BICARA DAMAI di persimpangan jalan

Abu Hafez Al-Hakim's picture

 BICARA DAMAI  di persimpangan jalan

Abu Hafez Al-Hakim
 
Kali terakhir berlaku mesyuarat  Proses Bicara Damai KL ialah pada 13 Jun 2013.  Percubaan Inisiatif Ramadan yang bertujuan  mengurangkan operasi dari kedua-dua belah pihak ternyata gagal. Penyebaran klip video ke-5 BRN pada 6 Ogos 2013 yang mengisytiharkan  pendirian Majlis Syura BRN mengenai  Proses Bicara Damai oleh anggota Angkatan Bersenjata BRN telah menguatkan lagi andaian sesetengah pihak bahawa proses tersebut sedang menuju ke jalan buntu. Ada pula desas desus mengatakan bahawa Ketua Deligasi BRN, Ustaz Hassan Toyib, akan digugurkan dan digantikan  dengan orang lain. Malah ada juga berpandangan bahawa pihak BRN sendiri sedang mencari jalan keluar daripada proses ini atas alasan bahawa sebilangan besar pimpinannya tidak bersetuju dengan pengendalian dan halatuju  proses tersebut.
 
Pada penghujung bulan Ogos 2013 pihak Thai telah meminta perjelasan lanjut terhadap Tuntutan Awal  5 Perkara daripada pihak BRN melalui fasilitator. Hasilnya adalah sebuah dokumen 24 muka surat (atau dalam bentuk Power Point sebanyak 38 muka) daripada BRN, memperincikan satu persatu kesemua tuntutan awal tersebut. Walaupun pihak Thai mengambil masa yang agak lama untuk meneliti , membahas dan menyetujui akan isi kandungannya di kalangan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan, akhirnya jawapan yang ditunggu itu tiba di Kuala Lumpur.
 
Difahamkan surat jawapan Ketua Deligasi Thai, Lt. General Paradorn kepada pihak Fasilitator bertarikh 25 Oktober 2013 menegaskan bahawa Tuntutan Awal 5 perkara itu diterima untuk perbincangan selanjutnya. Selain itu pihak Thai juga telah menambahkan 2 perkara berhubung dengan proses ini iaitu pertama mencadangkan kedua-dua pihak bekerjasama menghilangkan keraguan dan pergeseran demi mengurangkan keganasan, dan kedua bekerjasama dalam bidang pembangunan dengan pembahagian perolehan pendapatan yang saksama di kalangan penduduk berbilang kaum dan agama.
 
Pada penghujung bulan Oktober 2013 isi kandungan surat itu telah disampaikan kepada Ketua Deligasi BRN oleh pihak Fasilitator yang sangat mengharapkan supaya jawapan "positif" tersebut boleh membuka jalan untuk proses damai yang sudah beberapa bulan tertangguh, bergerak semula.
 
Setelah dibawa kepada pimpinan BRN dan juga pihak di medan serta  dibincang dan diperhalusi ternyata bahawa jawapan sedemikian rupa masih tidak memuaskan hati para pejuang. Dalam perenggan pertama jawapan pihak Thai itu disebut "the five issues are acceptable for further discussion" (lima isu berkenaan diterima untuk perbincangan lanjut). Ini membawa erti setelah dibincangkan oleh kedua pihak di dalam mesyuarat rasmi nanti, 5 isu itu boleh diterima atau ditolak.
 
 Dalam  Mukaddimah Tuntutan 5 perkara BRN disebut "A request for the government of Thailand to agree, in principle, to the five demands.." ( memohon Kerajaan Thai bersetuju secara perinsip terhadap 5 tuntutan...). Pihak pejuang berpendapat  Kerajaan Thailand haruslah bersetuju menerima dahulu, secara perinsip, terhadap kesemua tuntutan itu. Selepas itu perbincangan secara terperinci atas setiap perkara yang sudah diterima itu akan diadakan seterusnya, tanpa tertolak mana-mana perkara dari  5 tuntutan itu.
 
 Persetujuan Kerajaan Thai untuk menerima, secara perinsip, terhadap tuntutan 5 perkara itu hendaklah dibawa ke parlimen Thai terlebih dahulu untuk diterima sebagai agenda negara, sebelum perbincangan lanjut secara terperinci boleh diteruskan. Ini bertujuan supaya segala apa yang dipersetujui dalam perbincangan lanjut nanti  tidak  akan ditolak oleh parlimen Thai kemudian hari. Oleh itu pengesahan atau perakuan daripada parlimen Thai bahawa 5 perkara itu diterima dan dijadikan agenda negara adalah penting.
 
Untuk menzahirkan pendirian ini sekali lagi pihak BRN membuat penjelasan dan penegasan melalui Youtube pada malam 1 Disember 2013 yang kini sudah tersebar dan diketahui umum, bahawa mereka kembali berpegang teguh dengan keputusan Majlis Syura BRN seperti yang diumumkan melalui Youtube pada 6 Ogos 2013. Apa yang menarik dengan pengisytiharan oleh Ustaz Hassan Toyib sendiri pada 1 Disember itu ialah beliau merujuk diri beliau sendiri sebagai mantan deligasi BRN. Setelah khabar angin kencang bertiup beberapa bulan lalu bahawa Ketua deligasi BRN akan bertukar, adakah kini ia menjadi kenyataan? Adakah ini pentanda bahawa BRN akan menarik diri dari proses damai ?
 
Apa pun yang berlaku di sebalik tabir perkembangan menarik ini adalah semata-mata hal dalaman BRN yang sudah semestinya diselesaikan dengan penuh hikmat oleh BRN sendiri. Kumpulan perjuangan lain (PULO dan BIPP) yang turut sama mendokong proses ini bersama BRN, sebagai faksi dominan, akan tetap akur dengan perubahan itu jika ia benar berlaku.
 
Setakat ini, walau apa pun tanggapan orang, proses damai hanya terhenti seketika tetapi masih wujud. Dalam keadaan apa sekali pun pihak BRN harus memberi jawapan secara rasmi tentang pendirian mereka kepada pihak Thai melalui fasilitator. Ini telah disepakati dari awal lagi bahawa kesemua pandangan dan cadangan dari kedua belah pihak hanya akan diterima pakai apabila ia disalurkan secara rasmi dalam mesyuarat atau melalui fasilitator sahaja. Sebarang kenyataan melalui media massa, jauh sekali media sosial, tidak akan diambil kira sebagai kenyataan rasmi.
 
Itu di pihak BRN dan pejuang. Di pihak Thai pula cabaran yang mereka hadapi amatlah getir. Setelah berhempas pulas beberapa bulan dengan asakan dari pihak pembangkang yang mempersoalkan kredibiliti kerajaan "bayangan" Thaksin, akhirnya Perdana Menteri Yingluck Shinawatra terpaksa akur dan membubarkan parlimen pada 9 Disember 2013. Ini bertujuan menyerah kembali kuasa kepada rakyat Thai menyatakan hasrat mereka dalam pilihanraya umum baru yang dijadualkan pada 2 Febuari 2014, kurang dua bulan dari sekarang.
 
Dalam konteks proses damai, perkembangan terkini di Bangkok menimbulkan banyak persoalan pula. Apakah nasib proses ini pada masa akan datang? Dengan tertumbangnya kerajaan pimpinan Yingluck yang mempelopori proses damai, adakah akan menjejaskan proses tersebut? Berapa lama lagikah masa tertangguh akan berterusan sehingga sebuah kerajaan baru dibentuk selepas pilihanraya umum nanti dan suasana di Bangkok kembali stabil? Apakah jika berlaku perubahan kerajaan nanti kepada parti  yang lain selain dari Parti Phuethai pimpinan Yingluck, proses damai akan diteruskan? Atau besar kemungkinan pilihanraya umum yang jadualkan pada 2 Febuari 2014 itu akan ditunda kepada tarikh lain pula?
 
Nampaknya kebimbangan pihak BRN mengenai kesinambungan proses damai sekiranya berlaku perubahan kerajaan di Bangkok amat relevan sekali. Sebab itulah pihak pejuang  berkali-kali menegaskan bahawa perakuan daripada parlimen Thai bagi Tuntutan Awal 5 perkara itu mesti dijadikan agenda nasional untuk mengelak proses ini terbengkalai di tengah jalan kerana berlakunya pertukaran kerajaan.
 
 Dapat disimpulkan bahawa sebenarnya Proses Damai Patani masih lagi wujud. Buat masa kini ia berada di persimpangan jalan,berhenti seketika pada lampu merah. Dengan kekalutan dan suasana tidak menentu di dua belah pihak (Thai dan pejuang), terutama di pihak Thai, mungkin akan memakan masa yang tidak sedikit untuk menanti lampu isyarat bertukar menjadi hijau, bagi membolehkan proses damai bergerak semula kehadapan. Halangan dan kesukaran dalam sebuah proses damai adalah satu perkara lumrah,dan sememangnya ia sudah dijangkakan. Keadaan itu sebenarnya lebih memberi cabaran kepada kedua pihak yang sudah sepakat memilih jalan damai untuk mencari jalan keluar dari kemelut ini secara bijak dan berhasil.
 
Walau pun pembicaraan di trek 1 terhenti seketika, para aktivis sosial, kalangan NGO dan CSO harus menggandakan usaha mereka untuk terus memberi kefahaman dan mendapat dokongan dari rakyat sebanyak mungkin, sebagai satu "safety net" (jaring keselamatan) bagi mengelak proses ini benar benar runtuh. Dokongan dan keinginan yang kuat dari rakyat umum yang mahu melihat proses ini berjaya boleh "memaksa " kedua pihak yang bertelagah kembali semula ke meja rundingan, walau dalam keadaan apa sekali pun. Jika ini berlaku barulah rakyat akan menjadi pihak berkepentingan (Stake-holder) yang aktif dan berupaya menentukan hala tuju sebenar proses damai ini supaya mereka dapat menikmati hasilnya, tanpa semata-mata menyerahkan penentuannya nasib mereka pada tangan kerajaan Thai, atau pihak pejuang atau fasilitator Malaysia .
 
Cuka dan Madu - dari Luar Pagar Patani
Safar 1435 H / Disember 2013 M
Malay