Tragedi Thung Yang Daeng boleh jejaskan proses damai
Sekali lagi seminggu yang lalu Patani dikejutkan dengan tragedi berdarah. Kali ini getaran hebat terasa jauh ke setiap pelusuk dunia betapa perilaku ganas di luar batas kemanusiaan masih lagi berlaku di sana oleh tangan-tangan mereka yg bergelar "pembela keamanan rakyat", yakni pasukan keselamatan Thai.
Tidak perlu diulas kembali apa yang berlaku di Kampung Tok Chud, Daerah Kuwing Merah (Thung Yang Daeng), Wilayah Pattani pada petang 25 Mac 2015 apabila serangan membabi buta oleh pihak keselamatan Thai terhadap penduduk kampung yang mengakibatkan 4 orang remaja, dua darinya adalah pelajar universiti, menjadi korban keganasan tajaan kerajaan (state-sponsored terrorism).
Tidak perlu juga dibuat kenyataan bantahan terhadap tragedi itu kerana ramai pihak, besar dan kecil, sudah pun melakukannya. Seperti juga kezaliman pihak penjajah yang pernah berlaku ke atas rakyat sebelum ini, ia hampir pasti tidak akan membawa apa-apa impak yang bermakna pada kesudahannya melainkan bayaran sejumlah wang dan kes itu ditutup begitu sahaja. Itu yang sering berlaku dan tidak mustahil ia akan berterusan, lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang di bawah rejim tentera yang berkuasa penuh mengatasi segala-galanya.
Yang akan kita persoalkan di sini ialah apakah kesan tragedi ini kepada proses damai yang diwarwarkan akan bermula sedikit masa lagi ? Apakah pihak junta benar-benar ikhlas mahu teruskan proses damai sedangkan dalam masa yang sama melalui apa yang dinamakan sebagai "Thung Yang Daeng Model" senjata api dalam jumlah yang banyak telah diagihkan kepada pihak tertentu atas alasan menjaga keselamatan? Apakah mereka benar-benar jujur untuk mencari damai bila mereka secara bersungguh-sunguh membuat operasi menghapuskan beberapa individu tidak bersenjata (extrajudicial killing atau pembunuhan di luar proses hukum) yang memilih untuk berjuang secara politik aman tanpa kekerasan ?
Selepas beberapa bulan rampasan kuasa pihak junta telah menghantar beberapa isyarat positif bawaha ia serius dengan penerusan proses damai dan komited dengannya. Perdana Menteri Prayuth sediri mengepalai satu jawatankuasa pemandu (steering committee) bagi meyelia proses damai. General Aksara juga dilantik sebagai ketua pasukan perunding Thai. Mereka juga bersetuju mengekalkan Malaysia sebagai fasilitator dan ingin melihat pihak pejuang dari pelbagai kelompok datang dengan suara yang satu dan tuntutan yang disepakati, bukan lagi secara berasingan.
Hakikat bahawa di pihak pejuang sedang berusaha untuk mewujudkan satu barisan perundingan secara sepakat bukanlah untuk memenuhi tuntutan junta Thai tetapi atas kesedaran bahawa kekuatan suara dalam diplomasi rundingan adalah dengan kesatuan pemikiran dan tindakan, walaupun dari pelbagai kelompok.
Rupa-rupanya beberapa isyarat positif yang dihantar oleh junta berhubung dengan proses damai itu kelihatan palsu dan sudah hampir memperlihatkan niat sebenar mereka dalam menangani konflik di Selatan. Kejujuran mereka diragui. Tindakan mereka juga tidak dilihat seperti orang yang mahu mencari penyelesaian secara damai.
Sepanjang beberapa tahun kebelakang api penentangan terhadap penjajahan kekal bersemarak. Sebahagian oleh semangat juang dan kekentalan dari kalangan pejuang sendiri dan sebahgian lain adalah disebabkan "curahan minyak" dari perbuatan pihak keselamatan Thai sendiri yang melakukan pelbagai kezaliman terhadap rakyat. Dengan sindirinya nyalaan api ini akan berterusan sehingga akhirnya kesemarakannya tidak boleh dibendung lagi.
Terkini dalam kalangan pihak pejuang Patani sendiri dari pelbagai kumpulan sudah mula satu perbincangan dalaman terhadap satu persoalan: adakah berbaloi memulakan proses damai dengan pihak tentera dalam keadaan dimana mereka menghulurkan sebelah tangan untuk bersalaman dan berdamai sedangkan tangan satu lagi terus-menerus mengacu senjata ke arah rakyat yang tidak bersenjata dan tidak berdosa ?
Jangan salahkan pihak pejuang jika mereka memilih untuk tidak menghulurkan tangan untuk perdamaian, tetapi salahkanlah pihak junta yang bukan sahaja berlaku tidak jujur tetapi niat mereka juga menzahirkan sikap khianat mereka yang sebenar.
Abu Hafez Al-Hakim, dari luar pagar Patani
11 Jamadil Aakhir 1436/ 1 April 2015.