7-5-3 dan SATU ?

Abu Hafez Al-Hakim's picture

7-5-3 dan SATU ?

 

Biasanya saya menulis sesuatu yang sirius dan berisi.

Memang kali ini pun sama tetapi dengan gaya santai.. dan sudah semestinya tidak akan lari jauh daripada membicarakan tentang  PATANI.

Sambil minum kopi pagi atau teh petang mari sama-sama kita rungkaikan apa yang saya maksudkan dengan angka-angka 7, 5, 3, dan 1 itu ?

 

TUJUH

Kita imbau kembali peristiwa lebih 60 tahun lalu ketika  pejuang agama dan bangsa Allahyarham Tuan Guru Haji Sulong mengemukakan  TUJUH  tuntutan kepada kerajaan Siam pada masa itu.

Tidak perlu diulangi  lagi apakah isi kandungannya  tuntutan tersebut kerana ianya sudah diketahui umum dan tersebar luas.

 Kesudahannya pun kita sedia maklum, yaitu beliau telah dituduh sebagai pemberontak, dipenjarakan dan akhirnya mati dibunuh tanpa berkubur.

 Sempitnya pandangan penjajah Siam pada ketika itu dengan sikap prejudis dan ultranasionalis sehingga menganggap tutuntutan tersebut amat mengancam intigriti sebuah negara yang berpaksi kepada  nasionalis Siam dan kesatuan negara.

 Meskipun tidak terdapat satu patah pun perkataan MERDEKA atau PEMISAHAN WILAYAH  terkandung di dalamnya ,namun begitulah kesudahanya yang tragis.

Mereka yang menuntut hak dan keadilan secara aman damai , walaupun tanpa menggunakan kekerasan atau di luar batasan undang-undang akhirnya mati dibunuh atau terpakasa berlindung di luar negara.

Oleh kerana gerakan menuntut hak secara aman dan mengikut lunas demokrasi  tidak diendahkan maka rakyat Melayu mula menubuhkan beberapa pertubuhan perjuangan pembebasan secara bersenjata yang kekal sehingga kini.

Itulah puncanya tercetus konflik politik bersenjata  sebenar yang tidak pernah mahu diakui oleh Siam.

Hari ini hampir kesemua tuntutan tersebut sudah atau sedang diselenggarakan oleh pihak pemerintah. Andainya langkah ini diambil oleh kerajaan penjajah pada masa itu tidaklah Tuan Guru Haji Sulong menjadi korban syahid, tidak pula tertubuhnya pertubuhan-pertubuhan pembebasan dan tidaklah berlaku penentangan secara kekerasan sepertimana yang kita lihat hari ini.

 

LIMA

Tiga tahun lepas telah  termeterai satu Persepakatan Umum berkenaan dengan Proses Dialog Damai pada 28 Febuari 2013 yang juga sudah diketahui umum.

 Ia adalah proses damai rasmi pertama di antara Kerajaan Thai dengan  pertubuhan perjuangan Patani .

 Ekoran daripada itu  Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN)  telah mengemukan tuntutan awal  LIMA perkara untuk membolehkan proses damai itu berlangsung seterusnya. Ia bukan lagi  tuntutan utama.

Malangnya proses  dialog damai tersebut tidak bertahan lama atas sebab-sebab yang termaklum. Meski pun pihak kerajaan Thai telah menyatakan kesediaan untuk membawa kesemua lima perkara itu untuk perbincangan seterusnya namun  suasana politik yang tidak stabil membawa kepada rampasan kuasa tentera yang turut menghentikan proses damai itu sendiri.

 

TIGA

Proses damai digerakkan semula oleh pemerintah tentera bersama tertubuhnya sebuah organisasi payung oleh gabungan 6 pertubuhan pihak pejuang dengan nama MAJLIS SYURA PATANI atau MARA Patani.

Oleh kerana aktor-aktor  bagi proses kali ini sudah berubah pada kedua-dua belah pihak : Pemerintah tentera bagi pihak Thailand dan MARA Patani bagi pihak pejuang , maka sudah semestinya  persetujuan baru perlu dicapai sebelum proses baru ini boleh bermula secara rasmi.

Untuk tujuan itu MARA Patani telah mengemukakan cadangan TIGA perkara :

1. Pengesahan MARA Patani sebagai parti B

2. Proses dialog damai sebagai satu agenda nasional, dan

3. Pemberian imuniti kepada anggota panel MARA Patani.

Perlu ditegaskan, ia adalah CADANGAN  bukan TUNTUTAN. Rasional bagi ketiga-tiga cadangan itu telah diperkatakan secara panjang lebar.

 Pun begitu masih ada lagi suara sumbang yang mempersoalkan mengapa permintaan MARA Patani hanya  berbaki TIGA sahaja ,sedangkan zaman Haji Sulong dahulu ianya TUJUH dan BRN pula LIMA ??

Ada juga yang mengeritik bahawa MARA Patani hanya membuat tututan untuk kepetingan diri dan kelompoknya sahaja bukan untuk kepentingan rakyat.

Sekali lagi MARA Patani menjelaskan bahawa TIGA perkara itu adalah cadangan supaya proses damai  boleh diadakan secara rasmi, bukan tuntutan.

Untuk masa sekarang proses masih di peringkat membina keyakinan. Masih terlalu awal untuk mengemukan sebarang tutututan yang berkemungkinan boleh  menjejaskan proses damai sepertimana yang terjadi pada proses yang sebelumnya.

SATU

Apabila proses dialog ini sudah menjadi rasmi, kedudukannya stabil, proses membina keyakinannya mantap ,  perjalanannya(road map) jelas maka ia akan melangkah ke tahap seterusnya ia itu tahap rundingan yang mesti berjalan selari dengan tempuh gencatan senjata.

Ya, untuk menyelesaikan konflik yang perpanjangan harus melalui tempuh gencatan senjata dan rundingan.

Maka pada tahap rundingan inlah MARA Patani akan mengemukakan  tuntutannya.

Pada peringkat itu tuntutan MARA Patani bukan TUJUH PERKARA atau LIMA PERKARA atau TIGA PERKARA ...

MARA Patani dijangka mengemukakan hanya SATU PERKARA sahaja di dalam TUNTUTANnya.

Gerangan apakah tuntutan SATU PERKARA itu ??

 

Sama samalah kita tunggu apakah tuntutan yang SATU itu ..

Sambil kita tunggu, ayuh kita minum kopi atau teh lagi.

 

**( difahamkan pasukan teknikal bagi parti A dan B dalam proses dialog damai sudah hampir menyutujui kandungan Term of References-ToR . Tinggal lagi pengesahan terakhir dari kedua belah pihak dan proses tersebut akan bermula secara rasmi dalam masa terdekat )

 

Abu Hafez Al-Hakim - dari luar pagar Patani.

3 Mac  2016 / 23 Jamadil Awwal  1437 H.

 

 

Malay