Skip to main content

Penjajahan merupakan sistem pemerintahan berdasarkan tahap yang tidak sama rata antara bangsa yang menjajah dan bangsa yang dijajah. Tujuannya adalah untuk menguntungkan penjajah dengan mengambil kesempatan, menindas bangsa yang dijajah dan menafikan hak-hak tertentu mereka. Sistem pemerintahan yang tidak adil ini tidak dipertikaikan pada zaman penjajahan, tetapi setelah Perang Dunia Kedua, hak untuk menentukan nasib sendiri mula diakui oleh masyarakat antarabangsa.

Dalam dunia ini tidak pernah ada bangsa yang rela menyambut penjajah. Dengan demikian, penjajahan bermula dengan penggunaan kekerasan bersenjata. Pada peringkat awal, cara yang digunakan oleh orang Sepanyol dan Portugis ialah membunuh semua orang tempatan yang menentang kedatangan penjajah. Negara-negara yang mengikuti mereka, seperti Perancis, Belanda dan Inggeris, misalnya, menggunakan cara yang lebih sofistikated, iaitu mengugut orang tempatan dengan menunjukkan kekuasaan ketenteraan penjajah. Walau apa cara sekalipun, akibatnya tetap sama: tanah orang tempatan jatuh ke tangan penjajah, dan orang tempatan sendiri dijadikan rakyat kelas kedua di tanahnya sendiri.

Reaksi daripada bangsa yang dijajah pun berbagai-bagai. Kebanyakannya memilih untuk mendiamkan diri, kerana inilah cara yang paling selamat. Selagi ‘duduk diam’ di bawah sistem pemerintahan yang tidak adil ini, sekurang-kurangnya nyawa mereka juga relatif selamat. Mereka hanya perlu menderita, mengalami kemiskinan dan dilayan sebagai manusia bawahan sahaja.

Ada juga orang yang berkesedaran dan cuba menentang atau menumbang sistem yang berdasarkan ketidakadilan. Pada umumnya percubaan sedemikian menemui jalan buntu, dan akhirnya pemimpin dan suku sakatnya akan dijatuhkan hukuman mati, sedangkan mereka hanya menuntut hak mereka yang sewajarnya. Setelah itu, mereka akan dilabelkan sebagai ‘pemberontak’.

Reaksi yang paling ‘cerdik’ dari kaca mata penjajah ialah menjadi sebahagian daripada sistem yang tidak adil ini dengan bekerja dalam sistem berkenaan. Secara prinsipnya, ini boleh dilakukan tanpa menggadaikan jati diri dan kebanggaan bangsanya sendiri. Tetapi malangnya, ramai daripada orang yang bekerja untuk penjajah pula akhirnya kehilangan gengsinya sebagai anak watan, sebaliknya mengadaptasikan pandangan penjajah, dan memandang hina bangsanya sendiri.

Hal ini berlaku kerana mereka adalah daripada golongan yang memang ‘cerdik’. Kecerdikan mereka dipaparkan dalam kertas peperiksaan dengan keputusan cemerlang. Oleh sebab mereka relatif ‘cerdik’, maka mereka menganggap bahawa orang tempatan lain yang kurang bernasib baik ialah mereka yang bodoh. Malangnya, kecerdikan mereka pula tidak disertakan dengan kesedaran dan rasa belas kasihan terhadap orang yang bernasib lebih malang daripadanya. Mereka seharusnya bertanya, ‘bagaimanakah orang tempatan boleh cerdik jika pendidikan yang secukupnya tidak diberikan?’.

Mereka juga diberikan kesenangan pada tahap tertentu, termasuk gaji yang lumayan, pangkat yang agak tingi dan kuasa sebagai pegawai penjajah. Mereka mabuk dalam kesenangan, pangkat serta kuasa yang membutakan mata, memekakkan telinga dan menutup hati mereka. Dalam keadaan sedemikian, mereka juga tidak dapat melihat sebarang nilai dalam perjuangan yang dilakukan oleh orang tempatan (bangsanya sendiri) untuk membebaskan dirinya daripada belenggu penjajahan dan menuntut haknya yang sewajar.

Bukan sahaja tidak dapat melihat nilai perjuangan, tetapi mereka kerap kali memihak kepada penjajah dengan menjustifikasi sistem yang sedia ada. Keadaan ini sama sekali tidak menghairankan, kerana sistem penjajahan inilah sistem yang paling baik untuk mereka, keluarganya dan ‘geng’nya. Sesungguhnya penjajahan ialah tanah yang paling subur bagi kronism dan nepotism.

Golongan yang lupa daratan ini dipanggil tali barut. Mereka pula menentang segala usaha yang dilakukan untuk pembebasan, dengan menjadi mata-mata, tukang propaganda dan lain-lain lagi bagi kepentingan penjajah.

Kehadiran mereka menjadi penghalan utama dalam perjuangan, kerana pihak penjajah akan menjustifikasikan pemerintahan yang tidak adil dengan mengemukakan ‘kesenangan’ mereka sebagai contoh hasil pemerintahan penjajah. Mereka bukan sahaja berpropaganda, tetapi juga dipropagandakan.