Dalam ruangan ‘Perspektif’ yang tersiar dalam Dewan Masyarakat keluaran Ogos 2013, Tuan Noor Azam telah menyatakan rasa kesalnya kerana beliau telah menyokong pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Beliau mempersoalkan kerelevanan tindakan tersebut yang pada tanggapannya bertentangan dengan arus perkembangan dunia sekarang yang bahasa Inggeris memainkan peranan yang semakin penting. Kekhuatiran beliau adalah jika sekiranya anak-anak sekolah tidak diajar mata pelajaran utama seperti sains dan matematik melalui bahasa Inggeris, akibatnya mereka tidak dapat mengikuti perkembangan terkini dalam bidang-bidang tersebut.
Sebenarnya polemik yang berkaitan dengan pro dan kontra PPSMI telah lama wujud, dan pendirian seperti beliau juga sudah banyak kali dikemukakan oleh pihak yang menyokong PPSMI.
Beliau mempersoalkan pandangan saya yang menyifatkan pemansuhan PPSMI sebagai langkah yang bijak untuk memajukan negara sejajar dengan bahasanya, dengan alasan bahawa pengutamaan bahasa Melayu hanya akan menjadi halangan dalam menguasai ilmu sains dan matematik yang berkembang pesat.
Secara praktikal, pandangan Tuan Noor Azam juga bukan tidak berasas. Tidak dapat dinafikan bahawa kini kebanyakan artikel yang berkaitan dengan sains dihasilkan dalam bahasa Inggeris, dan penguasan bahasa tersebut sudah menjadi satu kemestian de facto bagi ahli sains.
Walau bagaimanapun, anggapan bahawa untuk menguasai sains dan matematik dengan baik kita harus menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata-mata pelajaran tersebut adalah tidak berasas. Buktinya ialah negara-negara maju yang tidak berbahasa Inggeris.
Pertanyaan yang patut ditanya ialah sampai bilakah orang Malaysia, terutamanya orang Melayu, menuduh bahasa Melayu sebagai bahasa yang tidak cukup maju untuk memikul tugas dalam mengembangkan negara dalam bidang sains dan teknologi.
Saya mula belajar bahasa Melayu pada lebih kurang 20 tahun yang lalu, tetapi tuduhan yang tidak wajar ini terus-menerus diulangi oleh tuan punya bahasa sendiri, iaitu orang Malaysia, terutamanya orang Melayu.
Sebagai seorang tenaga pengajar bahasa Melayu, saya yakin bahasa bahasa Melayu bukan bahasa yang lemah. Dari segi bentuk, struktur serta kosa kata, bahasa Melayu sudah mencapai tahap yang setanding dengan bahasa-bahasa lain, sekurang-kurangnya dengan bahasa yang saya tahu, iaitu bahasa Jepun, bahasa Thai dan bahasa Inggeris.
Sebenarnya, yang lemah bukan bahasa Melayu itu sendiri, tetapi kemahiran sesetengah orang Malaysia, terutamanya orang Melayu dalam menggunakan bahasa tersebut. Seharusnya mereka mempersoalkan kelemahannya seidiri, tetapi anehnya, bahasa Melayulah yang selalu dikambinghitamkan oleh penyokong-penyokong PPSMI atau bahasa Inggeris.
Sikap yang rela menyempitkan penggunaan bahasa Melayu di negara asalnya sendiri mempunyai impak yang sangat negatif dalam beberapa aspek.
Yang pertama adalah dari segi budaya bahasa di Malaysia. Walaupun bahasa Inggeris dijadikan bahasa rasmi atau bahasa pengantar, kualiti bahasa Inggeris di Malaysia tidak akan setanding dengan negara-negara bahasa Melayu induk. Sebaliknya, Malaysia merupakan salah satu negara yang paling layak untuk menjadi pusat penggunaan bahasa Melayu yang berkualiti, sama seperti negara Thai merupakan tempat yang terbaik untuk bahasa Thai, dan Jepun merupakan tanah yang paling subur bagi bahasa Jepun. Kenapakah bahasa yang paling sesuai di negara ini perlu diketepikan?
Kedua, bidang penggunaan yang semakin sempit dan sikap orang Malaysia (sekali lagi, terutamanya orang Melayu) yang dingin terhadap bahasa Melayu menjejaskan penyebaran bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Bagaimanakah kita boleh promosikan bahasa Melayu jika bahasa ini tidak diutamakan di negaranya sendiri?
Memandangkan bahawa Komuniti Ekonomi ASEAN (atau ASEAN Economic Community, EAC) akan menjadi kenyataan pada akhir tahun 2015, jumlah orang yang ingin belajar bahasa Melayu di Thailand semakin hari semakin banyak. Tetapi bahasa yang dipilih selalunya bahasa Indonesia, bukan bahasa Melayu di Malaysia, kerana Indonesia sentiasa mengutamakan bahasa kebangsaannya, dan menjalankan promosi bahasa tersebut sebagai teras budaya negara. Peluang keemasan untuk menyebarkan bahasa Melayu di rantau ASEAN sudah lama tiba, tetapi tindakan yang praktikal untuk menyebarkan bahasa Melayu pula jarang sekali diambil.
Ketiga, sikap yang dingin terhadap bahasa Melayu juga boleh menjejaskan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu semula yang sedang dilakukan di Thailand, khususnya di Patani.
Seyogia diingatkan bahawa Bahagian Selatan Thailand pernah merupakan kawasan bahasa Melayu yang besar. Lihat sahaja nama-nama wilayah yang diambil daripada bahasa Melayu, Phuket daripada perkataan ‘bukit’, Phangga daripada ‘bunga’, Trang daripada ‘terang’, sebagai contoh.
Walaupun begitu, kawasan bahasa Melayu di Thailand semakin hari semkain mengecil, dan bahasa Melayu sudah pun pupus di banyak tempat.
Saya berpeluang untuk berjumpa dengan Ustaz Ahmad Fathy al-Fatani, sejarahwan yang pernah menghasilkan buku ‘Ulama Besar dari Patani’ dan karangan-karangan lain yang berkaitan dengan sejarah Melayu Patani. Beliau mengenalkan sebuah kisah tentang seorang Paderi Belanda yang datang ke Singgora, sebuah bandar pelabuhan yang kini di bawah Wilayah Songkhla, untuk belajar bahasa Melayu pada awal abad ke-18. Paderi tersebut mahu belajar bahasa Melayu kerana beliau mahu menterjemahkan kitab Injil ke dalam bahasa Melayu. Beliau juga memilih Singgora sebagai tempat pelajarannya kerana, menurut catatan paderi tersebut, ‘tuturan bahasa Melayunya bagus’. Ini merupakan satu bukti yang jelas bahawa bandar pelabuhan tersebut juga merupakan satu pusat pengajian bahasa Melayu yang bermutu tinggi. Kini di bandar tersebut serta kawasan-kawasan yang berhampiran dengannya (termasuk bandar Hat Yai), masih terdapat ramai penduduk yang beragama Islam, tetapi mereka tidak lagi bertutur bahasa Melayu. Mereka juga tidak menganggap dirinya sebagai orang Melayu, tetapi berjatidirikan dirinya sebagai ‘Thai muslim’. Kini tinggal beberapa daerah sahaja yang masih ada penduduk yang bertutur bahasa Melayu.
Seorang ustaz dari Kedah juga pernah menceritakan kepada saya bahawa pada masa dahulu saudara-maranya di Ligor (kini Wilayah Nakhorn Sri Thanmarat, lebih kurang 300 kilometer dari Hat Yai) masih bertutur bahasa Melayu dialek Ligor yang mirip dengan dialek dialek Kedah. Oleh yang demikian, pada ketika itu, ketika menziarahi mereka beliau masih boleh berkomunikasi dengan mereka melalui bahasa Melayu. Kini, menurut beliau, sudah tiada lagi saudara-maranya di sana yang boleh bertutur bahasa Melayu.
Pengalaman ustaz tersebut sejajar dengan perhatian saya. Pada 15 tahun yang lalu, di Universiti Prince of Songkla masih ada beberapa orang Pelajar Ligor yang boleh berbahasa Melayu, tetapi baru-baru ini jarang sekali ada pelajar dari wilayah yang sama yang berbahasa Melayu.
Di Wilayah Satun (atau Setul) pula, pada 100 tahun yang lalu semua kampung menggunakan bahasa Melayu. Kini, gara-gara proses asimilasi yang amat agresif yang diambil oleh kerajaan Thai, hampir semua kampung di wilayah berkenaan beralih kepada bahasa Thai, kecuali beberapa kampung yang bersempadan dengan Malaysia. Menurut satu kajian, bilangan kamung yang masih ada penutur bahasa Melayu ialah hanya 13 sahaja!
Di Patani (yang merangkumi beberapa wilayah paling selatan di Thailand) juga jumlah penutur bahasa Melayu semakin berkurangan, terutamanya di kawasan bandar. Terdapat sejumlah ibu bapa Melayu yang enggan mewariskan bahasanya sendiri kepada anaknya.
Tetapi setelah pergolakan di kawasan ini bermula pada 10 tahun yang lalu, keadaannya mula berubah secara beransur-ansur. Pihak kerajaan juga menyedari kepentingan bahasa Melayu sebagai salah satu faktor yang penting dalam penyelesaian konflik ini.
Di bawah keadaan yang serba kekurangan, kini sudah ada usaha untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu di Patani. Terbitan berkala dalam bahasa Melayu bertulisan jawi sudah mula dihasilkan, dan media elektroni, terutamanya radio bahasa Melayu, mencatat perkembangan yang amat menggalakkan.
Namun demikian, oleh sebab Bumi Patani masih di bawah pemerintahan Thailand yang menjalankan dasar asimilasi yang berteraskan ultra-nasionalism, perkembangan bahasa Melayu juga masih terbantut.
Ratusan ribu anak Melayu Patani juga berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan (kebanyakannya di restoran-restoran makanan Thai), dan melihat dengan matanya sendiri betapa bahasa Melayu diketepikan di Malaysia. Keadaan sedemikian tidak akan membantu untuk mengukuhkan bahasa Melayu di Bumi Patani.
Sesungguhnya kawasan berbahasa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu semakin mengecil, dan di Thailand, kawasan yang masih berbahasa Melayu hanya tinggal di Patani sahaja.
Kini bidang penggunaan bahasa Melayu di Malaysia pula dijamin semula oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Dato' Haji Muhyidin bin Haji Mohammad Yassin. Tetapi ada juga orang yang mempersoalkan tindakan beliau dengan menyalahkan kemampuan bahasa Melayu. Sikap sedemikian amat dikesali dan mengecewakan.
Tuan Noor Azam tidak perlu berkecil hati kerana terpaksa menyesal dengan tindakan pemansuhan PPSMI. Saya sudah hampir 20 tahun menyesal dengan sikap orang Malaysia, terutamanya orang Melayu terhadap bahasanya sendiri yang begitu dingin.