TUNTUTAN AWAL 5 PERKARA (Bahgian 1)

Abu Hafez Al-Hakim's picture

  

TUNTUTAN AWAL 5 PERKARA (Bahgian 1)
 
Seperti diketahui umum, kini Proses Damai Patani telah tertangguh buat sementara. Sejak bermula 6 bulan lepas, inilah kali pertama proses ini menemui halangan. Setelah Initiatif Ramadhan tidak membuahkan hasil yang diharapkan, kini pihak pejuang kembali merujuk kepada Tuntutan Awal 5 perkara yang dikemukan pada sidang mesyuarat ke-3 bertarikh  29 April 2013. Dalam pertemuan itu pihak pejuang telah memperincikan butiran 5 perkara itu disusuli dengan penyerahan dokumen rasmi kepada pihak Thai. Wakil Thai bertanggungjawab untuk kembali berbincang dengan kerajaan mereka dan memberi  jawapan pada  jangka masa yang munasabah.
 
Meskipun 4 bulan sudah berlalu, masih belum ada jawapan daripada pihak Thai. Sebaliknya mereka pula mahu penerangan yang lebih jelas. Dalam keadaan proses yang kini "tergantung",  kesemua komunikasi hanyalah melalui pihak fasilitator. Tiada perjumpaan secara langsung di meja rundingan.
 
Apakah tuntutan awal 5 perkara ini terlalu penting sehingga ianya diulang beberapa kali dalam pengisytiharan BRN dan memerlukan dokongan Majlis Syura BRN dengan pengisytiharan oleh Angkatan Bersenjata melalui Youtube bahawa "peroses perbicaraan tidak akan berlangsung sehingga mendapat jawapan kepada perkara tersebut ?”
 
Pada pandangan kami, jika diteliti secara halus dan jujur, kesemua Tuntutan Awal 5 perkara itu bukanlah TUNTUTAN  SEBENAR seperti mana lazimnya sesuatu tuntutan yang dikemukakan dalam mana-mana rundingan. Perlu diingat bahawa proses ini sekarang masih berada di tahap DIALOG bukannya RUNDINGAN. Jadi tidak berbangkit soal pihak pejuang membuat  tuntutan secara "premature" seperti tanggapan pihak tertentu.
 
Hakikatnya Tuntutan Awal 5 perkara itu lebih merupakan JAMINAN KEIHKLASAN yang diminta oleh pihak pejuang daripada pihak kerajaan Thai. Kami menyertai proses damai ini adalah untuk mencari penyelesaian politik yang  ADIL, BERKEKALAN dan MEYELURUH bagi konflik Patani, manakala pihak kerajaan Thai pula dilihat hanya berminat untuk mengurangkan atau menghentikan keganasan sahaja. Maka sudah sepatutnyalah pihak Thai MENGUBAH SIKAP, menzahirkan NIAT dan KEIKHLASAN mereka dengan memberi respon positif kepada jaminan keikhlasan yang diminta melalui 5 perkara  itu.
 
Mari kita perhalusi satu persatu apa yang TERSURAT dan apa yang TERSIRAT di sebalik Tuntutan Awal 5 perkara itu supaya kita akan lebih mengerti sedalam-dalamnya tanpa sebarang prejudis.
 
1. Rundingan ini adalah di antara pejuang Patani yang dipimpin oleh BRN dengan kerajaan Thai.
 
Apa yang diminta di sini ialah pengesahan bahawa kesemua kumpulan perjuangan Patani, dengan BRN sebagai faksi dominan, adalah wakil yang sah sebagai pembela hak dan kepentingan Bangsa Melayu Patani yang mendokong misi dan aspirasi rakyat dalam menuntut hak-hak mereka. Tuntutan ini lebih dilihat sebagai satu PERAKUAN HAK PERWAKILAN (Recognition of Legitimate Representative). Dari segi pelaksanaannya boleh difahamkan bahawa perakuan ini sudah pun  berlaku secara otomatis dengan termeterainya "Persetujuan Umum berkenaan Dialog Proses Damai " pada 28 Feb 2013. Pihak pejuang atau disebut sebagai  “mereka yang mempunyai pandangan dan ideologi berbeza daripada kerajaan" (dirujuk sebagai parti B) sudah berada pada status yang diperakui itu. Ia bererti bahawa selepas ini pihak Thai hendaklah "berurusan" dengan  barisan pejuang yang  diperakui sahaja untuk mengelak penglibatan dari kalangan mereka yang oportunistik atau perosak (spoiler). Mana-mana kumpulan lain yang fikirkan mereka juga adalah "pihak berkepentingan"( Stake-holder), seharusnya membuat permohonan secara rasmi kepada sekretariat Fasilitator( Malaysia) supaya ia dapat dipertimbangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak (Wakil pejuang dan Wakil Thai). Ia juga membawa maksud bahawa pihak Thai juga tidak seharusnya membuka "saluran perbincangan" yang lain seiringan dengan proses dialog yang sedang berlangsung, seperti yang pernah dibuat sedikit masa lalu, agar proses ini tidak terjejas.
 
2. BRN bersetuju melantik Kerajaan Malaysia sebagai Mediator yang terlibat secara langsung dalam rundingan ini.
 
Setakat ini status perbincangan hanya berupa DIALOG antara DUA pihak (Thai dan Pejuang) dan ia memadai untuk usaha membina keyakinan (confidence building) antara kedua-duanya . Penglibatan kerajaan Malaysia setakat ini hanyalah peranan fasilitator yang PASIF, selaku tuan rumah dan lebih bersifat sebagai seorang penyampai surat (postman). Apabila proses ini maju ke peringkat RUNDINGAN nanti, peranan sebagai "posmen" tidak sesuai lagi. Penglibatan Malaysia secara aktif dan langsung sudah tidak dapat dielakkan, memandangkan di peringkat itu nanti beberapa isu besar dan rumit akan diketengahkan oleh kedua belah pihak. Jika berlaku sebarang "gangguan" atau "halangan" yang mungkin menjejaskan proses, maka pihak mediator akan main peranan AKTIF untuk  meleraikan beberapa kekusutan yang mungkin timbul. Pada peringkat itu nanti proses damai akan melibatkan TIGA pihak (Three Parties)
 
3. Proses rundingan hendaklah disaksikan oleh wakil-wakil dari negara Asean, OIC dan NGO yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.
 
Tuntutan ini adalah suatu perkara lumrah dalam mana-mana rundingan antara dua pihak yang bertelagah, bukan sahaja memerlukan peranan mediator yang baik dan dipercayai, tetapi juga  para pemerhati asing yang berkecuali, yang mendokong perinsip hak asasi manusia serta cinta kepada kedaimaian dan keamanan. Ini adalah supaya apa sahaja yang dibangkitkan dalam rundingan dan diputuskan nanti akan dipatuhi, dihormati dan disaksikan oleh semua pihak. Kebimbangan pihak Thai yang  terus mahu mengekalkan isu konflik Patani sebagai isu dalaman (domestic) pada tahap ini sudah tidak lagi relevan. Mengantarabangsakan  (internationalisation) Proses Damai Patani akan lebih memudahkan proses ini maju ke hadapan, menjadikannya telus, berjalan dengan lancar, dan hasilnya nanti akan didokong oleh SEMUA pihak yang terlibat.
 
4. Kerajaan Thai mesti mengakui wujudnya HAK PERTUANAN BANGSA MELAYU PATANI atas bumi Patani.
 
Antara kesemua 5  Tuntutan Awal, perkara ke 4 inilah yang menjadi topik hangat perbincangan sebagai persoalan pokok (core issue). Oleh sebab ianya AMAT PENTING dan memerlukan penghuraian yang sangat panjang dan terperinci serta melibatkan sejarah dan perundangan, saya mohon untuk memperjelaskannya dalam artikel berasingan (Bahgian ke-2) yang akan menyusul kemudian.
 
5. Pihak BRN menuntut supaya Kerajaan Thai membebaskan semua tahanan atas kes politik dan menghapuskan semua waran tangkap keatas pejuang Patani tanpa syarat.
 
Satu daripada masalah terbesar yang tidak dapat diatasi (atau sengaja tidak mahu diatasi) oleh kerajaan Thai ialah masalah KEADILAN. Bersandarkan TIGA undang-undang  (Undang-undang Darurat, Dikri Darurat serta Akta Keselamatan Dalam) yang menghakis Hak Asasi Manusia dan  membataskan kebebasan rakyat, pihak berkuasa Thai telah membuat banyak tangkapan atas orang Melayu Patani hanya berdasarkan aduan, syak atau tangkap muat secara sembrono, dengan alasan mereka itu terlibat dengan keganansan, atau perjuangan atau sebarang serangan TANPA BUKTI KUKUH. Siapa sahaja yang bersuara lantang atau mengkritik kerajaan akan dicap sebagai "penentang" atau  pemberontak. Tuntutan ini tidaklah keterlaluan kerana sebahgian besar tahanan adalah atas kes politik. Jika dokumen "Persetujuan Umum berkenaan Dialog Proses Damai" bertarikh 28 Feb 2013 telah memberi pengiktirafan kepada pihak pejuang sebagai "mereka yang mempunyai pandangan dan ideologi berbeza daripada kerajaan", maka tahanan politik tersebut juga termasuk dalam kategori yang sama dan mereka wajar dibebaskan atau diberi pengampunan (amnesty) tanpa syarat. Begitu juga dengan semua waran tangkap yang dikeluarkan untuk tujuan yang sama, perlu dihapuskan semuanya.
 
Seperti yang dijelaskan pada mulalnya, Tuntutan Awal 5 perkara ini lebih merupakan  JAMINAN KEIKHLASAN yang  diminta oleh pihak pejuang sebagai asas atau landasan untuk perbincangan di peringkat seterusnya. Jika asas  perbincangan ini tidak diletakkan pada landasan yang kukuh dan betul, adalah dikhuatiri  Proses Damai Patani yang panjang dan berliku ini tidak akan membuahkan hasil yang memuaskan SEMUA pihak. Jika ini terjadi amat malang sekali bagi Rakyat di Patani dari semua bangsa dan keturunan akan terus berada di dalam konflik politik yang tidak berkesudahan, dengan kehilangan harta benda dan nyawa.
 
Kehidupan menjadi porak peranda dengan seribu satu macam masalah politik dan sosial yang mencengkam.
 
** Terkini: Difahamkan pada  2 September 2013 pihak Thai sudah memberi respon terhadap 5 perkara di atas kepada BRN melalui fasilitator, membayangkan kerajaan Thai "bersedia" untuk  menerima tuntutan itu kecuali yang ke 4 ( berkaitan HAK PERTUANAN ) yang masih memerlukan penjelasan lanjut daripada BRN. Huraian terperinci akan dikemukakan oleh BRN, juga melalui fasilitator, kepada pihak Thai tidak lama lagi. Adalah dijangkakan kemelut  Tuntutan Awal 5 perkara  ini akan dapat dirungkai sebelum akhir bulan September 2013, dan selepas itu  mesyuarat secara rasmi akan disambung semula setelah tarikhnya ditetapkan. Sama-samalah kita tunggu.
 
Cuka dan Madu - dari Luar Pagar Patani
Zul Qaedah/September 2013.
Malay