1.
Hari ini diadakan satu perbincangan tidak rasmi antara aktivis masyarakat Patani. Tajuk perbincangan pokok ialah hak asasi manusia, dengan memberikan perhatian khusus kepada kes Anwar Ismail, atau dikenali sebagai Anwar Bunga Raya, seorang aktivis komunikasi masa tempatan yang dipenjarakan atas tuduhan bahawa beliau adalah anggota ‘sebuah pertubuhan’.
Kerabat Tohmeena, atau keturunan Tuan Guru Haji Sulong Abdul Kadir, sudi mengizinkan kami menggukan rumah tuan guru kesayangan orang Patani tersebut. Malah, Tuan Zainal Abidin Haji Sulong atau Den Tohmeena, selaku amir keturunan Haji Sulong, sudi meluangkan masa untuk memberikan ucapan pembukaan. Beliau mengikuti perbincangan tersebut dari awal sampai berakhir. Dalam ucapan penutupan, beliau juga menyatakan kedudukannya sekarang sebagai seorang calon PhD dalam usianya 80 tahun! Bidang yang dipelajarinya ialah pengajian perdamaian di Universiti Sains Malaysia. Tujuan pembelajarannya ialah semata-mata ingin menyumbang bakti dalam proses damai. Semoga hasratnya dikabulkan oleh-Nya.
Dalam perbincangan ini, pelbagai ‘hakikat’ serta ‘isi hati’ diluahkan oleh semua yang hadir. Menurut penjelasan oleh Saudari Pornpen Khongkachonkiet, aktivis hak asasi manusia (HAM) yang terkenal, kes Anwar sudah mendapat perhatian daripada pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan sebuah komite sudah pun mengeluarkan petisi/rayuan kepada pemerintah Thai. Sama ada dokumen ini boleh dimanfaatkan sebagai ‘senjata’ dalam perjuangan menegakkan keadilan atau tidak perlu ditimbangkan.
Dalam meluahkan perasaan, semua yang hadir dalam perbincangan ini menyaksikan air mata Saudari Romlah, isteri kepada Anwar, yang terpaksa menanggung penderitaan. Air mata ini amat bermakna, bukan sebagai tanda kelemahan, tetapi sebagai sesuatu yang membersihkan semangat untuk meneruskan perjuangan. Walaupun berada dalam seribu satu macam kesusahan dan kepayahan, Romlah masih bersimpati kepada orang-orang yang senasib dengannya. Menurutnya, keadaan mereka jauh lebih berat, kerana tiada orang yang menyuarakan bagi pihaknya atau memberikan sokongan. Anwar merupakan seorang aktivis yang terkenal, yang mengenali ramai wartawan dan aktivis. Dengan itu, kesnya juga menjadi terkenal. Tetapi kita juga tidak seharusnya merupakan mereka yang menanggung penderitaan tetapi terpaksa mendiamkan diri. Tujuan perjuangan kita bukan sekadar pembebasan seorang tahanan politik yang bernama Anwar, tetapi pembebasan semua tahanan politik yang senasib dengannya.
2.
Saya sudah bermastautin di Patani selama 15 tahun, dan ini kali pertama saya berpeluang untuk memasuki rumah yang pernah didiami oleh Tuan Guru Haji Sulong. Binaan yang amat sederhana, tetapi cukup indah dan selesa, serta mempunyai suasana yang menyambut setiap tetamu dengan mesra itu amat memikat hati. Barang-barang yang digunakan oleh beliau juga masih disimpan dengan baik. Walaupun jasadnya sudah ghaib, tetapi kehadirannya masih boleh dirasai. ‘Balasah’ atau surau juga masih dikekalkan.
Setelah selesai semua acara, saya pun menunggang motosikal untuk pulang ke rumah. Ketika saya keluar dari lorong rumah Haji Sulong itu, saya dipanggil oleh seorang lelaki yang saya tidak kenal. Beliau bertanya sama ada saya boleh menghantarkannya ke rumahnya di Cabang Tiga atau tidak. Walaupun jalan ke rumah saya tidak melalui Cabang Tiga, tempat itu tidak jauh dari rumah tuan guru, lalu saya pun mengiakan permintaannya. Dia mula bercakap sambil membonceng, tetapi percakapannya sangat kurang jelas. Beliau juga ada menyebut beberapa kali istilah ‘pusat pemuliahan’. Pusat pemulihan di Patani hanya ada satu, iaitu Pusat Pemulian Penagih Dadah. Kemungkinan beliau pernah berada di sana. Setelah sampai di Cabang Tiga, beliau juga menunjukkan jalan ke rumahnya. Saya memasuki sebuah lorong, dan belok beberapa kali sebelum sampai ke tempat yang dikehendakinya.
Sebelum sampai ke tempat berkenaan, beliau juga bertanya sama ada saya boleh mensedekahkan 10 Baht (kira-kira RM 1) untuk membeli kopi. Kebetulan saya diberikan minuman yang lebih setelah perbincangan tadi selesai, iaitu kopi ais dan teh ais. Saya langsung menghadiahkan minuman tersebut kepada beliau.
Setelah turun dari boncengannya, beliau mengucapkan terimak kasih dan mengutarakan doa “rabbana atina fid dunya hasanah…”, lalu menghilangkan diri ke dalam sebuah lorong yang kecil.
Dalam perjalanan pulang ke rumah, saya bersinggah di Masjid Raja, Cabang Tiga, salah satu masjid yang tertua di Kota Pattani, yang kemungkinan pernah berkali-kali diziarahi oleh tuan guru kesayangan kita. Setelah mendirikan solat, saya baru sedar bahawa Yang Maha Esa menemukan saya dengan lelaki itu sebagai satu peluang untuk melakukan kebaikan. Saya bukan sahaja dapat menghantarnya ke rumah, dapat juga memberikan sedekah dalam bentuk yang beliau menghendaki. Ini mungkin satu amaran daripada-Nya juga saya masih kurang melakukan kebaikan menurut kemampuan saya.
Dalam hati, saya bersyukur kepada-Nya dan berterima kasih kepada lelaki berkenaan. Ini satu peristiwa yang berlaku dalam perjalanan pulang dari rumah tuan guru orang Patani.