Skip to main content

FINOMENA 'Gandhi' di PONDOK JIHAD

 

Jom kita minum kopi lagi..kali ini bersama "Gandhi".

Agaknya masih tidak terlalu terlambat untuk kita bicarakan perihal sebuah pondok yang dikaitkan dengan Jihad.

Nak sentuh sedikit berkenaan majlis makan nasi kerabu dan minum teh sambil menderma pada 19 Mac lalu di Kampung Tekedeh , Patani.

Khabarnya kutipan sudah hampir mencecah 4 juta baht, itu tidak termasuk yang disalurkan terus ke dalam akaun bank yang dibuka untuk tujuan yang sama.

Tidaklah perlu disebut asal usul majlis itu diadakan kerana ia sudah jadi pengetahuan umum bukan sahaja di Patani malah tersebar ke seluruh dunia bahawa tapak tanah tempat terbinanya Pondok Jihad (nama rasminya - JIHAD VITHAYA school ) telah dirampas oleh kerajaan Thai atas alasan ia digunakan sebagai tempat untuk menjana keganasan.

Pada saya penghakiman terhadap kes Pondok Jihad ini, walaupun menepati kehendak undang-undang  tetapi tidak selaras dengan keadaan tempat, suasana dan masa.

Tempat itu adalah sebuah PONDOK. Pondok adalah paksi kepada kehidupan masyarakat Patani sejak zaman turun temurun. Besar atau kecilnya , pondok merupakan sebuah institusi yang  di anggap mulia , suci , perlu dihormati dan dipertahankan.

Suasana merujuk kepada keadaan  umum di mana pergolakan di Patani masih berterusan. "Mengusik" institusi pondok secara zalim dan terburu-buru sudah pasti akan mengundang reaksi yang tidak menyenangkan daripada rakyat umum bahawa kini paksi kehidupan mereka sudah tercabar dan tergugat.

Dan masa pula berkisar kepada situasi terkini di mana kaedah penyelesaian masaalah adalah lebih ke arah cara damai berbanding cara konferantasi atau menggunakan kekerasan. Tetapi mahkamah nampaknya tidak peka kepada faktor masa ini melainkan melihat pada fakta kes semata-mata.

 Mungkin rampasan sebuah rumah boleh diterima, tetapi merampas  sebidang tanah wakaf yang  terdiri di atas nya sebuah pondok akan dipertahankan habis-habisan. Ia merupakan satu isu yang amat sensitif.

 

Saya sendiri melihat kemelut ini dari tiga aspek berdasarkan tiga pilihan yang boleh dibuat oleh keluarga tersebut :

1. Memilih jalan kekerasan , yakni beberapa ahli keluarga Pondok Jihad,termasuk juga bekas pelajar di situ, masuk bawah tanah dan teruskan perjuangan bersenjata atas dasar menentang ketidakadilan dan penindasan.

2. Tetap bertahan di tapak tanah itu dan meneruskan proses perundangan yang masih terbuka iaitu membuat rayuan meskipun akan berhadapan dengan kepenatan dan kehilangan harta dan wang.

3. Pindah keluar mencari tapak yang baru tanpa menoleh ke belakang.

 Pihak keluarga Wan Mohamad Noor, yang ternyata sudah letih, kecewa dan rasa tertindas  mengambil keputusan untuk tidak buat rayuan di mahkamah. Mereka membuat  tindakan diluar jangka.....pindah keluar...

Pemilihan pendekatan ke 3 itu yang turut mengejutkan beberapa pihak , terutamanya pihak kerajaan Thai yang sangat-sangat mengharapkan keluarga itu membuat rayuan dan pihak kerajaan tentera akan berusaha mengembalikannya dengan "cara mereka sendiri". Dengan itu tentera akan memperolehi nama dan dikira berjasa.

Nampaknya  pilihan itu yang pada zahirnya dilihat sebagai "mengalah dan mengundur" merupakan bukan sahaja pilihan yang  tepat malah dapat memenangi hati rakyat Patani secara keseluruhan.

 Ini terbukti dengan kehadiran orang ramai pada jumlah besar yang amat luar biasa  bukan semata-mata untuk menjamu selera "makan nasi kerabu dan minum teh", tetapi merupakan satu manifestasi dokongan dan solidariti rakyat  berserta penentangan dan penolakan secara senyap terhadap kezaliman dan penindasan kerajaan Thai terhadap rakyat  Patani.

Manifesatasi luar biasa ini saya namakan sebagai " Fenomena Gandhi" yakni, Rakyat memilih jalan penyelesain  secara aman damai, tidak aggressif dan tidak menggunakan  kekerasan.

Seharusnya pihak kerajaan tentera sendiri berlapang dada dan berfikiran terbuka  menerima keputusan dan pemilihan jalan penyelesaian secara damai ini daripada meneruskan ugutan dan tekanan kepada pihak keluarga Pondok Jihad atau pun mereka yang terlibat dalam mengajurkan program itu.

 Jika tidak, kemungkinan yang lebih buruk akan berlaku dan penentengan secara kekerasan tidak boleh disekat lagi sekiranya rakyat yang tertindas sudah hilang sabar dan memilih untuk masuk  bawah tanah.

Fikir fikirkanlah...

Kita tunggu dan lihat apakah kesan "fenomena Gandhi" kepada senario politik di Patani pada masa hadapan..... sambil kita menghabiskan  hirupan kopi yang masih berbaki.

 

Abu Hafez Al-Hakim - dari Luar Pagar Patani

13 April 2016 / 5 Rajab 1437 H