MENITI JALAN DAMAI - fasa 2
( Ucapan pada PATANI PEACE MEDIA DAY - 28 Febuari 2015 di Prince of Songkhla University, Kampus Patani )
Bismillah Al Rahman Al Rahim.
Tuan pengerusi,
Para tetamu terhormat,
Hadirin sekalian.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuhu.
Alhamdulillah, sekali lagi setelah genap setahun, saya muncul kembali di kampus yang mulia ini, untuk memperkatakan perihal perkembangan terkini mengenai proses dialog damai Patani. Oleh itu izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur PEACE MEDIA DAY at PATANI.
Hadirin sekalian,
Pada hari ini dua tahun yang lepas, suatu sejarah telah dilakarkan di Kuala Lumpur di mana satu Persepakatan Umum Mengenai Proses Dialog Damai (The General Consensus on Peace Dialogue Process) telah ditandatangani oleh Lt. Gen. Paradorn Pathanathabut selaku Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Thai pada ketika itu, sebagai mewakili kerajaan Thailand, dengan Ustaz Hassan Taib dari Barisan Revolusi Nasional (BRN) mewakili pejuang-pejuang Patani. Majlis penandatanganan tersebut disaksikan oleh Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Malaysia. Maka bermulalah proses dialog damai secara rasmi antara pihak kerjaan Thai dengan pejuang-pejuang Patani, manakala Malaysia berperanan sebagai fasilitator.
Ternyata banyak pihak menyambut baik perkembangan ini dengan harapan yang tinggi bahawa kedamaian boleh dicapai melalui jalan dialog, bukan semata-mata dengan kekerasan atau penggunaan senjata. Namun demikian, masih terdapat sesetengah pihak meragui dan memandang serong atau tidak menyetujuinya. Ini termasuklah pihak tentera Thai sendiri pada ketika itu, atas sebab-sebab yang mereka sendiri ketahui .
Kita juga sedia maklum bahawa proses damai baru yang tidak sampai setahun jagung itu tiba-tiba diuji oleh "Initiatif Damai Ramadhan" dalam keadaan di mana kedua-dua pihak masih belum benar-benar bersedia dan masih meraba dalam gelap untuk mencari titik persefahaman dan membina kepercayaan antara satu sama lain.
Akhirnya kita juga tahu proses itu terhenti dengan penarikan diri Ustaz Hassan Taib selaku ketua deligasi BRN dan pengumuman Lt. Gen.Paradorn tentang penangguhan pusingan dialog ekoran pergolakan politik dalaman yang semakin memuncak di Thailand, yang kemudiannya membawa kepada rampasan kuasa oleh pihak tentera pada 22 Mei 2014. Maka timbullah pelbagai andaian dan tanda tanya, apakah yang akan terjadi kepada proses damai itu. Setelah 4 bulan berlalu akhirnya pihak tentera mengumumkan untuk meneruskan proses dialog damai dan bersetuju untuk terus memberikan kepercayaan kepada Malaysia sebagai fasilitator.
Walaupun tiada sebarang respon yang rasmi dari pihak pejuang kita percaya bahawa isyarat yang dihantar oleh pihak Junta itu adalah positif. Kita bersetuju bahawa penerusan semula proses ini hendaklah berlandaskan Persepakatan Umum yang dimeterai bersama dua tahun lepas sebagai pemangkin untuk bergerak seterusnya. Memetik pendapat seorang dari kami, "Mungkin terma-terma tertentu yang perlu diperbaharui atau diketepikan kerana tidak lagi releven dengan kerajaan Thai sekarang, seperti terma syarat "dalam kerangka perlembagaan Thai", sebab kerajaan sekarang diperintah oleh junta, memeritah dengan undang-undang tentera bukan dengan perlembagaan."
Bagi kami persetujuan berdialog atau tidaknya dengan pihak tentera bukan merupakan isu. Dalam stuktur pemerintahan Thai, sama ada kerajaan awam atau tentera, yang mempunyai kuasa sebenar (de facto) adalah pihak tentera. Perubahan poiltik terkini telah membuka ruang untuk pejuang Patani bersemuka dengan kuasa tertinggi dan kuasa pemutus sebenar di Thailand, iaitu tentera. Sementara keikhlasan sebenar pihak tentera sukar diukur, kita akan sentiasa pantau kesungguhan mereka dalam setiap tindak tanduk di segenap peringkat. Kita sedia menyahut untuk berunding dengan siapa sahaja, asalkan jelas keikhlasan dan kesungguhan, sama ada kerajaan tentera atau awam. Proses dialog damai akan lebih diterima umum ,terutamanya oleh dunia luar,sekiranya ia berlangsung dalam suasana demokrasi dan kedaulatan undang-undang, bukan di bawah bayangan tentera.
Namun demikian kita juga berhati-hati. Dalam proses yang lalu Ustaz Hassan Taib telah mengusulkan supaya pihak Thai menerima proses dialog damai sebagai satu agenda nasional, diperakui oleh parlimen Thai dan diumumkan secara rasmi. Ini adalah untuk memberi keyakinan dan menjamin kesinambungan proses ini supaya terus berjalan meskipun akan berlaku perubahan kerajaan Thai pada masa akan datang. Setakat ini kita belum lagi lihat ia terlaksana. Kita tidak mahu lagi melihat proses yang penting ini tergendala atau terus lenyap dan terpaksa diulangi semula, bertukar tangan dan kaedah setiap kali berlaku "kemalangan politik" di Thailand.
Perjumpaan rasmi antara kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Malaysia pada awal Disember 2014 di Kuala Lumpur, dengan pengisytiharan stratigi serampang 3 mata, meyakinkan lagi bahawa pihak yang berkaitan benar-benar komited untuk proses damai. Walaupun pihak tentera Thai telah menamakan semula proses itu sebagai Bicara Kesejahteraan atau "Happiness Talk" atas sebab-sebab yang kita sangat mengerti, di meja dialog rasmi ia akan tetap diistilahkan sebagai Bicara Kedamaian atau "Peace Talk".
Hadirin sekalian,
Untuk menjamin kelicinan dan ketelusan proses dialog damai yang mungkin berlaku pada masa terdekat kita mengunjurkan perkara-perkara berikut untuk perhatian semua:
1. Proses dialog damai hendaklah tidak hanya bermatlamatkan pengurangan atau penghentian kekerasan (violence), sebaliknya harus bertujuan untuk mencari punca sebenar mengapa rakyat Patani bangkit menentang penjajahan Thai secara bersenjata.
2. Sebarang penyelesaian politik hendaklah dilaksanakan dengan adil, menyeluruh dan berkekalan, bukanlah menguntungkan sebelah pihak, pada aspek-aspek tertentu sahaja dan hanya untuk sementara.
3. Setiap pihak yang datang ke meja dialog seharusnya dengan "tangan kosong" yakni tanpa sebarang pra-syarat yang boleh meletak satu pihak lagi dalam keadaan sukar dan merugikan.
4. Memulakan proses dialog damai dengan usaha membina keyakinan (trust building) terlebih dahulu, dan hanya akan terus maju setelah kedua-dua pihak benar-benar bersedia tanpa paksaan , dengan keikhlasan yang dilihat dapat meyakinkan pihak lain.
5. Melakarkan "road map" secara bersama oleh kedua pihak (bukan ditentukan oleh satu pihak sahaja, atau oleh mana-mana pihak yang lain) dengan pemerhatian pihak ketiga (fasilitator), supaya persetujuan bersama boleh dicapai berhubung dengan langkah-langkah yang akan diambil seterusnya.
6. Membicarakan dan mempersetujui beberapa perkara asas yang akan dibincangkan sepanjang proses ini berjalan dengan rangka masa yang munasabah pada setiap isu dan peringkat. Ini juga termasuk menyetujui bersama untuk menjemput pihak-pihak lain sebagai pemerhati atau pendukung proses damai.
7. Membincang dan mempersetujui langkah-langkah praktikal untuk proses mengurangkan tindakan kekerasan (violent acts) dan permusuhan bersenjata (armed-confrontation) diikuti dengan persetujuan untuk gencatan bersenjata sementara atau terhad dengan perlantikan pasukan pemantau (monitoring team) yang dipersetujui bersama.
8. Memulakan Dialog Damai ( Peace Dialogue) sebagai langkah susulan , dengan sama taraf, berdasarkan terma-terma dan peraturan antarabangsa yang diterima pakai .
9. Persetujuan gencatan senjata kekal akan dicapai setelah perjanjian damai (peace accord) dimeterai, diikuti dengan pelaksanaan secara terperinci segala persetujuan dan cadangan yang terkandung di dalam perjanjian tersebut.
Oleh itu dapat disimpulkan bahawa kita mengunjurkan pemulaan proses dialog damai dengan langkah membina keyakinan terlebih dahulu dan berasama merangka "road map". Ia kemudian disusuli dengan persetujuan perkara-perkara asas yang akan dibincangkan secara terperinci pada tahap seterusnya. Setelah termeterainya persetujuan untuk gencatan senjata sementara barulah dialog damai boleh dimulakan secara serius dalam suasana aman dan nyaman,yang akan berakhir dengan satu perjanjian damai dan pelaksanaannya.
Satu perkara lagi yang menjadi isu penting bagi anggota panel pihak pejuang ialah soal kekebalan politik (political immunity). Kedua-dua kerajaan Thai dan Malaysia harus memperakui dan memberi kekebalan sepenuhnya, bukan sekadar jaminan keselamatan, kepada anggota-angota panel pejuang sepanjang masa proses ini berjalan, sama ada di tempat perjumpaan, dalam perjalanan atau di tempat kediaman mereka. Pergerakan keluar masuk ke mana-mana negara, termasuk juga ke Thailand, haruslah terbuka terutama jika ia berkaitan dengan proses damai.
Kita juga difahamkan bahawa pihak tentera melalui aparatus cabangnya di Selatan (Tentera Bahgian 4) telah memulakan "Initiatif Bicara Kesejahteraan" di peringkat tempatan dengan menjemput wakil-wakil aktivis NGO dan CSO ke beberapa sesi penerangan dan dialog. Itu kita tidak ada sebarang halangan. Hanya ingin mengingatkan sahaja bahawa usaha itu tidak bertujuan untuk jadikan ugutan dan tekanan kepada mereka yang mempunyai pandangan berbeza dengan pemerintah. Jika pihak tentera benar-benar jujur dan bersikap terbuka mereka tidak seharusnya merasa takut untuk membuka ruang dan peluang bagi rakyat umum berhimpun dan menyatakan pandangan mereka secara terbuka tanpa takut atau gentar. Ini termasuk juga membenarkan stesyen media dan radio tempatan beroperasi semula setelah sekian lama suara mereka "dibisukan" selepas berlaku rampasan kuasa oleh tentera.
Pada minggu pertama bulan ini pihak Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahgian 4 dan beberapa orang bekas pegawai tinggi kerajaan telah membuat pengumuman di Bangkok bahawa pihak junta telah hampir pasti dapat menyelesaikan konflik di selatan dalam masa beberapa bulan selepas merampas kuasa. Kita ingin mengingatkan bahawa tidak mungkin suatu konflik yang berlarutan lebih 200 tahun boleh dirungkai dalam masa beberapa bulan tanpa mengadakan sebarang perundingan dengan rakyat yang diwakili oleh pejuang. Itu adalah khayalan dan angan-angan kosong. Kejadian pengeboman terbaru minggu lepas di Narathiwat hendaknya dijadikan peringatan bagi kita semua bahawa tiada jalan pintas untuk kedamaian melainkan menerusi dialog damai.
Hadirin sekalian
Akhir sekali kita ingin menegaskan di sini bahawa meskipun banyak pihak yang mengalu-alukan proses dialog damai ini dan menaruh harapan tinggi terhadapnya, perlu diingatkan bahawa dialog damai tidak akan berhasil sekiranya :
1. Matlamat pemerintah tentera Thai hanyalah sekadar ingin melihat pengurangan atau penghapusan tindakan kekerasan sahaja tanpa mahu mencari dan menangani punca sebenar tercetusnya konflik politik dan senjata di Patani.
2. Kelemahan dan kegagalan pada proses yang lalu tidak diselidiki dan diperbetulkan .
3. Masaalah ketidakadilan, penahan politik, penghakiman terpilih (selective persecution), pembunuhan tanpa bicara dan pelaggaran Hak Asasi Manusia masih berlaku kepada rakyat Melayu Patani.
4. Kebebasan bersuara tidak dijamin sepenuhnya bagi rakyat Melayu Patani untuk menyatakan keinginan dan hasrat sebenar mereka tanpa ugutan dan paksaan.
5. Kehidupan seharian rakyat Patani masih berterusan ditekan dan dikongkong oleh 3 undang-undang dan peraturan yang zalim iaitu Undang-undang Tentera, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Dikri Darurat.
6. Hak warisan dan pertuanan (ancestral and sovereign rights) ke atas bumi Patani dan hak menentukan nasib sendiri (right to self-determination) bagi rakyat Melayu Patani tidak dibincangkan.
Proses dialog damai akan memakan masa yang panjang dan perjalannannya juga berliku. Kita pernah menegaskan dahulu bahawa sekiranya kedua pihak yakin dan ikhlas bahawa konflik ini boleh diselesaikan secara aman melalui jalan dialog, adalah lebih munasabah kita segera mulakannya hari ini, dari terus berperang untuk sepuluh , dua puluh atau lima puluh tahun lagi, menghitung kematian dan kemusnahan di kedua belah pihak, baru kita hendak kembali ke meja untuk berbincang.
Sebelum berundur,pada kesempatan ini, saya sekali lagi menghulurkan jambangan bunga raya kepada semua yang cintakan keamanan, sebagai lambang kedamaian.
Sekian. Terima kasih
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabaraktuhu.
Abu Hafez Al-Hakim , dari Luar Pagar Patani.
28 Febuari 2015/ 9 Jamadil Awwal 1436H