Skip to main content

Dalam rancangan ‘Dunia Hari Ini’ daripada Stesen Radio Media Selatan yang disiarkan pada 7 haribulan Mac 2014 yang lalu, penulis sempat menemu bual dengan seniman tempatan yang mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa, Zakariya Amataya. Berikut ialah rumusan perbualan antara penulis dengan penyair tersebut untuk tatapan umum. 

Berkenaan dengan titik permulaan minat terhadap sasteranya, beliau menerangkan bahawa ia tumbuh daripada pembacaan. Semasa kanak-kanak, beliau merupakan pelajar yang sangat suka akan membaca. Pada masa rehat tengah hari di sekolah, tempat yang ditujunya bukan padang sekolah untuk bermain, tetapi beliau terus ke bilik perpustakaan (maktabah) untuk membaca buku-buku yang ada di dalamnya. 

Penulis bertanya, buku jenis apa yang harus dibaca oleh kanak-kanak untuk mengembangkan minda, beliau menberi jawapan bahawa apa-apa sahaja. Yang pentingnya menjadikan ‘membaca’ sebagai tabiat dalam hidup kita. Dengan itu, sebarang bahan bacaan, baik buku kartun, buku bergambar, buku cerita, hatta ensiklopedia, semuanya boleh menyumbang untuk perkembangan minda kita. 

Hakikat bahawa seorang anak Melayu, yang memang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam kehidupan keluarga, dapat menghasilkan karya-karya puisi dalam bahasa Thai (bahasa asing) merupakan satu keajaiban. Beliau juga menjelaskan bahawa ibu bapanya tidak berbahasa Thai. Sebaliknya, perbualan dalam keluarganya seratus-peratus dalam bahasa Melayu. Tentang hal ini, beliau memberitahu bahawa 
kemahiran berpuisi dalam bahasa Thai juga dikembangkan melalui pembacaan. Dunia imaginasi beliau juga diperluaskan oleh pembacaan. Dengan itu, boleh dirumuskan bahawa seorang penyair yang bernama Zakariya Amatya tidak akan lahir jika bakat pemberian-Nya diasah melalui pembacaan. 

Apabila ditanya adakah beliau bersedia untuk mengarang puisi dalam bahasa Melayu, beliau juga memberi jawapan bahawa beliau perlu membaca banyak lagi karya-karya sastera dalam bahasa Melayu. Jawapan ini mengandungi seribu makna. Walaupun bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu, dan bakat sasteranya sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa, namun beliau juga masih melihat keperluan untuk 'mengasah' kemahiran bahasa Melayunya. Beliau juga menyatakan bahawa alat yang paling berkesan baginya ialah bahasa Thai. Beliau paling yakin menggunakan bahasa tersebut sebagai 'alat'. Tetapi sebagai seorang manusia, kita boleh menggunakan lebih daripada satu bahasa untuk 'alat'. Bagi sasterawan ini, bahasa merupakan 'alat' untuk menyatakan dan menyampaikan ideanya kepada orang lain. 

Penulis juga bertanya, adakah beliau bersedia untuk mengarang puisi dalam bahasa Melayu, beliau juga memberi jawapan bahawa beliau perlu membaca banyak lagi karya-karya sastera dalam bahasa Melayu. Jawapan ini mengandungi seribu makna. Walaupun bahasa ibundanya ialah bahasa Melayu, dan bakat sasteranya sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa, namun beliau juga masih melihat keperluan untuk 'mengasah' kemahiran bahasa Melayunya. Beliau juga menyatakan bahawa alat yang paling berkesan baginya ialah bahasa Thai. Beliau paling yakin menggunakan bahasa tersebut sebagai 'alat'. Tetapi sebagai seorang manusia, kita boleh menggunakan lebih daripada satu bahasa untuk 'alat'. Bagi sasterawan ini, bahasa merupakan 'alat' untuk menyatakan dan menyampaikan ideanya kepada orang lain. 

Beliau juga menyatakan bahawa, antara istilah yang bermaksud ‘orang yang menulis puisi’ atau pujangga dalam semua bahasa, beliau paling menyukai istilah 'syair' dalam bahasa Arab yang bermaksud ‘orang yang merasai’, atau ‘orang yang memiliki perasaan’, kerana perasaan merupakan salah satu sumber ilham yang penting. 

Menurut pandangan beliau, puisi yang bermutu tinggi harus mengandungi tiga perkara. Selain perasaan seperti yang disebut di atas, sebuah puisi juga perlu mengandungi imaginasi (khayalan berdasarkan kreativiti) serta pengetahuan (ilmu). 

Puisi yang baik tidak seharusnya panjang. Sebaliknya, banyak puisi yang bagus-bagus pendek-pendek sahaja. Beliau menegaskan bahawa yang pentingnya sejauh mana boleh kita muatkan idea kita dalam sebuah puisi dalam bentuk ringkas yang padat. Puisi yang baik juga bukan sahaja berakhir di situ sahaja, tetapi merangsan perasaan, imaginasi serta pengetahuan orang yang membacanya. 

Bagi sesetengah orang (termasuk juga penulis sendiri), puisi merupakan karangan yang sukar difahami. Apabila ditanya bagaimana kita dapat mengatasi masalah ini, Zakaria juga memberikan pandangan bahawa, jika kita tidak dapat memahami sebuah puisi, jangan cuba memahaminya pada ketika itu. Biarkan sahaja, dan tinggalkannya untuk seketika. Mungkin satu hari, mungkin seminggu, mungkin sebulan, mungkin setahun atau lebih lama lagi. Setelah kita menimba cukup pengalaman dan pengetahuan, kita boleh memahami puisi yang dulunya tidak dapat difahami. 

Bagi pandangan penulis, Zakaria Amatya merupakan seorang penyair yang sentiasa mengembara. Mengembara di atas bumi ciptaan Allah ini dan juga dalam alam imaginasi yang sentias berkembang. Sama-samalah kita ikuti karya-karya beliau, dan menatikan karyanya dalam bahasa Melayu juga satu hari nanti, insya Allah.