kurangnya sama ada sesebuah pertubuhan akan menyertai proses ini atau tidak. Apa salahnya mereka membuka laman sesawang supaya rakyat tempatan dapat mengetahui pendirian, dasar serta ideologynya masing-masing?
 
          Di samping itu, mereka juga diminta untuk membuka laluan bagi kemudahan rakyat tempatan supaya mereka dapat menyampaikan hasratnya secara rasmi. Dalam Forum Bicara Patani II yang berlangsung pada 23 Mac yang lalu, yang dihadiri oleh ribuan penduduk tempatan, jelaslah bahawa kebanyakan penduduk tempatan juga mempunyai ‘pendirian serta ideologi yang berlainan daripada negara (kerajaan)’. Ini bermakna orang yang menyertai siri perbincangan dengan pihak kerajaan di Kuala Lumpur bukan sahaja mewakili pertubuhan masing-masing, tetapi mereka juga mewakili hasrat kebanyakan penduduk tempatan. Tetapi masalah pada masa sekarang ialah penduduk tempatan tidak mempunyai sebarang saluran yang rasmi untuk menyampaikan pendirian serta hasratnya. Saluran boleh diadakan dalam berbagai-bagai bentuk, sama ada membuka laman media sosial seperti Facebook, membuka laman sesawang, mengadakan peti surat atau membuka pejabat tetap di Malaysia.
 
          Akhir sekali, penulis juga ingin menegaskan supaya pertubuhan-pertubuhan pejuang jangan menjadikan orang awam sebagai mangsa dalam perjuangan mereka. Sebaik-baiknya segala bentuk serangan dihentikan sepanjang tempoh perbincangan. Tetapi jika hal ini sukar dilakukan, hadkanlah sasaran serangan kepada pegawai yang bersenjata, kerana orang awam tidak mempunyai senjata untuk mempertahankan diri. Meraka juga tidak pernah melalui latihan ketenteraan. Serangan ke atas orang awam hanya akan memberi impak yang negatif kepada proses perdamaian.
         
          Dalam proses perdamaian yang sebenar, tidak mahu tidak mesti ada penyertaan masyarakat sivil atau madani. Oleh itu, masyarakat tempatan juga perlu diperkuatkan supaya menjadi masyarakat madani yang kukuh. Hendaklah lebih banyak perbincangan, forum serta kumpulan belajar diadakan supaya rakyat tempatan berpeluang untuk bertukar-tukar fikiran, mendapat maklumat dan menyatakan pendirian sendiri.
 
          Media massa perlu memainkan peranan masing-masing berdasarkan etika kewartawanan. Baru-baru ini ada beberapa pihak yang menyiarkan khabar angin atau maklumat yang tidak dinyatakan sumber sebagai berita. Perlu disedari oleh semua media tempatan, tertutamanya di Thailand, bahawa menyiarkan berita yang tidak autentik hanya merosakkan kredibilitinya sendiri.
 
          Media tempatan atau media alternative juga boleh memainkan peranan yang amat penting dalam menggerakkan masyarakat tempatan ke arah masyarakat madani. Oleh sebab keadaan masyarakat yang masih agak daif, ramai daripada penduduk di kawasan luar bandar tidak dapat mengakses kepada internet. Radio masih merupakan media yang paling mudah dicapai oleh penduduk tempatan. Rancangan yang bertujuan untuk menyebarkan maklumat yang sebenar dan pengetahuan tentang isu-isu semasa hendaklah diperbanyak. Dalam hal ini, para pelajar institusi pengajian tinggi boleh menjadi penggerak yang penting dengan menyampaikan pengetahuan serta maklumat yang tepat.
 
          Sebagai kesimpulan, walaupun ada pihak yang menuduh proses ini sebagai satu proses yang dimulakan untuk kepentingan politik, pada pandangan penulis tidak ada salahnya jika sesuatu proses yang diinisiatifkan berdasarkan kepentingan politik boleh memanfaatkan semua pihak. Walau bagaimanapun, semua pihak yang terlibat dalam proses ini, baik secara langsung mahupun secara tidak langsung, jangan memperalatkan proses ini bagi kepentingan diri semata-mata. Seyogia diingatkan bahawa meskipun motif kita dalam menyertai proses ini berlainan, tujuan kita ialah tetap sama, iaitu mengembalikan kesentosaan ke Bumi Patani, insya-Allah.